Isnin, 20 Disember 2021 | 1:00pm
Kumpulan petugas FDAM mengagihkan bekalan asas untuk mangsa banjir, kelmarin. Foto Insan FDAM
Kumpulan petugas FDAM mengagihkan bekalan asas untuk mangsa banjir, kelmarin. Foto Insan FDAM

'Guna TikTok kutip derma'

KUALA LUMPUR: Simpati dengan nasib rakyat ditimpa bencana banjir, dua organisasi mewakili pekerja seni iaitu Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mengambil inisiatif menjejaki ahli mangsa bah untuk dihulur bantuan segera.

Mula menggerakkan usaha sejak kelmarin, SENIMAN dan FDAM menyusun strategi termasuk memanfaatkan media sosial bagi mengesan dan membantu penggiat seni yang menjadi mangsa banjir atau mereka yang menerima impak bencana alam itu hingga tidak mampu keluar bekerja.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, seiring kepesatan media sosial, pihaknya memanfaatkan aplikasi TikTok untuk mengumpul dana bagi ahli yang terkesan dengan bencana banjir.

"Usaha ini pernah dibuat ketika membantu seorang artis yang dijangkiti COVID-19 melalui pemberian 'gift' yang boleh ditukar kepada wang dalam aplikasi itu.

"Jadi, saya bersiaran secara langsung melalui akaun TikTok sendiri untuk tujuan itu. Saya mengajak Setiausaha SENIMAN untuk sama-sama tampil.

"Melalui sesi 'live', saya berkongsi input dan apa sahaja perkembangan membabitkan bencana banjir di Malaysia.

FDAM sedia membantu ahli atau mana-mana penggiat seni yang menjadi mangsa banjir sejak beberapa hari lalu. Foto Ihsan FDAM
FDAM sedia membantu ahli atau mana-mana penggiat seni yang menjadi mangsa banjir sejak beberapa hari lalu. Foto Ihsan FDAM

"Pada masa sama, saya minta penonton memberi sebanyak mana 'gift' untuk disalurkan kepada ahli SENIMAN yang memerlukan bantuan dan terputus bekalan makanan," katanya kepada BH Online.

Zed berkata, SENIMAN bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi menjejaki penggiat seni yang terkesan dengan banjir.

"Saya dihubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang bertanya mengenai artis yang memerlukan bantuan.

"Saya sudah maklumkan nama artis seperti Mat Over yang menjdai mangsa banjir di kawasan penempatannya di Klang, Selangor dan Ebby Yus di Hulu Langat.

"Kita masih mengenalpasti artis lain yang memerlukan bantuan seperti makanan asas dan penempatan sementara," katanya.

Sementara itu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya mengagihkan barangan keperluan harian seperti makanan dan minuman kepada ahli dan penggiat seni yang terjejas.

"FDAM mula menghebahkan dalam kumpulan WhatsApp agar ahli terjejas dan perlukan bantuan dapat hubungi Biro Kesejahteraan Sosial yang dikendalikan ketuanya, Ahmad Hashim atau Mad John.

"Sejak malam tadi (kelmarin), FDAM turun padang menghantar bantuan makanan. Kami akan terus bertindak jika mendapat maklum balas ahli atau penggiat seni lain," katanya.

Ahmad berkata, FDAM singgah di Kompleks Studio Merdeka di Hulu Kelang, semalam untuk kemudahan yang disediakan untuk menempatkan mangsa banjir.

"FDAM sedia bekerjasama dengan FINAS dalam misi bantuan banjir. Difahamkan, FINAS melancarkan kempen derma kilat dan usaha lain untuk membantu mangsa banjir.

"Persatuan berharap kita semua dapat bantu menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Ahmad berkata, ahli FDAM dan penggiat seni yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Mad John di talian 011-21663119.

Berita Harian X