Rabu, 15 Disember 2021 | 1:00pm
Antara babak Amerul Affendi dan Lim Mei Fen dalam naskhah yang bakal mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi Ke-94 di LA, Amerika Syarikat, tahun depan.
Antara babak Amerul Affendi dan Lim Mei Fen dalam naskhah yang bakal mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi Ke-94 di LA, Amerika Syarikat, tahun depan.

Prebet Sapu ambil risiko

KUALA LUMPUR: Dua tahun diperam akibat kekangan bajet disusuli impak pandemik COVID-19, filem berbajet rendah, Prebet Sapu yang bakal mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS) tahun depan, menemui penonton di pawagam, mulai esok.

Dengan kapasiti penonton terhad berikutan prosedur operasi standard (SOP), pengarah Prebet Sapu, Muzzamer Rahman berani mengambil risiko memilih menayangkan filem sulung arahannya di pawagam.

Muzzamer yang ditemui pada majlis tayangan filem menampilkan Amerul Affendi dan Lim Mei Fen sebagai teraju utama itu, berkata dia menerima cadangan agar naskhah yang membabitkan kos RM500,000 itu ditayangkan di platform Over The Top (OTT).

Namun, selepas memberi pertimbangan, Prebet Sapu lebih sesuai ditayangkan di pawagam agar 'roh' ceritanya lebih sampai kepada penonton.

"Kami sedia tanggung risiko jika filem Prebet Sapu tidak mendapat sambutan dengan situasi panggung wayang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Sejak awal perbincangan bersama pasukan produksi, kami putuskan filem itu harus ditayangkan di pawagam.

"Rata-rata kami adalah graduan sekolah filem. Kami merasakan filem itu lebih 'authentic' dan lebih dapat dijiwai apabila ditonton di pawagam. Apatah lagi, filem itu berlatarkan hitam putih," katanya.

Prebet Sapu diterbitkan Le Mediator Studio dan Kristal Azmi & Konda Kondi Studios.

Muzzamer berkata, pihaknya tidak gusar jumlah penonton yang akan membeli tiket menyaksikan karya itu.

"Kami tidak beri jangkaan Prebet Sapu akan pecah panggung. Apa yang penting bagi kami adalah orang yang meminati naskhah seperti Prebet Sapu ada ruang untuk menikmatinya," katanya yang reda jika filem arahannya itu beroleh kutipan RM100,000 sekalipun.

Graduan Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkata, andai Prebet Sapu tidak mendapat kutipan memberangsangkan, dia tidak patah semangat.

Sebaliknya, Muzzamer lega filem yang menjalani penggambaran pada 2017 itu akhirnya ditayangkan.

"Banyak halangan terpaksa kami tempuh sepanjang menyiapkan naskhah ini. Salah satunya, bajet.

"Akibat terlalu teruja untuk memberi yang terbaik bagi filem ini, kami belanjakan modal yang ada ketika penggambaran tanpa memikirkan proses pos produksi dan promosi.

"Jadi, kami terpaksa mencari bajet untuk proses itu. Sebaik bajet cukup, kita diduga pula dengan pandemik COVID-19. Sekali lagi, tayangan filem ini ditangguhkan," katanya.

Muzzamer (tengah) bersama dua bintang utama filem Prebet Sapu, Amerul Affendi dan Lim Mei Fen.
Muzzamer (tengah) bersama dua bintang utama filem Prebet Sapu, Amerul Affendi dan Lim Mei Fen.

Muzzamer berkata, Prebet Sapu sepatutnya ditayangkan November tahun lalu. Namun, disebabkan SOP yang tidak jelas, pihaknya membuat keputusan membawa naskhah berkenaan menyertai festival di luar negara.

"Kami melihat usaha ini sebagai salah satu strategi membantu mempromosikan Prebet Sapu di luar negara. Ini dilakukan filem Crossroad: One Two, Jaga yang terlebih dulu menyertai festival filem di luar negara sebelum ditayangkan di Malaysia.

"Alhamdulillah, kami bersyukur Prebet Sapu mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik filem yang sudah menontonnya di festival," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persaingan pada peringkat awal kategori Filem Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94, Muzzamer terharu kerana tidak menyangka filem berbajet rendah itu dipili.

Muzzamer berterima kasih kepada semua pelakon termasuk beberapa nama besar yang sanggup menjadi 'cameo' dalam filem itu.

Mereka adalah Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi yang sanggup menerima upah secara 'token'.

Mengulas mengenai konsep filem hitam putih, Muzzamer mendapat inspirasi daripada foto hitam putih setiap kali ke galeri.

"Hitam putih melambangkan rasa kesunyian, nostalgia dan estetika. Selain itu, apa yang ingin saya paparkan dalam filem itu bukanlah mengenai perbezaan warna kulit.

"Sebaliknya, isu besar mengenai masyarakat yang masih ramai lagi yang ketinggalan biarpun dengan pelbagai kemodenan dan kecanggihan teknologi," katanya.

​Prebet Sapu mengisahkan kehidupan anak muda yang terpaksa bersusah payah mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu walaupun memiliki segulung ijazah.

Terdahulu, pernah mewakili Malaysia dalam pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia dan Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada.

Juga dipertontonkan di Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Berita Harian X