KUALA LUMPUR: Primeworks Studio (PWS) menggariskan dua syarat utama kepada syarikat produksi animasi yang mahu bekerjasama dengan memberi penekanan terhadap jalan cerita dan karakter.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, syarat itu antara lain bertujuan untuk pasaran peringkat global.
"Kami menerima banyak kertas cadangan dan idea baharu, namun, ia masih dalam penilaian selepas kejayaan dua animasi di bawah PWS iaitu Ejen Ali dan Alif & Sofia.
"Seperti diketahui, pandemik menyekat pergerakan dan perkembangan dari sudut pembangunan animasi. Namun, kami sedia merancakkan dan menilai projek baharu untuk PWS yang bakal diketengahkan pada masa akan datang.
"Sama animasi lain, ia memerlukan kekuatan cerita dan karakter. Karakter dicipta harus mewakili pasaran.
"Kami menilai dari sudut kemampuan animasi untuk dipasarkan di Malaysia atau negara serantau berbahasa Melayu," katanya kepada BH Online.
Khairul Anwar ditemui pada sesi Media Prima Toonz (MP Toonz) iaitu webinar pertama anjuran Bahagian Pelesenan dan Pembarangan (Licensing & Merchandising Division - L&M) Rangkaian Televisyen Media Prima, pagi semalam.
Turut melihat produk animasi dari aspek perniagaan, Khairul Anwar menambah, produksi animasi perlu menghasilkan karakter animasi yang berpotensi untuk menarik minat penaja untuk menjalinkan kerjasama.
"PWS mencari animasi yang boleh mengisi ruang kosong dari segi jalan cerita, selain apa yang dipaparkan dalam animasi yang sedia ada termasuk kumpulan penonton sasaran penaja pada masa akan datang.
"Sehubungan itu, kami harus melakukan penyelidikan, mempelajari dan membuat kajian terperinci untuk faham animasi bagaimana perlu dipilih serta dikembangkan selanjutnya," katanya.
Menerusi penganjuran webinar itu, peserta dipertontonkan mengenai peranan bahagian L&M serta harta intelek yang dapat menghasilkan kandungan animasi baharu di mana rakan penaja berpeluang berkolaborasi dengan Media Prima Berhad dalam pemasaran produk.
"Sejak penerokaan pertama ke bidang animasi pada 2016, kami bangga sebagai 'ibu bapa' dan penerbit bersama untuk dua harta intelek Malaysia yang cemerlang iaitu Alif & Sofia yang kini dapat distrim secara langsung di platform penstriman Disney+Hotstar dan mempunyai lebih daripada 360 ribu langganan di saluran rasmi YouTube.
"Ini termasuklah Ejen Ali yang melakar kejayaan dan rekod baharu sebagai filem cereka animasi pertama dengan mengumpul lebih RM30 juta di kutipan box office semasa tayangan awalnya pada 2019.
"Jutaan penghargaan diucapkan kepada penerbit bersama, Blindspot Studios yang menghasilkan Alif & Sofia dan WAU Animation yang memenangi pelbagai anugerah menerusi siri animasi dan filem blockbuster, Ejen Ali.
"Oleh itu, kami teruja untuk membuka rahsia dan peluang kolaborasi dalam pelesenan jenama dengan dua jenama animasi yang memenangi anugerah dengan kandungan inovatif dan pakej pengiklanan strategik untuk memaksimumkan pelaburan pemasaran anda," katanya.
Menerusi Webinar yang berlangsung lebih sejam, lima panel berpengalaman dari pelbagai bidang dijemput berkongsi topik menarik dalam MP Toonz.
Ia membabitkan Pengurus Animasi, Rangkaian Televisyen Media Prima & PWS, Aziemah Azman; Ketua Pegawai Eksekutif, Blindspot Studios, Lukman Othman; Ketua Pegawai Eksekutif, WAU Animation, Usamah Zaid Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif, WOWSHOP, Yanhy Kim dan Pengurus Perniagaan, Pelesenan & Pembarangan, Rangkaian Televisyen Media Prima, Hana Hatim.