KUALA LUMPUR: 'Single but not available.' Begitulah pengakuan penyanyi dan komposer berbakat besar, Zynakal, 23, apabila diusik persoalan jodoh.
Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli mengakui, dia kini sedang mengenali hati budi seorang gadis, bagaimanapun enggan mendedahkan identitinya.
Akuinya, dia belum mempunyai perancangan menamatkan zaman bujang, biarpun teman seusianya, Yonnyboii dan Haqiem Rusli memilih bergelar suami pada usia yang muda.
"Saya akui, sedang mengenali hati budi seorang gadis, namun, perhubungan masih baharu. Si dia hanya gadis biasa, bukan di kalangan artis mahupun selebriti media sosial.
"Jujurnya, saya mahu fokus mengejar cita-cita terlebih dahulu. Saya belum sampai tahap Haqiem atau Yonnyboii, mereka sudah stabil dalam kerjaya dan memahat nama dalam industri muzik.
"Untuk berkahwin jauh lagi, perancangan saya belum ke arah berumah tangga, apatah lagi, masih banyak perkara yang dirancang," katanya kepada BH Online.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Terbang dan Sakit itu berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran usia untuk berkahwin, mungkin sebelum usia 30 tahun.
"Bagi saya, kalau mahu berkahwin tentulah ada sasaran, namun, saya tidak cerewet memilih pasangan.
"Kalau ditanya ciri-ciri yang disukai, saya tiada pilihan khusus. Jika saya selesa dengan seseorang, itu sudah memadai.
"Jika belum bertudung, tidak mengapa. Saya percaya setiap manusia akan berubah suatu hari nanti. Apa yang lebih penting, keserasian dalam perhubungan," katanya yang baru sahaja diangkat sebagai Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2021, baru-baru ini.