Selasa, 14 Disember 2021 | 4:28pm
Che Ta dan Zain kekal bahagia biarpun ada yang melemparkan persepsi rumah tangganya berantakan berikutan suami berkongsi gambar bersama. - Foto Ihsan Blackpepper Production
Che Ta dan Zain kekal bahagia biarpun ada yang melemparkan persepsi rumah tangganya berantakan berikutan suami berkongsi gambar bersama. - Foto Ihsan Blackpepper Production

Tak rai ulang tahun, Zain, Aaisyah positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Sambutan ulang tahun perkahwinan pasangan selebriti popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin terganggu apabila suami serta anaknya disahkan positif COVID-19, bulan lalu.

Rozita yang lebih mesra disapa Che Ta mendedahkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana turut dijangkiti COVID-19 selepas sehari Zain disahkan positif.

Disebabkan situasi tidak terduga, Che Ta berkata, perancangan bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi terpaksa ditunda.

"Saya dan Zain merancang bercuti ke pulau berkenaan selama seminggu. Sepatutnya, kami pulang sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan pada 11 Disember lalu.

"Apa nak buat, kami tidak mampu menghalang semua ini. Zain sepatutnya menjalani penggambaran sebuah drama, bulan lalu juga terpaksa menolak tawaran.

"Zain memang mempunyai gejala seperti batuk, selsema dan demam. Cuma, kami kurang pasti dari mana terkena jangkitan, kemudiannya terkena pula pada Aaisyah.

"Bagaimanapun, Aaisyah hanya mengalami demam sahaja, deria rasa masih ada. Namun, saya dan dua anak lelaki disahkan negatif. Bagaimanapun, suami dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya," katanya kepada BH Online.

Che Ta berkata, secara peribadi, dia tidak suka situasi berkenaan berlaku.

"Memang habis segala perancangan termasuk menyambut ulang tahun perkahwinan.

"Zain sudah lengkap dua dos vaksinasi, namun, tetap terkena juga. Virus ini memang ada hidup di sekeliling kita sekarang.

"Jadi, reda sahaja apabila ahli keluarga dan adik beradik positif COVID-19. Apa yang penting, terus berhati-hati," katanya memberitahu ibu dan adik beradik turut positif COVID-19, beberapa bulan lalu.

Tambah Che Ta lagi, suami dan anaknya melakukan kuarantin kendiri di rumah.

"Kasihan tengok Aaisyah. Walaupun deria rasa tidak hilang, tetapi kurang berselera makan.

"Secara kebetulan, ibu berada di rumahnya di Subang Jaya, selalunya banyak berada di Kedah. Jadi, saya dan Aaisyah memilih menumpang di rumah ibu, manakala suami pula menjalani kuarantin di rumah kami.

"Dua anak lelaki memilih menemani dan menjaga Zain di rumah," katanya.

Che Ta dan Zain tetap bersanding semula dalam sebuah majlis keraian di lokasi eksklusif di ibu kota, baru-baru ini. - Foto Ihsan Blackpepper Production
Che Ta dan Zain tetap bersanding semula dalam sebuah majlis keraian di lokasi eksklusif di ibu kota, baru-baru ini. - Foto Ihsan Blackpepper Production

Seperti kelazimannya meraikan ulang tahun perkahwinan, pasangan suami isteri itu tetap bersanding semula dalam sebuah majlis keraian di lokasi eksklusif di ibu kota.

Che Ta dan suami mula bersanding semula sejak 2019.

"Majlis kali ini cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tetapi, saya tetap nak merasai mood jadi pengantin dengan mengenakan baju songket," katanya.

Katanya, dia tidak menyangka masa seakan berlalu hingga usia perkahwinannya terus bertambah.

"Pejam celik, sudah lapan tahun kami mendirikan rumah tangga. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah dilalui. Biasalah, ada gaduh manja dan rajuk, tetapi tidak lama.

"Pandemik ini juga menguji, tetapi saya dan suami mengharunginya sebaik mungkin. Ada juga saya terguris hati dan sentap dengan suami, namun, dia datang buat kejutan membawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah.

"Pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan banyak bertolak ansur," katanya.

Kata Che Ta lagi, hingga kini masih dihujani dengan mesej langsung dalam media sosial bertanyakan suami yang jarang dikongsi gambar bersama.

"Tak kurang juga ada yang melempar persepsi rumah tangga kami berantakan. Jujurnya, Zain bukan kaki bergambar. Saya pula suka bergambar dan melaram.

"Tahun lalu, ada juga yang buat kesimpulan apabila Zain tiada pada majlis ulang tahun kelahiran saya. Hakikatnya, suami terikat dengan penggambaran drama.

"Dalam soal ini, saya tak boleh kawal pandangan orang. Saya ambil pendekatan tidak peduli kerana orang hanya nampak luaran. Saya setuju dengan pandangan soal kebahagiaan atau kesengsaraan tidak perlu dipamer dalam media sosial," katanya.

Berita Harian X