Ahad, 30 Januari 2022 | 3:00pm
Bukan sebagai pelakon dan aktivis teater, Adlin menerokai pelbagai posisi seni termasuk penulis skrip, pengarah, pengacara, pelawak dan pengkritik.
Bukan sebagai pelakon dan aktivis teater, Adlin menerokai pelbagai posisi seni termasuk penulis skrip, pengarah, pengacara, pelawak dan pengkritik.

Pejuang seni berjiwa besar

KUALA LUMPUR: Di sebalik kontroversi yang pernah memalit perjalanan seni bintang versatil, Adlin Aman Ramlie, 49, namun, tiada siapa mampu menidakkan kebolehannya sebagai pejuang seni yang berkarisma, berbakat dan berjiwa besar.

Tidak hairan darah seni mengalir dalam tubuhnya diwarisi daripada ibu bapa tersayang, Seniman Allahyarham AR Tompel dan Seniwati Ruminah Sidek.

Memulakan langkah berkhidmat sebagai Artis Budaya di Pentarama, Jabatan Penerangan Malaysia dari 1990 hingga 1994 sebelum melanjutkan pengajian dalam teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Saat itu, pelakon yang terkenal dengan watak Sultan Mahmud Shah dalam filem Puteri Gunung Ledang itu bagaikan tidak boleh berpatah balik, langkah terus dihayun dalam pelbagai cabang seni seperti teater, drama dan filem.

Bukan hanya pelakon dan aktivis teater, pelbagai posisi seni diterokai Adlin termasuk penulis skrip, pengarah, pengacara, pelawak dan pengkritik persembahan.

"Saya komited dan bersemangat jika menunaikan tanggungjawab terhadap kerjaya seni. Contohnya, saya gemar mencabar penulisan dalam ruang lingkup lakonan dan karakter sekiranya menulis skrip.

"Begitu juga kerja pengarahan sama ada berada pada posisi pelakon mahupun bekerja di bawah pengarah lain. Saya terbuka memberi pandangan.

"Saat itu, input yang dikongsi bukan datangnya daripada pemikiran pelakon semata-mata, sebagai pemerhati dunia seni.

"Selain berlakon, saya suka menulis dan mencipta sesuatu yang baru. Malah, saya suka mereka dan bermain dengan idea. Ia bagaikan inspirasi," katanya kepada BH Online.

Adlin ditemui pada majlis pratonton dua episod drama Dukun Diva di ibu kota, baru-baru ini.

Menerusi drama premium arahan Ariff Zulkarnain yang menghiasi slot Astro Originals di Astro Citra itu, anak kelahiran Banting, Selangor itu membawa watak usahawan kosmetik, Datuk Siddiq.

Malah menerusi drama diterajui Eyka Farhana dan Nadia Aqilah itu, Adlin bergandingan dengan isterinya, Emelda Rosemila melakonkan watak Datuk DD.

Datuk DD yang juga usahawan kosmetik digambarkan berseteru dengan Datuk Siddiq. Ia bagaikan tidak jauh dengan realiti kehidupan sebenar Adlin dan Emelda.

Adlin dan isterinya, Emelda suka melakukan analisa dan cuba menambah baik tuntutan watak jika bergandingan bersama.
Adlin dan isterinya, Emelda suka melakukan analisa dan cuba menambah baik tuntutan watak jika bergandingan bersama.

Karakter Adlin bagaikan jauh terpesong daripada watak berat dan serius yang sering dimainkan.

"Selama ini, banyak watak saya dikelaskan dengan karakter antagonis, penjahat dan lakonan serius.

"Namun, watak Datuk Siddiq bukan tidak serius. Ia lebih berwarna dengan pelbagai gaya, ringan dan ada lapisan komedi serta hiburan.

"Drama ini juga menyelitkan elemen muzikal. Pengarah dan penulis skrip, Alfie Palermo tahu saya suka muzikal. Bayangkan daripada satu lagu, ditambah menjadi tiga.

