Sabtu, 1 Januari 2022 | 6:00pm
Zynakal menyifatkan kemenangan Komposer Muda Berpotensi, Anugerah MACP 2021 sebagai penutup yang manis untuk 2021. - NSTP/Owee Ah Chun
Zynakal menyifatkan kemenangan Komposer Muda Berpotensi, Anugerah MACP 2021 sebagai penutup yang manis untuk 2021. - NSTP/Owee Ah Chun

Zynakal terkejut menang Komposer Muda Berpotensi

KUALA LUMPUR: Walaupun dilabel bermasalah dan sakit mental, namun penutup jendela 2021 mencipta kemanisan buat penyanyi dan komposer berbakat besar, Zynakal apabila memenangi trofi Komposer Muda Berpotensi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2021.

Segak menggayakan sepasang sut rona hitam, pencipta lagu Sakit yang sehingga kini berjaya meraih 46 juta tontonan di platform YouTube itu mengakui, dia terkejut pada saat namanya diumumkan sebagai pemenang.

"Saya tak tahu menahu mengenai pemilihan menerima trofi ini. Saya sangka hanya diundang sebagai tetamu bagi memeriahkan Anugerah MACP 2021.

"Memang terkejut apabila nama diumumkan. Bagi saya, ramai lagi calon yang layak dan lebih bagus daripada saya. Tetapi inilah dinamakan rezeki.

"Lebih mengejutkan, saya tidak menghasilkan banyak karya tahun lalu. Saya hanya menghasilkan dua lagu. Sudah tentu saya amat menghargai pengiktirafan diberikan.

"Saya anggap pengiktirafan ini sebagai penutup yang manis untuk 2021," katanya kepada BH Online.

Trofi Komposer Muda Berpotensi yang diterima menjadi peniup semangat buat penyanyi kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu untuk terus menghasilkan karya, malah sudah merancang penerbitan album sulung tahun ini.

Bakal memuatkan 10 lagu, Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli berkolaborasi dengan beberapa penyanyi dan seorang daripada adalah bapa saudaranya iaitu penyanyi legenda, Zamani Slam.

"Saya hanya sempat hasilkan dua lagu tahun lalu. Saya enggan buang masa lagi dan merancang muncul dengan album penuh yang memuatkan 10 lagu, tahun ini.

"Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai penyanyi 'one hit wonder'. Jadi, saya buat keputusan menghasilkan album. Lagipun, ada peminat mungkin hanya mengenali saya melalui lagu Sakit. Ada yang tidak tahu saya boleh menghasilkan pelbagai genre lagu," katanya.

Zynakal bersama Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan barisan pemenang. - NSTP/Owee Ah Chun
Zynakal bersama Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan barisan pemenang. - NSTP/Owee Ah Chun

Zynakal berkata, itu juga antara alasan kenapa dirinya memilih berkolaborasi dengan beberapa penyanyi dalam album termasuk Zamani.

"Untuk lagu bersama Zamani, saya memilih genre balada, tetapi kami akan menyampaikannya dengan cara tersendiri," katanya.

Katanya, album itu sudah hampir 50 peratus siap dan bakal menyelitkan lagu yang memberikan impak sama seperti Sakit.

Namun, Zynakal berkata, dia tidak berani berjanji, sebaliknya berharap peminat menantikan kemunculan lagu baharu itu.

"Saya ada menghasilkan lagu yang impaknya dijangka setanding dengan lagu Sakit. Itu pandangan saya kerana jiwa saya ketika menghasilkan karya ini sama seperti menghasilkan lagu Sakit.

"Tetapi, saya tidak berani janji, biarlah peminat dengar dan menilai sendiri. Apa pun, saya akui lagu Sakit memberikan impak yang besar bukan sahaja terhadap kemunculan saya, malah mengumpul ramai peminat.

"Tuah lagu Sakit membawa banyak kejayaan buat saya termasuk menang dalam Anugerah MACP 2021," katanya yang pernah menghasilkan lagu untuk beberapa penyanyi lain seperti Haqiem Rusli dan Ismail Izzani.

Mengulas soal senario industri muzik hari ini, Zynakal berkata, dia sentiasa mengkaji pergerakan lagu.

"Biarpun ada sesetengahnya tidak sesuai dengan jiwa, tetapi perlu diterima bagi menyesuaikan peredaran muzik semasa.

"Corak penulisan lirik zaman sekarang turut menyaksikan revolusi dengan penulisan lirik yang agak minimum dan mudah diingati. Penggunaan lirik berulang juga menjadi kebiasaan pada trend masa kini," katanya.

Berita Harian X