Ahad, 30 Januari 2022 | 5:46pm
Yana dikejarkan ke hospital di Shah Alam selepas sakit kepala dan muntah-muntah ketika bersiaran secara langsung di Facebook, semalam. - Foto IG Yana Samsudin
Yana dikejarkan ke hospital di Shah Alam selepas sakit kepala dan muntah-muntah ketika bersiaran secara langsung di Facebook, semalam. - Foto IG Yana Samsudin

Yana hamil anak ketiga?

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pelakon, Fadzil Zahari tidak menolak rezeki sekiranya isterinya yang juga aktres, Yana Samsudin hamil anak ketiga.

Itulah maklum balas Fadzil apabila mengulas keadaan Yana yang mengalami sakit kepala dan muntah-muntah ketika siaran langsung di laman Facebook (FB), semalam.

Kata Fadzil, Yana dibawa ke sebuah pusat perubatan di Shah Alam, Selangor bagi menjalani pemeriksaan, jam 1 pagi, malam tadi.

"Yana sudah sakit kepala ketika menjayakan penggambaran video untuk Kak Yong Trade. Kemudiannya habis penggambaran, Yana buat siaran langsung dalam FB pula.

"Tidak semena-mena muntah-muntah ketika itu. Alhamdulillah, jika isteri hamil, tetapi saya rasa hanya keracunan makanan.

"Semalam, Yana menjalani pemeriksaan di pusat perubatan di Shah Alam dan diberikan suntikan dan ubat. Namun, kami tidak pula melakukan pemeriksaan kehamilan," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Yana menerusi laman Instagram (IG) memuat naik gambar sedang menjalani pemeriksaan tekanan darah akibat mengalami muntah-muntah.

Yana dan Fadzil bersama dua cahaya matanya, Aisy Mateen dan Aura Aisy Sofea. - Foto IG Yana Samsudin
Yana dan Fadzil bersama dua cahaya matanya, Aisy Mateen dan Aura Aisy Sofea. - Foto IG Yana Samsudin

Kata Yana, dia mula berasa kurang sihat sejak petang semalam.

"Masa tengah 'shooting' dengan Fadzil untuk Kak Yong Trade, saya sudah sakit kepala, ingat biasa sahaja. Saya buat tak tahulah, namun, habis penggambaran mula muntah-muntah.

"Risau keracunan makanan atau penyakit lain sebab saya ada siaran langsung di FB jam 9 malam. Maaf, siaran langsung semalam asyik ke tandas dan muntah lebih lima kali.

"Sampai Fadzil kena tolong pegang gincu. Alhamdulillah, saya semakin baik selepas mendapat rawatan dan suntikan.

"Tiada demam dan batuk, suhu pun normal. Harap hari ini sembuhlah sebab ada fotografi hari ini," katanya.

Terdahulu, Fadzil dan Yana mendirikan rumah tangga pada 13 Februari 2015. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Aisy Mateen, 5, dan Aura Aisy Sofea, 2.

Berita Harian X