Khamis, 30 Disember 2021 | 3:00pm
Cinta lokasi bawa Fify dan Nafiez melayari hubungan serius, namun enggan tergesa-gesa untuk melangkah ke fasa perkahwinan.
Cinta lokasi bawa Fify dan Nafiez melayari hubungan serius, namun enggan tergesa-gesa untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

Cinta mekar di hati Fify, Nafiez

KUALA LUMPUR: Tidak semestinya panahan asmara bermula dari pandangan cinta pertama. Ada masanya, pertemuan kedua juga mampu mengukir satu perasaan yang akhirnya mencambahkan rasa cinta antara dua insan hingga menjadi pasangan kekasih.

Siapa sangka, pada saat ingin memulakan kehidupan baru selepas melalui episod putus cinta kira-kira setahun lalu, pelakon tinggi lampai, Fify Azmi, 31, dipertemukan semula dengan kenalan lama yang juga pelakon, Nafiez Zaidi, 29.

Meskipun mengakui wujud keserasian dan mempunyai kimia kuat antara mereka, namun, Fify atau nama sebenarnya, Nur Afiqah Mohamed Azmi enggan tergesa-gesa membawa hubungan ke fasa seterusnya.

"Kami sudah lama saling mengenali disebabkan pernah berlakon bersama. Pada masa itu, saya dan Nafiez tidak pernah berbual pun, hubungan hanya menjurus kepada soal kerja.

"Bagaimanapun, hubungan menjadi semakin rapat selepas ditawarkan membintangi filem Ada Hantu 2. Saya sedar, pasti ada persepsi hubungan ini sekadar cinta lokasi.

"Tiada salahnya pendapat ini kerana memang kami berkenalan di lokasi penggambaran. Namun, ia tidak bermakna saya dan Nafiez tidak serius dalam hubungan ini.

"Cuma, saya tidak mahu terlalu tergesa-gesa membawa hubungan ke fasa perkahwinan. Saya belum bersedia untuk bergelar isteri dan mempunyai sebarang komitmen," katanya kepada BH Online.

Berkongsi pandangan mengenai lelaki yang berjaya memikat hatinya itu, bekas peserta pencarian bakat, Dewi Remaja ini mengagumi keperibadian Nafiez atau nama sebenarnya, Abdul Nafis Abduzaidi.

"Kami masih dalam fasa mengenali hati budi. Jujurnya, saya selesa berkawan dengan Nafiez kerana dia tidak suka berpura-pura dan menjadi diri sendiri.

"Nafiez amat memahami. Kami boleh bersembang dan berkongsi apa sahaja topik terutama dari segi kerjaya memandangkan bekerja dalam satu industri hiburan.

"Kehadiran Nafiez sangat menenangkan. Pada malam kemuncak Festival Filem Malayia (FFM) Ke-31, Nafiez turut menemani saya.

"Pada saat itu, saya sangat gementar kerana itulah kali pertama hadir ke majlis anugerah berprestij dan menang. Apabila Nafiez ada bersama, perasaan gemuruh hilang sedikit," ungkap pelakon yang berasal dari Subang Jaya, Selangor ini.

Fify tiada tekanan berkahwin awal, malah, terima dengan hati terbuka sekiranya jodoh sudah tiba.
Fify tiada tekanan berkahwin awal, malah, terima dengan hati terbuka sekiranya jodoh sudah tiba.

Ditanya bilakah usia paling sesuai untuknya menamatkan zaman solo, Fify lebih selesa menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Tuhan.

"Tiada sasaran umur tertentu untuk saya berkahwin, mungkin apabila usia mencecah 35 tahun. Apapun, saya serahkan perkara ini kepada jodoh.

"Jika ditakdirkan berkahwin awal, saya terima. Pun begitu, tiada tekanan untuk saya berkahwin awal. Tidak perlu nak rasa tertekan memikirkan soal jodoh.

"Lebih baik menggembirakan diri sendiri dan fokus kepada keluarga terutama ibu kerana dialah yang menjadi keutamaan saya," kata Fify.

Pada malam kemuncak FFM31, Fify melakar sejarah peribadi apabila lakonannya dalam filem Wira mendapat pengiktirafan juri apabila menyandang trofi Pelakon Wanita Harapan, sekali gus menewaskan calon pilihan, Mira Filzah dan Mimi Lana.

Mengulas lanjut perkara itu, bintang yang terkenal dengan watak aksi lasak ini terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang.

"Saya tak sangka akan menang kerana calon lain semuanya 'power' terutama Mimi Lana. Ketika filem lakonannya, Pusaka ditayangkan, saya ada menontonnya di pawagam.

"Bagi saya, Mimi adalah saingan terdekat kerana selain popular, Mimi juga berbakat besar. Saya suka dengan cara Mimi membawa diri. Secara kebetulan, kami sama-sama bertanding dalam program Dewi Remaja 2014/2015," katanya.

Lazimnya, jika seseorang pelakon memenangi trofi, pasti akan suara sumbang mendakwa mula meletakkan harga sejajar dengan pengiktirafan yang diterima.

Fify selesa berkawan dengan Nafiez kerana tidak suka berpura-pura dan menjadi diri sendiri.
Fify selesa berkawan dengan Nafiez kerana tidak suka berpura-pura dan menjadi diri sendiri.

Diusik pertanyaan itu, pelakon drama bersiri, Ryan Aralyn berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang difikirkan, ketika ini.

"Soal harga, perkara ini diuruskan oleh pihak pengurusan. Tetapi, sebelum nak letak harga, kenalah lihat berapa bajet yang produksi sediakan.

"Jika boleh biarlah dalam situasi menang-menang. Bagaimanapun, fokus saya untuk menimba lebih banyak pengalaman dalam dunia lakonan," kata Fify yang baru dua tahun aktif bidang seni.

Beralih kepada perkembangan kerjaya seni, Fify kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Jefri Zain arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Kata Fify, drama yang bakal disiarkan di RTM ini sekali lagi menyaksikannya membawakan adegan tangkas dan lasak, satu karakter yang cukup sinonim dengannya.

"Untuk drama ini saya akan membawakan watak ketua perisik. Nampaknya, saya tidak boleh lari dari filem bercorak aksi.

"Sebagai pelakon, apa sahaja tawaran datang, saya terima kerana tidak mahu menolak rezeki. Jika kebetulan filem yang

ditawarkan bergenre aksi, saya tak kisah untuk melakonkan.

"Walaupun nampak lasak, tetapi saya cuba membentuk imej lebih kelihatan feminin. Buat julung kalinya saya akan berlakon watak romantik untuk drama bersiri yang akan disiarkan di TV3, tahun depan." katanya dalam nada teruja.

Berita Harian X