Ahad, 16 Januari 2022 | 9:08am
Noraniza puji kesungguhan Amsyar menggantikan posisinya, malah, berjaya membawa kelainan pada lagu Intan Payung.
Noraniza puji kesungguhan Amsyar menggantikan posisinya, malah, berjaya membawa kelainan pada lagu Intan Payung.

Kak Ani serah mandat pada Amsyar?

KUALA LUMPUR: Sekalipun pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) cukup sebati Ratu Pop Tradisional, Noraniza Idris, namun, tidak sedikitpun ada perasaan ralat apabila melepaskan peluang kepada penyanyi baharu, Amsyar Lee menggantikan posisinya ketika peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-36 (SFMM36), baru-baru ini.

Baginya, Amsyar berjaya melakukan kelainan apabila berduet dengan Bunga Isme menerusi lagu Intan Payung walaupun menerima kecaman.

"Saya menunaikan umrah buat kali pertama di Tanah Suci Makkah penghujung tahun lalu. Alhamdulillah, kini, saya sudah pulang ke tanah air pada awal Januari lalu.

"Berkat doa, lagu ciptaan Luca Sickta, Bunga dan Amzar Razqa, manakala lirik oleh Bunga dan Siqma itu berjaya mencipta kejutan apabila bolos sebagai finalis AJL36.

"Secara peribadi, saya menyukai versi dan gaya nyanyian Amsyar sewaktu menggantikannya saya di SFMM36, walaupun terima kecaman," katanya kepada BH Online.

Katanya, tidak perlu wujud pertikaian kerana menyukai cara nyanyian Amsyar hingga lagu Intan Payung berjaya melangkah ke pentas AJL36.

"Jujurnya, saya tiada masalah menyerahkan mandat ini kepada Amsyar, malah, berasakan apabila lagu Intan Payung yang dinyanyikan Bunga dan Amsyar menyuntik kelainan.

"Saya mulanya mengenali Amsyar disebabkan pernah tular sebelum ini. Ini kerana kebolehan meniru suara penyanyi wanita popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Elizabeth Tan dan Dayang Nurfaizah.

"Ketika Bunga menyebut namanya akan menjadi penyanyi ganti di SFMM36, saya memang tidak tahu siapa Amsyar.

"Namun, apabila Bunga menyebut yang Amsyar pernah tular dengan kebolehan meniru gaya penyanyi wanita, baru saya dapat 'tangkap' siapa gerangannya," katanya.

Noraniza berkata, dia menonton semula persembahan Bunga dan Amsyar di laman YouTube dan menyifatkan Amsyar ada kesungguhan, tidak sekadar menyanyi untuk menggantikan posisinya semata-mata.

"Bukan semua penyanyi boleh 'carry weight' lagu tradisional. Ditambah pula kebolehannya meniru gaya penyanyi wanita, lagilah menjadi.

"Amsyar membuat persembahan seperti menyanyikan lagunya sendiri. Bahkan, ada bahagian nyanyiannya sangat kena dengan nada asal lagu Intan Payung.

"Walaupun saya melihat Amsyar tiada cacat cela mendendangkan lagu Intan Payung, tetapi netizen tetap mengecamnya. Bagi saya, itu lumrah sebab soal perbandingan sentiasa terjadi," katanya.

Amsyar berjaya melakukan kelainan apabila berduet dengan Bunga Isme menerusi lagu Intan Payung walaupun menerima kecaman.
Amsyar berjaya melakukan kelainan apabila berduet dengan Bunga Isme menerusi lagu Intan Payung walaupun menerima kecaman.

Mengulas persoalan, adakah bakal berduet dengan Bunga di pentas AJL36 yang kini menjadi spekulasi, Noraniza berkata, dia enggan beriya-iya dan menyerahkan kepada keadaan.

"Apapun berlaku, saya tetap akan menyokong perjuangan Bunga menjelang malam kemuncak AJL36.

"Saya pastinya akan campur tangan menyalurkan pandangan dan idea demi persembahan yang terbaik dari setiap sudut.

"Saya berharap, Bunga melakukan persiapan daripada sekarang dan elak pada saat akhir," katanya.

Akuinya, dia tak putus berdoa agar persembahan Bunga dan Amsyar lancar ketika SFMM36 sepanjang berada di Tanah Suci.

"Sewaktu keputusan diumumkan, saya dan suaminya, Jeffri Hudi dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Jeddah untuk kembali ke tanah air.

"Kami dan jemaah umrah lain sempat berhenti di sebuah kawasan menunaikan solat dan makan malam. Ketika itu, berita lagu Intan Payung diterima.

"Hanya Allah sahaja mengetahui, saya sangat bersyukur. Bahkan, saya membaca komen Ketua Juri SFMM36, Datuk Mokhzani Ismail mengenai kekuatan lagu Intan Payung hingga berjaya melangkah ke pentas AJL36," katanya.

Akuinya, lagu Intan Payung berjaya diadun dalam genre tradisional, rap dan hip hop hingga membawa satu kelainan.

"Hanya doa yang tidak putus dapat saya panjatkan buat lagu Intan Payung ketika di pentas AJL36," katanya.

Berita Harian X