Sabtu, 8 Januari 2022 | 1:00pm
Hasmah dan arwah Mamat melalui suka duka bersama selama 34 tahun.
Hasmah dan arwah Mamat melalui suka duka bersama selama 34 tahun.

Sentiasa mengalir air mata kenang arwah Mamat

KUALA LUMPUR: Menyingkap tirai 2021 menyaksikan industri seni dan muzik meratapi kehilangan insan seni yang banyak menabur jasa.

Kehilangan besar yang tiada galang ganti, namun, sumbangan terhadap industri seni tetap dikenang sampai bila-bila.

Namun, pemergian pengarah tersohor, Mamat Khalid begitu merobek hati dan meninggalkan kesan mendalam hingga ditangisi segenap penjuru.

Isteri arwah Mamat, Hasmah Hassan tentunya paling terkesan atas pemergian insan yang tidur sebantal dengannya sejak 34 tahun lalu.

"Setiap kali teringatkan arwah abang Mamat, pastinya saya mengalirkan air mata," luah Hasmah kepada BH Online.

Meskipun hampir dua bulan pemergian arwah suami, Hasmah berkata, dia sering teringat pada arwah, namun, perlu kuat di hadapan anak-anaknya.

"Bila teringat, saya menangis, namun, tetap cuba bertahan. Ini kerana jika saya menangis di depan anak-anak, kasihan mereka. Sayalah kekuatan anak-anak.

"Jujurnya, tak mudah dan pasti mengambil masa. Bayangkan, saya dan arwah 34 tahun susah dan senang bersama. Saya bukan orang seni, namun, berkahwin dengan insan seni kena banyak bersabar.

"Itulah perkara yang membuat saya terkenang, pahit manis yang dilalui bersama," katanya.

Pengarah filem Hantu Kak Limah dan Rock Bro itu menghembuskan nafas terakhir dalam ambulans ketika perjalanan ke Hospital Slim River, Perak akibat serangan jantung, jam 12.30 tengah malam pada 23 Oktober lalu.

Hasmah berkata, jika diikutkan sudah hilang semangat meneruskan impian dan cita-cita arwah. Namun, kembali bersemangat berkat sokongan peminat dan rakan arwah.

Arwah Mamat bersama isteri dan lima cahaya matanya.
Arwah Mamat bersama isteri dan lima cahaya matanya.

Katanya, seperti pengurusan tempat kegemaran arwah, Kafe Sarang Art Hub.

"Siapa sangka saya dapat sokongan kuat peminat arwah, jadi memangkin semula semangat untuk terus mengusahakannya.

"Minggu lalu, 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi, Ducati datang dan memakai t-shirt 'tribute kepada Mamat Khalid'. Bila nampak, saya menangis.

"Mereka beri kata semangat dan minta saya jangan tutup Kafe Sarang Art Hub. Mereka mahu terus sokong dan jika berdepan masalah, cari mereka.

"Saya akui, memang ramai peminat datang dari satu Malaysia. Arwah suka buat orang ketawa, jadi bila tiada, orang menangis.

"Mereka yang datang bukannya pernah berjumpa dengan arwah. Saya jadi lebih terharu dan merasakan arwah sentiasa ada di sini," katanya.

Justeru itu, Hasmah berharap anaknya, Mohd Khalid Amen dapat menyambung legasi arwah dalam menghasilkan karya yang memberikan inspirasi pada penonton.

Kata Hasmah, Amen juga bersemangat meneruskan kerja peninggalan arwah.

"Saya turun padang menemani Amen ketika penggambaran telefilem Kampung Pisang Berbuah Dua Kali. Amen minta saya menemaninya, tetapi saya belum habis tempoh idah. Jadi, Amen minta saya menunggunya dalam kereta.

"Saya cukup faham anak saya, jadi, saya turun juga. Amen pendiam, kita tak tahu apa yang ada dalam kepalanya.

"Jadi, ada masa saya duduk di sebelah menemani. Seperti bersama arwah, saya tidak banyak bercakap kerana menghormati kerja mereka. Arwah, pengarah yang menyimpan segala-galanya dalam kepala, jadi tidak terlalu banyak bersembang.

"Dan, saya dapat lihat Amen juga sepertinya. Tetapi, Amen tidak segarang bapanya. Pada hari pertama penggambaran, ketika Amen memberi arahan menerusi 'walkie talkie' dengan mengatakan 'roll, action', semua terdiam kerana sebiji suara arwah.

"Bila mendengarnya, hilang rasa rindu," katanya.

Berita Harian X