Ahad, 12 Disember 2021 | 1:00pm
Hanya berbajet serendah RM360,000, filem Roh menjalani penggambaran dalam tempoh 15 hari di sebuah lokasi rimba di Dengkil dengan hanya menampilkan enam pelakon, Nam Ron, Farah, Junainah, Farhana, Putri Qaseh dan Harith.
Hanya berbajet serendah RM360,000, filem Roh menjalani penggambaran dalam tempoh 15 hari di sebuah lokasi rimba di Dengkil dengan hanya menampilkan enam pelakon, Nam Ron, Farah, Junainah, Farhana, Putri Qaseh dan Harith.

'Filem bajet kecil, garapan luar biasa'

KUALA LUMPUR: Karya ilham menerusi filem klasik Jepun, Onibaba dan berlatarbelakangkan kisah zaman dahulu di pinggir hutan mengangkat Roh sebagai Filem Terbaik pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam kelmarin.

Kemenangan filem seram indie arahan Emir Ezwan dan terbitan Kuman Pictures Sdn Bhd itu melayakkannya membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000 dengan mematuhi garis panduan sedia ada berkuat kuasa bagi tatacara permohonan DKD.

Bukan sesuatu mengejutkan apabila Roh dijulang sebagai Filem Terbaik apabila pernah mewakili Malaysia bagi penilaian Anugerah Akademi Ke-93 untuk kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa pada April lalu.

Filem lakonan Nam Ron, Farah Ahmad, Junainah M Lojong, Mhia Farhana, Putri Qaseh dan Harith Haziq itu pernah menyertai pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Festival Filem TOHorror Fantastic Itali, Festival Filem Antarabangsa Singapura, Festival Filem Jogja-NETPAC Asia, Festival Filem Udine Far East dan Festival Filem New York Asia.

Penerbit Eksekutif, Amir Muhammad tidak menyangka filem berbajet RM360,000 itu berjaya memenangi hadiah utama dan menarik perhatian juri profesional.

"Saya mewakili Kuman Pictures terharu apabila filem kecil ini dipilih. Sebenarnya, filem Roh berbajet rendah daripada RM500,000, jadi bagaikan menyuntik semangat apabila mendapat pengiktirafan ini.

"Falsafah Kuman Pictures, kami tidak buat filem mahal. Kami hanya menjayakan naskhah biaya rendah, tidak ramai pelakon dan tidak menggunakan banyak lokasi.

"Bagi saya, semakin tinggi bajet, semakin berhati-hati pihak produksi. Jadi, dengan bajet rendah, ia menjadikan semua pihak lebih bebas untuk berkarya.

"Saya sudah 10 tahun tidak menghasilkan filem. Apabila memulakan Kuman Pictures pada 2018, saya mahu mengembalikan filem indie, iaitu ia dibuat secara mandiri dan kebebasan diberikan kepada pengarah.

"Pengarah adalah kuasa paling kreatif dalam sesebuah karya. Dan pemilihan pelakon dibuat atas dasar mereka boleh berlakon, bukan mempunyai jutaan pengikut dalam laman sosial," katanya kepada BH Online.

Hanya berbajet serendah RM360,000, filem Roh menjalani penggambaran dalam tempoh 15 hari di sebuah lokasi rimba di Dengkil, Selangor dengan hanya menampilkan enam pelakon, Nam Ron, Farah, Junainah, Farhana, Putri Qaseh dan Harith.

Justeru, Amir menyifatkan kejayaan filem Roh adalah pada kreativiti sutradara, Emir yang di luar daripada kebiasaan.

"Apa yang dilihat menerusi Roh adalah hasil imaginasi Emir sendiri. Kami tidak masuk campur dalam kreativitinya. Bagi saya, setiap pengarah digalakkan bermain dalam tamannya sendiri.

"Imaginasi dan keupayaan Emir mengawal aspek seni juga menjadi Roh. Contohnya, dari segi kajian mengenai pakaian. Semuanya bermula dengan kreativiti Emir, dia pergi ke muzium dan arkib mencari baju yang dipakai pada kurun 19. Jadi keunikan datang dari imaginasinya sendiri," katanya.

Amir menyifatkan kejayaan filem Roh daripada kreativiti sutradara, Emir di luar kotak fikiran. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Amir menyifatkan kejayaan filem Roh daripada kreativiti sutradara, Emir di luar kotak fikiran. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Bagaimanapun, sebelum menempuh kejayaan itu, Amir mengakui, dia melalui cabaran apabila ada pihak meletakkan persepsi negatif terhadap karyanya itu.

