Sabtu, 8 Januari 2022 | 8:30am

Elisya, Noki ketepikan telefon di lokasi

KUALA LUMPUR: Biarpun belum buka mulut, namun, pelakon Elisya Sandha, 22, mengambil tempoh rehat yang panjang selepas berkongsi berita kehamilan, baru-baru ini.

Bukan hanya disebabkan berbadan dua, Elisya mahu berehat disebabkan kerja berlebihan selepas berbulan-bulan bekerja tanpa rehat yang mencukupi.

"Sekarang ini, saya masih berehat. Saya memang kurang sihat, jadi, saya mengambil tempoh berehat selama satu bulan untuk fokus dengan keluarga.

"Saya rasa penat kerana terlalu banyak bekerja. Jadi, saya cepat letih.

"Dan kalau nak cakap perancangan mengenai soal anak, memang ada," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Elisya juga baru sahaja melaksanakan majlis resepsinya di Perlis pada 19 Disember lalu. Elisya mendirikan rumah tangga dengan anak sulung penerbit, Sheila Rusly, Uzair Haqimy pada 21 Ogos lalu.

"Alhamdulillah, majlis resepsi di kampung halaman berjalan dengan baik. Suami dan keluarga mentua dapat juga berkenalan dengan keluarga di kampung.

"Pada masa sama, majlis resepsi berlangsung mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul, walaupun susah.

"Semua tetamu memahami kita berada dalam norma baharu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar drama terbaharu, Oh My Hantaran secara virtual, baru-baru ini.

Drama Oh My Hantaran bersiaran menerusi slot Diandra TV9, setiap Isnin hingga Khamis, jam 8.30 malam sejak 29 Disember ini.

Oh My Hantaran sebanyak 20 episod diarahkan oleh Shuhaimi Lua dan skrip ditulis MF Kencana. Ia juga kali pertama menggandingkan Elisya bersama dua anggota K-Clique, Noki dan MK.

Elisya dan suami, Uzair baru sahaja mengadakan majlis resepsi di kampung halamannya di Perlis pada 19 Disember lalu selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga. - Foto IG Elisya Sandha
Elisya dan suami, Uzair baru sahaja mengadakan majlis resepsi di kampung halamannya di Perlis pada 19 Disember lalu selepas tiga bulan mendirikan rumah tangga. - Foto IG Elisya Sandha

Berkongsi lanjut, Elisya gembira dapat bekerjasama dengan Noki.

Akuinya, awalnya Noki agak gementar untuk menjayakan adegan bersamanya.

"Pada hari pertama, perlu mengambil dua hingga tiga 'take' kerana Noki gementar. Kerana pada hari pertama, tenaga saya tinggi dan Noki jadi terkejut, itu yang membuatkannya gementar.

"Noki, seorang yang pemalu. Tetapi, saya mendekati dan berbual dengannya agar Noki selesa dengan saya. Hari kedua, boleh nampak perubahan positifnya.

"Ini kerana saya dan Noki memberikan sepenuh komitmen, bukan main telefon di lokasi, jadi, lebih mudah mahu mendapat keserasian.

"Selepas berlakon bersama, saya pun sudah pandai berbahasa Sabah," katanya yang menghidupkan watak gadis kampung, Mira.

Bertanya perancangan 2022, Elisya menyatakan hasrat mengikuti pengajian seni bagi menambah baik kualiti lakonannya.

"Untuk 2022, saya akan menjayakan sekuel Ratu Tenpin dan ada banyak drama yang akan dibintangi.

"Pada masa sama, saya mahu belajar kerana baru empat tahun bergelar pelakon.

"Masih banyak ilmu lakonan yang perlu didalami. Insya-Allah, jika ada rezeki dan peluang, saya akan ambil kursus pendek berkaitan seni persembahan," katanya.

Berita Harian X