Isnin, 13 Disember 2021 | 3:00pm
Hubungan Eyka dan Akhyar jadi tanda tanya apabila tiada lagi memuatkan gambar bersama dalam IG, cuma masih saling mengikuti.
Hubungan Eyka dan Akhyar jadi tanda tanya apabila tiada lagi memuatkan gambar bersama dalam IG, cuma masih saling mengikuti.

Hubungan cinta Eyka, Akhyar cetus tanda tanya

KUALA LUMPUR: Lapan tahun bergelar anak seni, nama pelakon kecil molek, Eyka Farhana, 26, masih belum meledak.

Namun, nasib pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Habil & Qabil pada usia 15 tahun itu dianggap baik apabila banyak tawaran watak utama.

Percaturan hidup dalam kembara kerjaya seninya tidak sepi tanpa kisah cinta dan pernah dikaitkan menjalinkan hubungan dengan pemain bola sepak JDT, Akhyar Rashid.

Namun, sehingga kini, hubungan Eyka dan Akhyar masih menjadi tanda tanya apabila tiada lagi gambar bersama dimuatkan, dalam laman Instagram, cuma mereka masih saling mengikuti.

Sejujurnya, Eyka berkata, dia enggan larut dengan kisah peribadi hingga tenggelam kerjaya lakonannya.

"Jika boleh, usahlah bertanya soal peribadi. Saya tidak akan menjawabnya, biarlah ia kekal sebagai hak privasi.

"Bukan rimas, tetapi saya memang akan mengelak. Lagipun, masing-masing ada kerjaya yang perlu diberi lebih perhatian.

"Jadi, saya tidak mahu kisah peribadi mengganggu fokus bekerja," katanya kepada BH Online.

Eyka atau nama sebenarnya, Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi juga tidak tertekan mahu menamatkan zaman bujang, biarpun ramai teman artis mendirikan rumah tangga pada era pandemik COVID-19.

"Masih banyak impian mahu dikejar. Namun, saya tidak mampu menolak kehendak takdir jika sudah bersedia seru untuk berumah tangga.

"Jujurnya, ada hikmah saya belum berkahwin kerana dapat menerokai banyak benda dalam hidup. Jika kahwin awal mungkin semuanya menjadi serba terbatas.

"Impian saya mahu memiliki perniagaan sendiri sebelum mendirikan rumah tangga. Saya nak pusing satu dunia bersama adik selain membantu keluarga," katanya yang masih menunggu tayangan filem Polis EVO 3.

Eyka mahu kisah cinta dengan pemain JDT kekal sebagai hak privasi. - Foto IG Eyka Farhana
Eyka mahu kisah cinta dengan pemain JDT kekal sebagai hak privasi. - Foto IG Eyka Farhana

Eyka berkata, dia akur namanya belum terbang tinggi.

"Saya sedar mungkin nama saya tidak segah pelakon gred A. Namun, saya tetap bersyukur diberi kepercayaan untuk membawa watak utama.

"Ada yang beranggapan nama saya belum meledak untuk menyerlahkan bakat sebagai heroin.

"Dalam soal ini, saya tak mampu berbuat apa-apa. Namun, tetap mensyukuri nikmat diberikan," katanya.

Eyka ditemui pada pratonton dua episod drama Dukun Diva arahan Ariff Zulkarnain yang ditayangkan di slot Astro Citra.

Menerusi drama Dukun Diva yang bersiaran setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Citra, pengarahnya cuba menjadikan watak Lola sebagai eksperimen bagi mengubah karakter biasa dibawa Eyka.

"Saya dan Nadia Aqilah menjadi watak penting dalam menghidupkan perjalanan cerita. Satu keajaiban, kami mudah mendapat keserasian sejak mula bertemu, jadi memudahkan membawa watak diamanahkan.

"Lola agak kasar dan bersifat kelakian. Saya memang tidak pernah berlakon watak sedemikian.

"Saya kena tukar cara berpakaian dan mengenakan rambut palsu pendek. Jika ikutkan saya nak potong rambut pendek, tapi terikat komitmen projek lain selepas ini," katanya yang kini sibuk dengan melunaskan penggambaran drama arahan Bahri Umar untuk slot Samarinda TV3 bersama Aedy Ashraf.

Terdahulu, hubungan Eyka dan Akhyar mula dihidu apabila menerima kejutan sambutan hari lahir ke-25, tahun lalu.

Eyka enggan terlalu terbuka berbicara soal cinta, namun menyenangi karakter Akhyar yang disifatkan kelakar, baik hati dan mementingkan keluarga.

Berita Harian X