Jumaat, 17 Disember 2021 | 8:30am
Menggandingkan dua pengacara popular, Nabila Huda dan Ain Edruce, ADS 2021 boleh distrim secara langsung di Tonton dan YouTube TV3 Malaysia pada waktu yang sama.
Menggandingkan dua pengacara popular, Nabila Huda dan Ain Edruce, ADS 2021 boleh distrim secara langsung di Tonton dan YouTube TV3 Malaysia pada waktu yang sama.

ADS 2021 angkat drama terbaik, popular

KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, satu lagu acara dianjurkan bagi menghargai dan mengiktiraf karyawan dalam pentas seni lakonan.

Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021 terbitan TV3 bakal berlangsung pada malam esok, menobatkan 11 kategori menerusi karya dan bakat anak seni tempatan.

Menyaksikan persaingan sengit himpunan drama yang bersiaran antara Januari, tahun lalu hingga Jun tahun ini, ADS 2021 dipancarkan secara langsung di TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), jam 9 malam dengan dibawakan oleh syarikat penghantar makanan dalam talian, foodpanda sebagai penaja utama.

ADS 2021 mempertandingkan 11 kategori iaitu Drama Terbaik, Drama Popular, Pengarah Terbaik, Penulis Skrip Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Antagonis Terbaik, Pasangan Drama Terbaik, OST Terbaik, Drama Adaptasi Novel Terbaik dan Babak Tular Drama Terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, berkata ADS 2021 diadakan bagi menghargai karyawan dan warga produksi yang bertungkus-lumus menghasilkan kandungan kreatif buat penonton setia drama tempatan.

"Pada masa sama, ADS 2021 memberi peluang kepada 'kaki drama' menunjukkan kesetiaan kepada bintang kesayangan dan karya seni yang berjaya menambat hati menerusi drama dipertandingkan.

"Menerusi 11 kategori dipertandingkan, dua kategori utama, Drama Popular dan Drama Terbaik pastinya dinantikan. Bagi kategori Drama Popular undian dilakukan 100 peratus menerusi pilihan penonton, manakala Drama Terbaik pula 100 peratus undian juri.

"Malam kemuncak ADS 2021 akan mengangkat naskhah drama yang menjadi bualan hangat sehingga berjaya meraih trofi Drama Terbaik dan Drama Popular," katanya.

ADS 2021 diterajui oleh pengurus projek, Russell Mark Rodrigues bersama penerbit eksekutif, Intan Noorbaizura Aliuddin dan penerbit, Aeizul Reeza Ismail.

Bagi Intan Noorbaizura, keputusan yang bakal diumumkan pasti di luar jangkaan penonton.

"Selain kategori utama, Drama Terbaik dan Drama Popular, sembilan kategori lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Antagonis Terbaik menyaksikan 60 peratus undian juri, selebihnya kuasa undian peminat dalam talian.

"Bagi kategori Pengarah Terbaik dan Penulis Skrip Terbaik pula diadili 100 peratus undian juri.

"Manakala, empat kategori iaitu Pasangan Drama Terbaik, OST Terbaik, Drama Adaptasi Novel Terbaik dan Babak Tular Drama Terbaik pula membabitkan undian dalam talian secara total," katanya kepada BH Online.

Drama trending, 7 Hari Mencintaiku 2 lakonan Shukri Yahaya dan Siti Saleha antara naskhah yang dipertandingkan dalam ADS 2021.
Drama trending, 7 Hari Mencintaiku 2 lakonan Shukri Yahaya dan Siti Saleha antara naskhah yang dipertandingkan dalam ADS 2021.

Intan Noorbaizura berkata, kategori dalam talian dibuka antara 1 Oktober hingga 20 November lalu menerusi pautan www.xtra.com.my/anugerahdramasangat.

"TV3 juga menghangatkan suasana ADS 2021 dengan menyaksikan YouTube TV3 Malaysia turut menyiarkan babak tular yang menjadi sebutan netizen menerusi lakonan semula secara parodi menerusi empat episod.

"Antara drama dalam Parodi Drama Dalam Drama ini ialah Kampung People 2, Takdir Yang Tertulis, 7 Hari Mencintaiku 2 dan Adellea Sofea.

"ADS 2021 juga mempunyai lagu dan video muzik berjudul Drama Sangat yang diilhamkan oleh Shazee Ishak dan dinyanyikan oleh Stacy, Ismail Izzani dan Noki. Ia boleh ditonton menerusi YouTube TV3 Malaysia.

"Bagi menyemarakkan ADS 2021, sesi santai menerusi Instagram (IG) Live, Ada Apa Belakang Skrin bersama penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon turut dianjurkan," katanya.

Menggandingkan dua pengacara popular, Nabila Huda dan Ain Edruce, ADS 2021 boleh distrim secara langsung di Tonton dan YouTube TV3 Malaysia pada waktu yang sama.

Kemeriahan malam kemuncak ADS 2021 bakal menyaksikan selebriti baharu dan lama. Antaranya, Azhan Rani, Izzue Islam, Nabila Razali, Redza Rosli, Sharifah Rose, Erra Fazira, Datuk Aaron Aziz, Zul Ariffin, Fify Azmi, Fauziah Ahmad Daud, Jalil Hamid, Hisham Hamid dan Scha Elinnea selaku penyampai trofi.

Tidak ketinggalan, slot persembahan pula menampilkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Misha Omar, Khai Bahar, Cassia, Cat Farish, Ariff Bahran, Sarah Suhairi, Stacy, Ismail Izzani, MK dan Noki.

Intan berkata, gandingan dua pengacara, Nabila dan Ain pasti menjadikan ADS 2021 'havoc'.

"Nabila cukup berpengalaman, selain pernah menggenggam trofi terbaik dan popular. Malah, hos program Melodi itu sangat rajin dan berdedikasi.

"Ain pula terkenal sebagai pelakon, pengacara dan pelawak. Kepetahannya bercakap tidak perlu diragui lagi. Pasti ramai tidak sabar melihat keserasian gandingan dua pengacara itu.

"Sudah pasti kehangatan ADS 2021 akan dirasai apabila dua pengacara suka bercakap berkongsi pentas.

"Saya juga optimis deretan selebriti yang ditampilkan sebagai penyampai trofi dan menerusi slot persembahan menjadi nilai tambah untuk memaku penonton menunggu di hadapan kaca televisyen," katanya.

Antara drama bolos pencalonan termasuk 7 Hari Mencintaiku 2 terbitan SR One Sdn Bhd, Melastik Ke Hatimu (OrangeTree Production), Takdir Yang Tertulis (Radius One Sdn Bhd), Budak Tebing (Country & Universal Sdn Bhd), Sabarlah Duhai Hati (Suhan Movies & Trading Sdn Bhd) dan Tak Sempurna Mencintaimu (Zeel Production Sdn Bhd).

Tak ketinggalan, Bidadari Salju (Primeworks Studios & A Aida Production), Kampung People 2 (KL Motion Pictures Company), Pink Smile (Creative Skill Solution) dan Hati Yang Tersakiti (Art Ornament Sdn Bhd).

Tanda pagar #AnugerahDramaSangat dan #LagiDramaLagiRasa diwujudkan bagi menghangatkan ADS 2021 di media sosial.

Berita Harian X