Isnin, 24 Januari 2022 | 3:53pm
Apabila mahu tersungkur, Niezam cepat mengingati di mana permulaan hidupnya sebagai pelakon. - Foto IG Niezam Zaidi
Apabila mahu tersungkur, Niezam cepat mengingati di mana permulaan hidupnya sebagai pelakon. - Foto IG Niezam Zaidi

Niezam insaf lepas 'kantoi' kes dadah

KUALA LUMPUR: Setiap manusia tidak dilahirkan sempurna, pasti melakukan kesilapan sepanjang hidup. Begitu juga pelakon kontroversi, Niezam Zaidi apabila terpalit isu dadah.

Akibat tersilap percaturan, akhirnya kekhilafannya 'makan diri' selepas terperangkap dalam serbuan dengan pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada Oktober, tahun lalu.

Selama tiga bulan turun naik mahkamah apabila terkait dengan kes dadah, akhirnya episod hitam itu berlalu.

Niezam atau nama sebenarnya, Muhamad Niezam Mohd Zaidi didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak dan perlu menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas mengaku bersalah pada minggu lalu.

Selain Niezam, pengarah filem, Mohd Latiff Zami dan penolong pengarah, Saiful Zaidrin Ismail turut mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.

Niezam berkata, sebagai manusia, dia juga tidak lari daripada melakukan kesilapan.

"Pastinya, apa yang berlaku membuatkan saya menyesal dan insaf. Sejujurnya, saya mahu menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum ini.

"Ini adalah kekhilafan saya, tetapi hidup mesti diteruskan. Apa juga pandangan, persepsi dan kesan di sebalik episod hitam ini, saya kena telan.

"Saya terima dengan berlapang dada dan belajar daripada pengalaman," katanya kepada BH Online.

Pelakon filem M4M4 dan Geran itu berkata, dia bengang apabila alamat kediaman keluarga tular dan mahu bersemuka individu menyebarkannya.

"Saya sudah kenal pasti individu ini termasuk memiliki gambar dan menyiasat identitinya. Cuma, saya pelik, kenapa individu ini berbuat demikian. Apa salah saya kepadanya?

"Saya akan menggunakan khidmat peguam untuk membawa perkara ini ke muka pengadilan, insya-Allah. Sudah tentu, tindakan individu ini menjejaskan kehidupan keluarga dan orang sekeliling saya.

"Jika mahu marah, lepaskan kemarahan pada saya, bukan mengheret keluarga yang tidak bersalah," katanya.

Niezam bersyukur masih diterima biarpun perbuatannya mencalarkan maruah. - Foto IG Niezam Zaidi
Niezam bersyukur masih diterima biarpun perbuatannya mencalarkan maruah. - Foto IG Niezam Zaidi

Katanya, perkataan putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, biarpun melalui ujian yang berat.

"Saya takkan sesekali berputus asa atau terus lemah. Apabila nak tersungkur, saya akan cepat mengingati di mana permulaan hidup saya.

"Alhamdulillah, saya masih diterima walaupun perbuatan saya mencalar maruah. Tahun ini, saya teruja menanti tayangan filem Rempit 2 dijangka menemui penonton di pawagam pada Mei depan, selain filem Airforce The Movie," katanya.

Niezam menyifatkan, hidup ini tak ubah seperti pentas ujian.

"Sebagai manusia, saya juga tidak terlepas diuji. Pelbagai perasaan menerjah pada ketika bergelut dengan masalah.

"Namun, satu perkara, hidup kita tidak mampu memuaskan hati semua. Jadi, teruskan kehidupan tanpa terlalu memikirkan bebanan untuk memuaskan hati orang," katanya.

Terdahulu, Niezam bersama Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Kuala Kangsar pada 7.15 pagi pada 10 Oktober, tahun lalu.

Dalam serbuan, polis menjumpai dadah jenis kanabis seberat 1.45 gram dipercayai milik pelakon dan pengarah terbabit. Pemeriksaan di bilik penolong pengarah pula menjumpai dadah jenis methamphetamine seberat 0.38 gram.

Ketiga-tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar 12 Oktober lalu mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah.

Berita Harian X