Isnin, 13 Disember 2021 | 11:00am
Junainah menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM31 hasil lakonannya dalam filem Roh. Foto Ihsan FFM31
Junainah menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM31 hasil lakonannya dalam filem Roh. Foto Ihsan FFM31

'Banyak filem lebih layak untuk TV, bukan pawagam'

KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun tertangguh akibat penularan COVID-19, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 yang melabuhkan tirai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Jumaat lalu, menyaksikan filem seram indie arahan Emir Ezwan, Roh menggondol enam trofi termasuk Filem Terbaik.

Roh yang dibikin menggunakan bajet RM360,000, mencipta kejayaan membanggakan apabila membolot lima kategori lain iaitu Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Menilai 55 filem yang mengemukakan pencalonan pada acara berprestij menghimpunkan kira-kira 1,400 pembikin filem dan penggiat seni tanah air itu, tujuh juri FFM31 mengaku persaingan kali ini tidak hebat atas faktor mutu karya dipersembahkan.

Ketua Juri FFM31, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, menjelaskan persaingan kali ini tidak sengit.

"Walaupun ada 55 filem bertanding, saingan tidak berapa sengit. Seperkara yang agak mengecewakan barisan juri adalah banyak filem dipertandingkan lebih layak ditayangkan di televisyen (TV), bukan layar perak.

Penerbit Eksekutif filem Roh, Amir Muhammad bersama trofi Filem Terbaik FMM31 yang dimenangi. Foto Ihsan FFM31
Penerbit Eksekutif filem Roh, Amir Muhammad bersama trofi Filem Terbaik FMM31 yang dimenangi. Foto Ihsan FFM31

"Jadi, ini bermakna, penerbit perlu membuat filem yang lebih terperinci dan sesuai untuk ditayangkan di layar perak. Filem (yang dihasilkan untuk) layar perak tidak sama dengan naskhah ditayangkan di TV," katanya kepada BH Online.

Roh menguasai FFM31 termasuk dalam kategori pelakon apabila Junainah M Lojong diumum Pelakon Pembantu Wanita Terbaik manakala Putri Qaseh menjulang trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Bagi kategori Filem Terbaik, karya yang mengangkat kisah keluarga daif di pinggir hutan yang didatangi kanak-kanak perempuan misteri, bersaing dengan empat calon lain iaitu Fly By Night, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Geran.

Mohamed Juhari berkata, juri bagaimanapun gembira dengan kebangkitan anak muda melalui pencalonan FFM31.

"Ini terutama dilihat melalui kejayaan dua filem animasi, Ejen Ali The Movie dan Upin & Ipin : Keris Siamang Tungal.

"Sejujurnya, dua filem animasi ini baik dalam aspek kandungan hingga muzik digunakan, semuanya cantik.

"Jadi, bagi kami (juri), Malaysia perlu terus menyokong anak-anak muda menghasilkan filem animasi yang bermutu seperti dua karya terbabit," katanya.

Memperincikan kejayaan Roh meraih trofi Filem Terbaik dan menewaskan pencabar terdekat, Fly By Night arahan Zahir Omar, Mohamed Juhari berkata, keunikan kisah dalam filem terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu menjadi faktor utama.

Tambahnya, Roh adalah filem seram yang berbeza berbanding karya genre sama. Kualiti karya itu secara pakej membuatkan Roh wajar diberi pengiktirafan tertinggi.

"Filem seram biasa dalam industri kita. Namun, Roh membawa dimensi baharu bagi filem seram Melayu.

"Elemen seram dipaparkan bukan melalui kelibat hantu yang menakutkan. Sebaliknya, hanya dipersembahkan dalam bentuk suasana... Ini yang tidak kita tengok dalam filem Melayu sebelum ini.

"Sebenarnya, pesaing utama Roh adalah Fly By Night yang mempunyai kandungan, sinematografi dan lakonan bagus. Tidak hanya itu, kami bangga kerana filem itu dihasilkan rakyat Malaysia.

"Namun, idea yang diserlahkan Emir melalui Roh lebih segar," katanya.

Mohamed Juhari berkata, semua yang dipaparkan dalam Roh dianggap mengagumkan biarpun dihasilkan pengarah baharu.

"Jadi, bagi kami, Roh wajar diangkat Filem Terbaik," katanya.

Mengenai kemenangan Kabir Bhatia yang menghasilkan filem Sangkar sebagai Pengarah Terbaik, bukannya Emir, Mohamed Juhari mengaku dua sutradara itu bersaing sengit.

Namun, juri memilih Kabir kerana memperlihatkan ciri-ciri 'kapten' yang lebih bagus.

"Kabir menjadi kapten yang sangat bagus untuk filem Sangkar. Dia berjaya mengemudikan filem besar dengan baik. Berbanding Emir, Kabir mengarahkan naskhah yang lebih rumit. Namun, kandungan filem itu boleh dijangkakan.

"Sangkar adalah naskhah yang tidak mencabar minda penonton. Kita boleh menjangkakan pengakhiran filem itu.

"Perkara ini jadi berbeza jika Sangkar memaparkan pengakhiran tidak dijangka. Namun, saya faham, kalau pengakhiran filem itu tidak seperti yang dipaparkan, filem itu tidak akan laku kerana membabitkan belanja besar.

"Atas faktor itulah Sangkar tewas kepada Roh. Roh membawa idea yang segar dan keseluruhan filem itu cantik. Contohnya, dalam aspek lakonan.

"Boleh dikatakan dari pelakon kanak-kanak hinggalah teraju utama Roh, semuanya terlalu bagus," katanya.

Namun, tambah Mohamed Juhari, bintang utama Roh, Nam Ron tewas kepada Zul Ariffin berikutan lakonan Nam Ron dilihat tidak banyak berbeza dengan pembawaan dalam filem lain.

"Ini berbeza dengan Zul. Lakonannya tampak menyerlah dalam filem Sangkar. Dibantu Remy Ishak yang menghidupkan watak dengan sangat baik, gabungan dua pelakon ini meyakinkan," katanya.

Pada FFM31, Zul diangkat Pelakon Lelaki Terbaik manakala Remy meraih trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Sementara itu, Mohamed Juhari memuji Emir dan Kuman Pictures kerana menghasilkan filem baik dengan bajet rendah.

"Bagi saya, bajet tidak memainkan peranan penting. Kalau naskhah kita bagus daripada segi kandungannya, biarpun dengan bajet rendah, karya boleh berjaya," katanya.

Mohamed Juhari mengaku tidak tahu Jawatankuasa Pemilihan Filem Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memilih Roh mewakili Malaysia pada Anugerah Akademi Ke-93 bagi kategori Filem Antarabangsa.

"Apabila saya berbincang bersama barisan juri, saya tidak tahu filem ini dipilih ke Oscar. Jadi, pemilihan ini (Roh menang trofi Filem Terbaik) memberi makna karya ini wajar diiktiraf," katanya.

Selain trofi, penerbit filem Roh menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 yang disalur mengikut garis panduan tatacara permohonan dana industri kreatif.

*

Roh memaparkan kisah keluarga daif didatangi tetamu tidak diundang iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan ngeri dengan pelbagai peristiwa mistik berlaku.

Roh menjalani penggambaran selama 15 hari di lokasi rimba di Dengkil, Selangor.

Berita Harian X