Ahad, 12 Disember 2021 | 11:00am
Cedera dan dibelasah ketika melakonkan babak aksi antara pengalaman berharga Zul dan Remy ketika membintangi filem Sangkar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Cedera dan dibelasah ketika melakonkan babak aksi antara pengalaman berharga Zul dan Remy ketika membintangi filem Sangkar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

'Pengorbanan tak sia-sia'

KUALA LUMPUR: Tidak sia-sia pengorbanan dua bintang utama filem Sangkar, Zul Ariffin dan Remy Ishak tatkala membintangi karya bergenre aksi apabila hasil kerja mendapat pengiktirafan pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31, malam kelmarin.

Alami kecederaan dan terpaksa berlakon dalam kesakitan akibat patah jari kaki serta dibelasah cukup-cukup ketika melakonkan babak aksi antara pengalaman berharga ditimba dua aktor popular itu ketika membintangi filem berkisar kepada kehidupan atlit sukan bela diri campuran (MMA).

Nyata segala darah, keringat dan air mata tumpah di lokasi Sangkar membawa tuah buat Zul dan Remy apabila dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, FFM31 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang dipancarkan secara langsung di TV2.

Berkongsi perasaannya, pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin ini berkata, kejayaan diraih mengingatkannya semula satu peristiwa pernah berlaku, tujuh tahun lalu.

"Saya bertemu aktor tersohor, Datuk Rosyam Nor ketika menang trofi Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, FFM26.

"Sambil bergurau Rosyam berkata, beliau akan ketuk kepala saya dengan trofi ini jika saya gagal menjulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, suatu hari nanti.

"Walaupun tak pernah harap julang trofi ini, namun, saya bersyukur anugerah ini akhirnya berada dalam genggaman saya," ujarnya tidak henti-henti membelek trofi bersalut emas yang berada kemas di tangan.

Mengakui 2021 tidak begitu baik buat dirinya, namun, kejayaan menjulang trofi yang menjadi idaman ramai itu disifatkan Zul sebagai cukup bermakna buatnya.

Cemerlang watak Tok dibawa dalam filem Roh, Junainah akui watak itu cukup mencabar kemampuan kerana dihasilkan tanpa sebarang rujukan. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Cemerlang watak Tok dibawa dalam filem Roh, Junainah akui watak itu cukup mencabar kemampuan kerana dihasilkan tanpa sebarang rujukan. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Jika Zul tidak mengimpikan memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, berbeza pula pemilik nama sebenar, Mohammad Zalimei Ishak pula teringin namanya tersenarai sebagai alumni pemenang trofi FFM.

Tanpa berselindung, Remy mendedahkan, dia pernah terkilan apabila peluang memenangi trofi FFM masih belum tiba meskipun sudah berbelas tahun menghambakan diri dalam dunia seni.

"Mungkin angka 15 tahun masih dianggap muda kerana ada yang lebih senior. Namun, angka ini cukup memadai kerana saya bekerja keras.

"Saya cuba mencari watak yang boleh menghadiahkan saya trofi pelakon terbaik. Lagipun, kehadiran saya dalam industri seni seiring dengan pelakon 'indie' yang amat mementingkan kualiti lakonan.

"Saya bekerja keras dan kalau berlakon drama sekali pun, saya tetap akan membuat latihan. Bagaimanapun, rezeki masih belum berpihak pada saya.

"Tak dinafikan, saya pernah dicalonkan dalam Anugerah Skrin dan menang. Drama Keluarga Baha Don juga pernah menang Anugerah TV Asia.

"Justeru, saya rasa bagai ada yang tidak kena apabila tak menang FFM. Apapun, saya bersyukur akhirnya impian tercapai dengan kemenangan ini," ujar Remy dalam nada teruja.

Sangkar diterbitkan Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainme turut merangkul tiga trofi lain iaitu Kabir Bhatia sebagai Pengarah Terbaik, kategori Tatarias Terbaik (Ella Sandera) dan Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff Mahzan).

Mengulangi kejayaan pernah diraih pada FFM29, pelakon Junainah M Lojong sekali lagi dinobatkan sebagai pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Fify dan Anding melakar sejarah peribadi apabila meraih trofi Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Lelaki Harapan. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Fify dan Anding melakar sejarah peribadi apabila meraih trofi Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Lelaki Harapan. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Cemerlang watak Tok dibawa dalam filem Roh, Junainah yang juga isteri kepada aktor berkaliber, Nam Ron ini mengakui watak itu cukup mencabar kemampuan kerana dihasilkan tanpa sebarang rujukan.

"Karakter Tok ini mencabar kerana hingga hari ini ramai masih tidak tahu apakah Tok orang tua, syaitan mahupun nenek kebayan.

"Berdasarkan perbincangan dengan pengarah, saya faham Tok adalah watak Syaitan. Di situ, timbul kesukaran syaitan mana yang boleh dirujuk.

"Tok kemudiannya digambarkan sebagai orang tua yang duduk seorang diri dalam hutan, penuh misteri dan sifatnya berbeza dengan fitrah seorang yang sudah berusia," ujarnya.

Sementara itu, pelakon Fify Azmi dan Anding Irawani melakar sejarah peribadi apabila meraih trofi Pelakon Wanita Harapan dan Pelakon Lelaki Harapan.

Fify atau nama sebenarnya, Nur Afiqah Mohamed Azmi berkata, trofi itu cukup bermakna kerana pengorbanan membawakan watak Zain dalam filem Wira sangat berbaloi.

"Untuk membawa watak Zain, saya perlu memotong rambut. Sebelum ini, saya tidak pernah berambut pendek. Jadi pengorbanan amat berbaloi," katanya.

Berkongsi keterujaan sama, Anding mendedahkan, cedera ketika membintangi filem Headhunter.

"Jari hampir putus pada hari pertama penggambaran. Kecederaan membuatkan jari saya terpaksa dijahit," katanya.

Terdahulu, pemenang menerima trofi dan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 kecuali kategori Filem Terbaik menerima ganjaran berbentuk Dana Kandungan Digital bernilai RM500,000 sumbangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman diberikan kepada pelakon otai berkaliber, Fauziah Nawi, manakala Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir pula Datuk Seri Ahmad Nawab.

Malam kemuncak FFM31 dikendalikan oleh Awal Ashaari dan Sharifah Shahirah turut menyaksikan persembahan penyanyi hebat seperti Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Syafinaz Selamat, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor dan ramai lagi.

Berita Harian X