Isnin, 24 Januari 2022 | 7:02pm
Fathia masih menerima banyak tawaran berlakon, nafi digam stesen TV akibat perbuatan silam. - Foto IG Nur Fathia Abdul Latiff
Fathia masih menerima banyak tawaran berlakon, nafi digam stesen TV akibat perbuatan silam. - Foto IG Nur Fathia Abdul Latiff

Kerjaya Fathia 'bernyawa' semula

KUALA LUMPUR: Tidak lagi mencetuskan isu sensasi dan dan melakukan perkara yang memberi aib, kehidupan pelakon tinggi lampai, Nur Fathia Abdul Latiff, 35, kini, lebih tenang.

Bagaikan tersedar daripada mimpi panjang, bintang jelita yang pernah mencetuskan fenomena menerusi drama Ariana Rose dan Dia Isteri Luar Biasa sepi dari kontroversi, kekecohan dan kekalutan hidup.

Malah, namanya seperti tenggelam timbul, sejak beberapa tahun ini. Wajah kacukan Melayu, Indonesia dan Arab itu juga sudah jarang menghiasi kaca televisyen (TV)

Kali terakhir, Fathia muncul menerusi drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd sekitar pertengahan tahun lalu. Lalu, timbul persepsi Fathia digam stesen TV akibat perbuatan silamnya.

Fathia berkata, kontroversi yang pernah dicetuskan sedikit sebanyak memberikan impak terhadap kerjaya seninya.

Namun, Fathia menafikan, dirinya digam stesen TV, sebaliknya, tawaran lakonan masih tidak putus diterima. Cuma, dirinya pula terlalu berbelah-bahagi untuk menerimanya.

"Minat dan perasaan cinta terhadap dunia lakonan masih menebal. Namun, entah kenapa hati saya seakan keberatan berlakon. Saya percaya ini juga berpunca daripada kesihatan mental yang dihadapi, selain dipengaruhi peningkatan usia.

"Jujurnya, banyak perkara negatif yang membuatkan saya banyak berfikir. Tawaran lakonan sentiasa ada, cuma, saya selalu fikir adakah watak ditawarkan bersesuaian?

"Bagaimana soal bayaran? Siapa pula hero yang akan bergandingan, adakah mampu mencipta keserasian? Itulah antara punca kenapa saya jarang muncul di kaca TV," katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang itu berkata, dia tentunya tidak menolak sekiranya ada tawaran menarik, karakter dan jalan cerita yang bagus.

"Saya agak keberatan sekiranya menerima watak pembantu yang cuma terbabit dalam dua tiga babak sahaja.

"Saya bukannya berlagak 'diva', nama pun sudah semakin suram, cuma, ia tidak memberikan kepuasan apabila hanya muncul sekejap.

"Saya rindukan perasaan ingin fokus ketika berada lokasi penggambaran. Rindu suasana keseronokan ketika bekerja. Saya tidak mahu sekadar pergi dan balik shooting dalam tempoh singkat," katanya.

Fathia berkata, dia pernah terdetik mahu meninggalkan dunia seni, namun, atas nasihat beberapa teman baik yang tidak bersetuju, hasrat berkenaan dipertimbangkan semula.

Katanya, teman baiknya menganggap keputusan meninggalkan bidang lakonan merugikan, apatah lagi, betapa sukarnya membina nama sejak lebih 12 tahun bergelar pelakon.

"Ramai teman baik tidak bersetuju dengan keputusan saya. Ini kerana mereka melihat kesusahan saya membina nama sehingga dikenali. Jadi, takkan saya mahu meninggalkan kerjaya yang pernah dibina begitu sahaja.

"Jadi, mereka meminta saya bersabar dan terus berusaha. Sebenarnya, saya suka mencuba sesuatu yang baru. Ada kala minat terhadap sesuatu hanya bertahan seketika.

"Selain lakonan, saya juga meminati bidang nyanyian, tetapi, percaturan saya tidak begitu menjadi.

"Sungguhpun begitu, saya tetap bersyukur masih mampu meraih pendapatan menerusi ulasan produk di Instagram. Alhamdulillah, ia menjadi sumber rezeki berkat melayan peminat dengan baik di laman sosial.

"Biarpun nama saya pernah dihimpit pelbagai kontroversi, tetapi, masih ada yang sudi mengupah saya membuat ulasan di IG," katanya.

Antara babak Fathia dan Kamal dalam filem Gracias Barcelona yang menjalankan penggambaran di Barcelona sebelum pandemik. - Foto Ihsan Astro
Antara babak Fathia dan Kamal dalam filem Gracias Barcelona yang menjalankan penggambaran di Barcelona sebelum pandemik. - Foto Ihsan Astro

Mengulas adakah ingin meninggalkan dunia seni kerana sudah menemui teman hidup untuk dijadikan calon suami, Fathia menafikannya. Malah, akui, sudah tidak larat kembali bercinta dan memulakan perhubungan dari awal pada usia 35 tahun.

Katanya, bukan sebab serik, sebaliknya sikap yang suka melakukan hal sendiri menyebabkannya sukar mencari lelaki yang bersesuaian dan memahami naluri hatinya.

"Saya tidak larat mahu memulakan perhubungan baru. Bukan sebab kecewa dengan beberapa kisah percintaan lalu, tetapi, tiada lelaki boleh tahan dengan sikap saya.

"Saya jenis suka melakukan hal sendiri, jadi, agak sukar mempertahankan hubungan dengan lelaki," katanya yang kini muncul dengan filem terbaharu, Gracias Barcelona arahan Feroz Kader.

Mengulas filem terbitan Azura Pictures yang menggandingkannya dengan Kamal Adli, Fathia berkata, penggambaran filem bergenre romantik itu dilakukan kira-kira tiga tahun lalu, sebelum pandemik.

Katanya, pasukan produksi mengelilingi bandar Barcelona, Sepanyol selama 10 hari untuk penggambaran filem berkenaan.

"Berbeza dengan filem romantik lain, Gracias Barcelona mengetengahkan kisah percintaan yang tragis apabila cinta dan kesetiaan dikhianati.

"Jalan cerita filem ini diinspirasi dari pengalaman penuntut ketika berada di luar negara.

"Namun, keindahan sinematografi pastinya membuat penonton tertarik. Antara lokasi popular menjadi lokasi penggambaran seperti La Sagrada Familia, Stadium Camp Nou Football, Casa Batllo, Port Olympic Barcelona dan pantai Port Olimpic," katanya.

Gracias Barcelona mengisahkan percintaan Kamal dan Fatiha berputik ketika menuntut di Barcelona, namun, hubungan tergugat apabila kembali ke tanah air.

Dalam usia masih muda dan kesempitan hidup, Fatiha tewas dengan ujian alam perkahwinan apabila memilih mengejar kesenangan dan godaan orang ketiga. Tinggallah Kamal dengan kesetiaan yang tersimpul mati dalam hati.

Selain Fathia dan Kamal, filem Gracias Barcelona turut menampilkan Afiq Muiz dan Bell Ngasri. Ia ditayangkan menerusi Astro First sejak 13 Januari lalu.

Gracias Barcelona memilih lagu tema berjudul 'Gracias Barcelona', nyanyian Nadia Hasnan. Muzik digubah mengikut rentak Spanish, Flamenco dan Latin.

Berita Harian X