Rabu, 2 Februari 2022 | 1:00pm
Dini dan Janna sudah mempunyai perancangan untuk berumah tangga, namun, enggan berkongsi secara mendalam. - Foto IG Dini Schatzmann
Dini dan Janna sudah mempunyai perancangan untuk berumah tangga, namun, enggan berkongsi secara mendalam. - Foto IG Dini Schatzmann

Demi cinta, Dini berdepan tekanan emosi Janna

KUALA LUMPUR: Segala-gala yang dilakukan Dini Schatzmann, 28, menuntut pengorbanan besar, apatah lagi, menangani masalah kekasihnya, Janna Nick, 26, yang mengalami penyakit gangguan bipolar.

Bukan mudah berdepan dengan mereka yang mengalami masalah kesihatan mental, namun, atas dasar cinta dan kasih sayang tidak bertepi, pelakon kacukan Melayu-Switzerland itu sanggup mengharungi bersamanya.

Selama lebih dua tahun, pelakon drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek dan Marry Me Senorita itu sentiasa bersama Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH Ke-34 (ABPBH 34) itu.

Tidak sesekali meninggalkannya, malah menjadi peniup semangat terutama ketika Janna berdepan deretan kisah sensasi dan kontroversi yang menyebabkan emosinya terganggu.

Dini berkata, dia lebih memahami Janna dan atas perasaan cinta yang mendalam, ia tidak sesekali menyusahkan dirinya.

"Hubungan cinta kami sudah terjalin selama dua tahun. Apa yang saya belajar dalam tempoh ini, kita tidak akan faham apa yang berada dalam fikiran mereka yang mengalami kesihatan mental.

"Awalnya, saya cuba memahami apa yang berada dalam fikiran Janna, lama kelamaan saya mula faham.

"Saya hanya perlu sentiasa bersamanya dan menjadi orang yang boleh diharapkan. Saya perlu jadi positif dan kuat untuk Janna. Paling penting, berikan masa yang diperlukan.

"Saya tahu ada kala Janna fikir saya menyusahkannya. Namun, dalam lubuk hati, Janna tahu apa yang saya buat untuknya ikhlas dan tidak menyusahkan," katanya kepada BH Online.

Kongsi Dini, dia pernah menyaksikan Janna mengalami situasi buruk dan kini, sudah faham bagaimana mengendalikannya.

"Ketika mengalami tertekan, saya cakap apapun tidak akan masuk dalam kepalanya. Itu waktu paling susah.

"Jika berada dalam keadaan itu, saya biarkan Janna meluahkan emosi. Jika Janna menangis, saya biarkan sahaja.

"Saya tak boleh cakap jangan menangis kerana ia tidak membantu. Jika saya cakap banyak, takut Janna rasa semak.

"Apabila keadaan kembali tenang, barulah saya cuba mengaturkan temujanji dan membawanya bertemu doktor psikiatri," katanya.

Dini dan Janna menepis tuduhan tidur sebilik ketika menjalani telefilem London With Love arahan Janna di London, bulan lalu. - Foto IG Dini Schatzmann
Dini dan Janna menepis tuduhan tidur sebilik ketika menjalani telefilem London With Love arahan Janna di London, bulan lalu. - Foto IG Dini Schatzmann

Dini atau nama sebenarnya, Dini Azan Schatzmann berkata, doktor memberitahu masalah kesihatan mental boleh berkembang mengikut peralihan usia.

"Contohnya, apabila Janna tertekan dengan kerja, ia akan jadi teruk. Jika tiada tekanan kerja, Janna okay sahaja.

"Sebenarnya, saya tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang boleh membuatkannya lebih tertekan. Ini kerana apabila bersama saya, Janna mula berfikir mengenai masa depan kami," katanya.

Tambah Dini, dia dan Janna mengamalkan gaya hidup sihat seperti selalu ke gimnasium dan makan makanan sihat. Ini kerana pemakanan sihat dan bersenam dapat membantu kesihatan mental.

Mengulas perancangan masa depan, Dini tidak menafikan, dia dan Janna ada merancang, tetapi belum boleh dikongsikan secara umum.

"Tarikh belum ditetapkan, tetapi, kami ada berbincang soal ini. Sudah tentu banyak perbincangan serius mengenai soal perkahwinan ini.

"Namun, apabila kita merancang, pasti ada sesuatu perkara yang berubah. Jadi, kami 'go with the flow' sahaja.

"Kami belum bersedia untuk mengumumkannya lagi. Apabila perancangan sudah konkrit, baru kami akan berkongsi, insya-Allah," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran produk baharu Janna Nick, White Fluffy, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dini juga berbangga melihat perkembangan perniagaan penjagaan kulit diusahakan oleh kekasihnya itu sejak tiga tahun lalu.

"Saya seronok melihat Janna semakin berjaya mengeluarkan pelbagai rangkaian produk.

"Saya sentiasa mendoakan Janna berjaya dan memiliki apa sahaja yang diimpikan dalam hidup. Saya akan sentiasa menjadi tulang belakang kerjayanya," katanya.

Terdahulu, netizen mendakwa Dini tiada kerja ekoran asyik 'berkepit' dengan Janna. Namun, Dini menggunakan masa terluang untuk berlatih sebagai pengarah fotografi dengan mengikuti Janna kerana meminati seni visual.

Berita Harian X