Khamis, 27 Januari 2022 | 8:30am
Farah bersama dua pelakon cilik mempamerkan lakonan hebat dalam filem Roh.
Farah bersama dua pelakon cilik mempamerkan lakonan hebat dalam filem Roh.

Bajet rendah, kualiti filem tetap 'mahal'

KUALA LUMPUR: Berpegang falsafah biar bajet rendah asalkan kualiti 'mahal', prinsip serupa diterapkan syarikat produksi, Kuman Pictures dalam pembikinan filem baharu yang menggunakan hasil ganjaran sebagai pemenang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 (FFM31), Disember tahun lalu.

Pada acara berprestij itu, filem terbitan Kuman Pictures, Roh yang dibikin pada kos RM360,000, diangkat sebagai Filem Terbaik dan peroleh Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 sumbangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Roh menewaskan empat filem hebat iaitu Fly By Night, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Geran.

Penerbit filem Roh, Amir Muhammad, berkata dana bernilai RM500,000 dianggap sudah memadai bagi syarikat menghasilkan karya yang bukan sahaja menepati cita rasa penonton tempatan, malah sesuai untuk pasaran antarabangsa.

"Untuk pembikinan filem itu nanti, kami akan memanfaatkan sepenuhnya dana yang diberi FINAS. Jika ada tambahan pun, mungkin tidak sampai RM1 juta. Sudah menjadi prinsip Kuman Pictures menghasilkan filem berbajet rendah, namun kami tidak berkompromi dari segi kualiti.

"Kita akan menggunakan formula serupa ketika membikin filem Roh termasuk dalam aspek pemilihan pelakon dan lokasi. Mungkin tidak banyak nama besar (sebagai pelakon), tetapi kita akan pastikan pelakon yang dipilih berkualiti dan mampu menggalas tugas dengan baik," katanya kepada BH Online.

Amir menganggap kejayaan sesebuah filem bukan terletak pada tingginya bajet, sebaliknya garapan cerita, skrip bagus dan lakonan mantap daripada individu berbakat besar.

"Contohnya, Roh, meskipun tidak dibarisi ramai pelakon komersial, namun naskhah berkenaan mampu diterima penonton di luar negara dan menjadi pilihan platform digital global untuk ditayangkan," katanya.

Pada FFM31, selain Filem Terbaik, Roh memenangi kategori Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Penerbit filem Roh, Amir menang kategori Filem Terbaik pada FFM31, Disember tahun lalu.
Penerbit filem Roh, Amir menang kategori Filem Terbaik pada FFM31, Disember tahun lalu.

Ditanya bila projek filem baharu akan dimulakan, Amir memberitahu, fasa pertama pembikinan filem terbabit iaitu proses pencarian skrip sudah dijalankan.

"Kami masih mengekalkan tema sama iaitu seram atau 'thriller' kerana genre itulah yang menjadi tanda dagang Kuman Pictures.

"Lagipun filem begini ada ramai pengikut, selain memberi cabaran tersendiri kepada produksi terutama pengarah, Emir Ezan yang menghasilkan Roh.

"Untuk mencari skrip sesuai dan menepati tema dikehendaki, kami anjurkan pertandingan. Proses pencarian itu akan berlangsung hingga akhir Mei depan.

"Skrip pemenang utama akan dipilih untuk dijadikan filem. Setakat ini, kami sudah menerima beberapa skrip untuk dinilai. Ada antaranya nukilan penulis berpengalaman yang pernah menulis novel dan projek pementasan," katanya.

Bagaimanapun, Amir berkata, tiada syarat khusus ditetapkan pada pertandingan itu.

"Sesiapa sahaja boleh menghantar penyertaan termasuk penulis baharu. Ini bukanlah kali pertama kami anjurkan pertandingan menulis skrip. Filem kedua terbitan kami berjudul Ceroboh juga menggunakan konsep sama," katanya.

Ditanya apakah FINAS menetapkan syarat tertentu berikutan pembikinan filem itu dibiayai atas dana disediakan, Amir berkata, perbadanan itu tidak campur tangan.

"Biarpun sasaran filem ini adalah untuk pasaran luar negara, namun kami akan pastikan jalan ceritanya mematuhi garis panduan Lembaga Penapis Filem (LPF).

"Insya-Allah, jika segala-galanya lancar, penggambaran akan dimulakan akhir tahun ini. Banyak proses perlu dilalui, selain produksi kami sedang sibuk menerbitkan filem kedua, Ceroboh.

"Apa yang pasti, filem dibiayai DKD ini akan menemui penonton tahun depan. Kita perlu menunggu giliran seperti yang disyaratkan dalam Skim Wajib Tayang," katanya.

Filem Roh tidak dibarisi ramai pelakon komersial, namun, naskhah itu diterima penonton luar negara dan menjadi pilihan platform digital global ketika ditayangkan.
Filem Roh tidak dibarisi ramai pelakon komersial, namun, naskhah itu diterima penonton luar negara dan menjadi pilihan platform digital global ketika ditayangkan.

Lumrah selepas memenangi Filem Terbaik dan meraih pengiktirafan luar negara, pasti penonton meletakkan harapan tinggi untuk karya susulan Kuman Pictures ini.

Ditanya apakah ini memberi tekanan kepada syarikat, Amir yang pernah mengarahkan filem Lelaki Komunis Terakhir dan Susuk ini enggan menjanjikan 'bulan' dan 'bintang'.

Sebaliknya, Amir berkata, syarikat akan cuba memberi kepuasan maksimum kepada penonton mengikut bajet diberi.

"Kita tidak mampu untuk menutup mulut orang atau mengelak daripada dibandingkan. Biarpun filem ini berskala kecil, tetapi kita akan cuba beri yang terbaik kepada penonton terutama dari segi kualiti.

"FINAS tidak memberi tekanan kepada kami. Mereka cuma minta kami nyatakan tarikh penggambaran kerana mahu menyediakan dana dijanjikan. Dana itu tidak diberi sekali gus, sebaliknya secara berperingkat," katanya.

Roh mengangkat kisah keluarga daif yang menetap di pinggir hutan.

Mereka didatangi tetamu tidak diundang iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan ngeri. Pelbagai peristiwa mistik berlaku selepas itu.

Filem Roh dibintangi Farah Ahmad sebagai Mak, Mhia Farhana (Along), Harith Haziq (Angah), Nam Ron (pemburu), June Lojong (Tok) dan Putri Qaseh (Adik) menjalani penggambaran selama 15 hari di lokasi hutan di Dengkil, Selangor.

Berita Harian X