Tidak mengendahkan perkara itu, Amir gembira dapat membuktikan karya berbeza mempunyai nilai tersendiri.

"Apabila mula memasarkan Roh, kami bertemu beberapa pengedar. Ada pengedar mengatakan orang tidak suka sebab tak faham mengenai filem ini. Ada juga kata Roh akan diharamkan sebab berkait dengan akidah dan sebagainya.

"Namun, ramai pula suka walaupun bukan semua apabila Roh ditayangkan. Ini menunjukkan jika kita memberi variasi dan kepelbagaian kepada penonton, kita harus percaya penonton akan menyambut dengan baik.

"Jadi, jangan pandang rendah dengan selera penonton. Filem ini juga ditayangkan di Amerika Syarikat, namun, tiada satu ulasan yang mengatakan filem ini mengajar nilai Islam.

"Mereka melihat secara universal, di mana setiap orang ada ketakutan dalam diri. Jadi, interpretasi terhadap filem ini agak terbuka," katanya.

Roh juga dikatakan menjadikan filem dari Jerman berjudul Funny Games sebagai salah satu inspirasi.

Mengulas perancangan memanfaatkan hadiah utama RM500,000 yang dibawa pulang, Amir berkata, dia akan bekerjasama dengan Emir menghasilkan filem seterusnya.

"Saya akan bekerjasama dengan Emir. Kami mahu sebuah lagi karya daripadanya. Pada masa sama, saya sedang menjalankan pertandingan penulisan skrip dalam laman Facebook.

"Karya pemenang pertandingan penulisan skrip ini akan difilemkan. Tarikh akhir pertandingan pada Mei ini, insya-Allah saya dan Emir memilih pemenang sebelum menghasilkan filem," katanya.

Selain pengiktirafan tertinggi itu, Roh turut mencipta kegemilangan membawa pulang trofi Lakon Layar Terbaik.

Terajunya, Junainah turut diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Terbaik, manakala Putri Qaseh berjaya menjulang trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Terdahulu, Roh juga memenangi kategori Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Kabir anggap gabungan skrip dan penghayatan setiap karakter yang meletakkan sepenuh jiwa angkat naskhah Sangkar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Kabir anggap gabungan skrip dan penghayatan setiap karakter yang meletakkan sepenuh jiwa angkat naskhah Sangkar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Bersaing empat filem hebat iaitu Fly By Night, Sangkar, Ejen Ali The Movie dan Geran, karya itu mengangkat kisah satu keluarga daif yang menetap di pinggir hutan.

Mereka didatangi tetamu tidak diundang iaitu kanak-kanak perempuan yang memberi ramalan ngeri. Pelbagai peristiwa mistik berlaku selepas itu.

Sementara itu, sutradara filem Sangkar, Kabir dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik mengenepikan Emir (Roh), Usamah Zaid Yasin (Ejen Ali The Movie), Zahir Omar (Fly By Night) dan Adrian Teh (Wira).

Kabir berkata, dia gembira dengan pencapaiannya, namun, pada masa sama terkejut kerana tidak menaruh harapan untuk membawa pulang trofi kategori berkenaan.

"Saya tidak menyangka akan menggenggam trofi Pengarah Terbaik. Awalnya, saya datang hanya untuk menyokong dan saya juga tidak tahu filem mahupun pelakon mana dicalonkan.

"Jika mengulas soal persaingan terdekat, saya tidak merasakan saya bersaing. Saya hanya cuma mahu melakukan naskhah yang baik. Itulah cara boleh bertahan dalam industri seni ini.

"Bagaimanapun, ini adalah hasil kerja seluruh pasukan. Filem Sangkar berjaya disebabkan gabungan skrip dan penghayatan buat setiap karakter. Setiap pelakon meletakkan jiwa dan perasaan dalam filem ini.

"Saya sudah menjayakan banyak karya, jadi seni memerlukan jiwa dan perasaan untuk berjaya," katanya.

Tambah Kabir, dia juga suka bekerja dengan barisan pelakon berjiwa besar. Ekoran itu, tidak menafikan keupayaan dua bintang filem, Zul Ariffin dan Remy Ishak turut berjaya memenangi anugerah.

Bintang utamanya, Zul dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Remy pula sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

"Saya bangga dengan kemenangan mereka. Ini kerana kejayaan sesebuah filem datangnya daripada penghayatan pelakon dan mereka berjaya menyampaikan dengan baik," katanya.

Filem Sangkar memaparkan sukan seni bela diri campuran (MMA) sebagai latar cerita diterbitkan dengan gabungan empat syarikat perfileman gergasi, Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment.

Berita Harian X