Rabu, 22 Disember 2021 | 1:00pm
Anak Allahyarham Mamat, Mohammad Khalid Amin Mohamad, 25, (tengah), Hasmah dan seorang lagi anaknya, Nor Sara Mohamad, 30, bergambar selepas pelancaran Majlis Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, baru-baru ini. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Anak Allahyarham Mamat, Mohammad Khalid Amin Mohamad, 25, (tengah), Hasmah dan seorang lagi anaknya, Nor Sara Mohamad, 30, bergambar selepas pelancaran Majlis Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, baru-baru ini. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Hasmah mahu terus hidupkan Sarang Art Hub

TANJUNG MALIM: Pemergian sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid pada usia 58 tahun, Oktober lalu, meninggalkan kesan mendalam terhadap pengikut karya seninya.

Jasa Allahyarham Mamat dalam industri perfileman terutama dalam melahirkan bakat baharu sukar dinafikan.

Selain itu, dalam kesibukan sebagai pembikin filem, arwah komited dalam memartabatkan seni dan budaya Melayu yang kian dilupakan.

Buktinya cukup jelas dengan penubuhan pusat seni, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Rehat Tanjung Malim.

Sebaik arwah dan kru melakukan penambahbaikan terhadap premis itu, Sarang Art Hub kini menjadi pusat seni dengan pelbagai aktiviti budaya, sekali gus menghidupkan bandar Tanjung Malim terutama pada waktu malam.

Antara inisiatif diambil Mamat adalah menganjurkan program memartabatkan budaya, Siri Anjung Tradisi dengan disusuli Anjung Tradisi 2.0 - Bengkel Karangan Tanjak pada 2018.

Berpaksikan objektif sama, Persatuan Anak Seni Sarang Malaysia (PASSM) menganjurkan pula Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan : Ekpresi Cinta Mamat Khalid Terhadap Tradisi Melayu di premis berkenaan, baru-baru ini.

Mohammad Khalid Amin (kiri depan) bersama Pegawai Daerah Muallim, Mohd Fitri Hassan (dua kiri depan) pada Majlis Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Mohammad Khalid Amin (kiri depan) bersama Pegawai Daerah Muallim, Mohd Fitri Hassan (dua kiri depan) pada Majlis Anjung Tradisi 3.0 - Lestari Warisan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim. Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

Program itu dirasmikan Pegawai Daerah Muallim, Mohd Fitri Hassan. Yang turut hadir, Ketua Jabatan Teknologi Maklumat dan Pelancongan Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), ShahzanHafiz Zainal Abidin.

Isteri Allahyarham Mamat, Hasmah Hassan, berkata selain menghasilkan filem, Mamat cukup meminati aktiviti kesenian dan budaya yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat Malaysia.

Akui Hasmah, pembukaan Sarang Art Hub banyak memberi peluang kepada arwah untuk membabitkan diri dalam dunia kesenian.

"Pelbagai aktiviti kesenian dianjurkan arwah termasuk mengetengahkan bakat baharu dalam pelbagai cabang seni. Di sini, sesiapa sahaja diberi peluang menampilkan bakat.

"Apabila arwah sudah tiada, jadi tanggungjawab saya dan anak meneruskan legasi arwah seperti program Anjung Tradisi 3.0," katanya.

Hasmah berkata, andai diikutkan, dia sudah hilang semangat meneruskan impian dan cita-cita arwah. Namun, berkat sokongan peminat dan rakan arwah, dirinya kembali bersemangat.

"Saya berharap biarpun program yang dilancarkan ini tidak sehebat ketika arwah masih hidup, namun diharapkan ia berjaya mencapai objektif," katanya.

Berita Harian X