"Jika tanya soal watak, saya rasa ia tidak berat. Perumpamaan seperti saya tidak bekerja, lebih kepada bersuka ria. Bukan nak cakap besar, tetapi saya gembira dapat watak ini.

"Ungkapan suka itu sendiri tidak semestinya ke arah watak berat. Jadi, saya terbuka mencabar diri dan menghiburkan penonton dengan karakter berbeza," katanya.

Biarpun watak Datuk Siddiq dikaitkan dengan seorang usahawan kosmetik dalam alam realiti, Adlin mempunyai pandangan tersendiri.

"Soal disamakan karakter seseorang, kita kena faham. Itulah formula disuntik dalam drama ini. Persamaan dan kebiasaan itu bagus, jadi tak perlu terangkan secara terperinci watak seperti Datuk Siddiq.

"Namun, baik atau tidak watak Datuk Siddiq dan Datin DD, tidaklah sampai tahap menjadi seperti karakter seseorang dalam alam realiti. Menyamar menjadi seseorang individu lain bukan hala tuju saya.

"Karakter ini juga antara paling 'daring' dan 'loudest' dilakonkan. Cuma, saya tidaklah menjadikan watak itu lelaki lembut atau mak nyah yang patah. Saya serap gaya metroseksual dan maskulin.

"Saya juga tidak menjadikan mana-mana personaliti tertentu sebagai rujukan menghidupkan roh Datuk Siddiq. Saya lebih kepada mengamati dan meneroka.

"Ibaratnya dapat sahaja tawaran, saya tahu nak buat macam mana. Saya kembangkan watak menjadi lebih dramatik, menghiburkan dan tak klise," katanya.

Bakat Adlin mula bersinar apabila memegang watak Sultan Mahmud Shah bergandingan dengan Puan Sri Tiara Jacquelina dalam filem Puteri Gunung Ledang.
Bakat Adlin mula bersinar apabila memegang watak Sultan Mahmud Shah bergandingan dengan Puan Sri Tiara Jacquelina dalam filem Puteri Gunung Ledang.

Mengulas soal gandingan bersama isteri, Adlin terbuka dalam soal itu. Selepas telefilem Cerai, sudah empat kali digandingkan termasuk drama Dukun Diva.

"Saya boleh dikira pelakon senior. Walaupun berstatus suami, kami buat kerja masing-masing.

"Namun, saya dan Emelda buat analisa dan cuba menambah baik tuntutan watak. Ruang latihan dan mencipta keserasian berlanjutan dari lokasi penggambaran hingga ke bilik tidur di rumah.

"Namun, saya harus akui, kalau membabitkan babak, Emelda lebih dominan. Cuma, kami melakukan 'battle' menyanyi dan menari dalam episod akhir," katanya.

Sebelum ini, lakonan Adlin sebagai Pengetua Awang dalam drama bersiri premium, Projek: Anchor SPM turut mengundang kebencian ramai termasuk warga netizen.

Gara gara watak itu, adik kepada pelakon berpengalaman, AR Badul dan Amran Tompel itu terus dibenci dan dilaknat dalam media sosial.

Bagaimanapun, Adlin berkata, dia tidak pernah mengambil kecaman netizen secara peribadi, malah, anggap kebencian terhadap lakonannya memberi makna berjaya menghidupkan watak dengan baik.

"Saya sedikitpun tidak tersinggung biarpun dibenci dan dikecam netizen. Saya tidak ambil serius. Mungkin apa yang dirasakan netizen adalah kesan diharapkan oleh pengarah dan penulis skrip terhadap sesebuah karya.

"Bagaimanapun, di sebalik watak yang dibenci, ada perkara boleh dijadikan teladan. Bagi saya, setiap watak ada sisi putih dan hitam, bukan watak saya sahaja.

"Jadi, apa yang patut dilihat selain prestasi lakonan adalah bagaimana karakter dicipta untuk melengkapkan jalan cerita," katanya.

Berita Harian X