Sabtu, 1 Januari 2022 | 8:58am
Persembahan Aina menerusi lagu Sepi ciptaannya, manakala lirik dihasilkan bersama Wan Zakaria. - Foto Ihsan TV3
Persembahan Aina menerusi lagu Sepi ciptaannya, manakala lirik dihasilkan bersama Wan Zakaria. - Foto Ihsan TV3

Penentuan 12 lagu berentap ke AJL36 malam ini

KUALA LUMPUR: Spekulasi dan teka-teki 12 lagu bakal berentap ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 bakal terjawab selepas pusingan Separuh Akhir Muzik-Muzik 36 (SFMM36) yang disiarkan secara langsung dari Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, Selangor, semalam dan hari ini.

Dihoskan Alif Satar dan Sissy Imann, episod satu SFMM36 menyaksikan 18 lagu bertanding, semalam, manakala, episod kedua pula mempertandingkan 12 lagu, malam ini. Semua lagu dinilai oleh barisan juri profesional.

Barisan peminat muzik tanah air boleh mengundi lagu kegemaran mereka iaitu Lagu Pilihan Penonton dalam dua episod SFMM35 dengan mengimbas QR Code yang tertera sewaktu siaran langsung.

Pemenang bagi Lagu Pilihan Penonton akan diumumkan, malam ini.

Sebanyak 30 lagu berentap termasuk Bujang nyanyian Hael Husaini dan ciptaan Hael serta lirik MFMF; Cinta Jangan Pergi (Azzam Sham/Asfan Shah, Fedtri Yahya); Chikadun (Floor 88/Zai Hamzah, Achoi Floor 88); Coretan Pilu (Datuk Awie/Ikhwan Fatanna/Wan Saleh, Fedtri Yahya), Lenyap (Usop/A'A, Romal, Karim Karam, Mike Chan); Mimpi (Haqiem Rusli/Haqiem, Datuk A Aida); Penat (Andi Bernadee/Nuriman, Andi, Efry Arwis Nuriman); Purnama (Naim Daniel/Amzar Razqa, Naim), Rindu Separuh Nyawa (Naqiu dan Vanessa Reynauld/Naqiu, Wit, Mohsen, Siti Rosmizah) serta Salahku (Yonnyboii/Yonnyboii).

Selain itu, lagu Sepi dendangan dan ciptaan Aina Abdul, manakala lirik dihasilkan Aina dan Wan Zakaria; Tetap Aku Cinta (Ara Johari/Amy Bong, Nahruf, MFMF/Amy Bong dan Ara); Cinta (Marsha Milan/Bunga Cantik dan Hang Nadim/Hang Nadim); Cinta Khayalan (Wany Hasrita/Berlin/Tokyo Angkasa) serta Durja (Khai Bahar/Iqie Hugh, Omar K dan Khai).

Yonnyboii menyampaikan lagu Salahku ciptaan dan lirik tulisannya dengan penuh emosi. - Foto Ihsan TV3
Yonnyboii menyampaikan lagu Salahku ciptaan dan lirik tulisannya dengan penuh emosi. - Foto Ihsan TV3

Turut bersaing, lagu Pelukan Angkasa (SOG X Shila Amzah/Raja Nazrin Shah/Fazleena Hishammuddin); Karma (Kaka Azraff dan Jazz Hayat/Farouk Roman/Aishah Retno) serta Tanpa Rela (Misha/Misha dan Sze Wan/Misha, Slen Fadzil dan Zul Husni Abdul Hamid).

Selain itu, lagu Aewo menampilkan Shiha bersama Noki K-Clique ciptaan Ezra Kong dan lirik Ezra dan Noki serta Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri/Ernie, Syamel, Faizal Tahir dan Mike Chan).

Turut bertanding, Intan Payung nyanyian Noraniza Idris berkolaborasi dengan penyanyi rap, Bunga Isme menerusi lagu ciptaan dan lirik oleh Luca Sickta, Bunga, Amzar Razqa, Siqma; Neraca (Datuk Jamal Abdillah/Kmy Kmo, Luca Sickta/Kmy, Luca) dan Angkara (Siti Nordiana/Sharon Paul, Fedtri Yahya, Nana Alias).

Tidak ketinggalan, lagu Boneka nyanyian Ernie Zakri ciptaan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat; Bagaimana (Muna Shahirah dan Zack Zakwan/Gouffran, Sang Hitam); Adlina Marie (Haqiem/Haqiem, Ibnu, Ezra); Lara (Hael, Naim dan Haqiem/MFMF, Hael, Naim, Haqiem); Nafas Cinta (Khai Bahar dan Aina/Wan Zakaria, Khai, Aina); Lautan Asmara (Kugiran Masdo/Ali Sariah) serta Teman (Iman Troye/Ezra, A Ramlee).

Sementara itu, SFMM36 turut menampilkan persembahan istimewa pada kedua-dua episod penyanyi hebat seperti Estranged, Muss, Drama Band, Margaswata, Zynakal, Asyraf Nasir, Lia Aziz serta juara program Lagu Cinta Kita musim ketiga iaitu Syafeek dan Zazo.

Muzik Muzik ialah program variasi yang memaparkan carta mingguan lagu paling popular di Malaysia.

Secara keseluruhan, 30 lagu Muzik Muzik 36 bertanding pada pusingan separuh akhir dan malam ini menjadi penentuan apabila 12 lagu membolosi pentas AJL36 diumumkan.

Berita Harian X