Isnin, 10 Januari 2022 | 11:00am
Ghaz tidak kisah jika sedutan filem arahannya dikongsi pempengaruh media sosial atas tujuan memberi promosi terhadap karya dihasilkan, bukan atas tujuan menjana keuntungan. Foto Ihsan Ghaz Abu Bakar
Ghaz tidak kisah jika sedutan filem arahannya dikongsi pempengaruh media sosial atas tujuan memberi promosi terhadap karya dihasilkan, bukan atas tujuan menjana keuntungan. Foto Ihsan Ghaz Abu Bakar

Kes curi rakam bikin malu industri filem

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha menganggap insiden mengaitkan pempengaruh media sosial, Nur Ameera Khan yang didakwa berkongsi babak filem House of Gucci di Instagram Story (IGs), baru-baru ini, boleh mencalarkan nama negara kerana membabitkan karya asing.

Pansha berkata, kegiatan seumpama itu tidak disokong, biarpun tidak membabitkan produk tempatan.

"Walaupun tidak membabitkan filem Malaysia, namun, dari aspek industri seni kreatif, insiden itu ibarat pepatah cubit paha kanan, paha kiri terasa.

"Kita kena hormat dan perlu menjaga nama baik Malaysia. Apabila insiden itu menjadi isu hangat dan sampai ke pengetahuan pengedar filem berkenaan, secara tidak langsung, ia membabitkan nama Malaysia.

Pansha mengingatkan selebriti dan pempengaruh media sosial agar lebih sensitif dalam menjaga kepentingan hak cipta kandungan kreatif sebelum memuat naik sebarang perkongsian. Foto Ihsan PFM
Pansha mengingatkan selebriti dan pempengaruh media sosial agar lebih sensitif dalam menjaga kepentingan hak cipta kandungan kreatif sebelum memuat naik sebarang perkongsian. Foto Ihsan PFM

"Lebih-lebih lagi jika perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan selebriti. Sudah pasti perkara ini akan menjadi isu besar," katanya kepada BH Online.

Pansha merayu selebriti atau pempengaruh media sosial bersikap lebih sensitif dan berfikir panjang mengenai kesan yang akan berlaku.

"Biar apapun yang ingin dilakukan, selebriti terutamanya kena jaga imej negara dan industri yang diwakili.

"Jangan anggap isu ini sebagai remeh. Kita tidak mahu orang pandang rendah kerana sikap tidak ambil peduli itu" katanya.

Sementara itu, pengarah filem pecah panggung, Ghaz Abu Bakar punya pandangan berbeza.

Bagi pengarah filem Polis Evo 1 dan 2 ini, sebagai pempengaruh media sosial, perbuatan Ameera tidak salah kerana tujuan beliau mempromosikan filem berkenaan.

"Kalau setakat hantaran yang dimuat naik itu kurang daripada 30 saat atau seminit, saya tak rasa perbuatan itu salah.

"Sebagai insan pertama berpeluang menonton filem itu, sudah tentu Ameera teruja dan ingin beritahu pengikut mengenai aktivitinya itu.

"Secara tidak langsung, sekarang ini, ramai yang sudah tahu mengenai filem itu bakal ditayangkan selepas isu ini menjadi bualan.

"Lainlah kalau Ameera muat naik keseluruhan filem itu dalam media sosial atau cuba mendapatkan keuntungan wang ringgit melalui perbuatannya itu.

"Jika itu berlaku, ia memang salah... Saya tidak rasa dia ada niat begitu," katanya.

Sebagai penggiat seni, Ghaz mengaku bersikap terbuka dan tidak kisah jika ada pihak memuat naik klip video filem arahannya ke media sosial bagi tujuan publisiti.

"Bayangkan kalau Chris Hemsworth muat naik filem saya di media sosial, sudah tentu saya seronok. Jika ditanya, saya okay sahaja dengan perbuatan Ameera itu," katanya.

Sementara itu, Ameera ketika dihubungi HIP enggan mengulas isu yang sedang hangat diperdebatkan netizen itu.

Berita Harian X