Ahad, 12 Disember 2021 | 8:30am
Ika tidak selektif, sebaliknya tetap terbuka mencuba pelbagai karakter, termasuk watak antagonis. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Ika tidak selektif, sebaliknya tetap terbuka mencuba pelbagai karakter, termasuk watak antagonis. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Tak salah bertudung bawa watak jahat

KUALA LUMPUR: Imej bertudung tidak mengehadkan penghidupan dalam sesebuah watak termasuklah hitam dan antagonis.

Namun, ada sesetengahnya seakan tidak mampu menerima apabila pelakon wanita berimej bertudung membawa karakter jahat. Sedangkan, realiti kehidupan baik atau buruk seseorang bukan berlandaskan imej bertudung litup.

Bagi pelakon Ika Nabella, 32, dia tidak selektif, sebaliknya tetap terbuka mencuba pelbagai karakter, termasuk watak antagonis. Ini berikutan imej bertudung tidak seharusnya dijadikan sandaran peranan yang dibawa.

"Saya tak kisah sekiranya diberikan watak antagonis meskipun sudah bertudung. Ada sahaja pelakon wanita bertudung yang melakonkan watak jahat, tetapi masih diterima.

"Sebagai pelakon, saya tidak mahu terikat dengan watak baik. Jika boleh saya mahu menerokai pelbagai karakter manusia dalam dunia ini.

"Cuma, paling penting, saya harus pandai menjaga batasan pergaulan di lokasi penggambaran bagi menjaga status sebagai isteri dan ibu.

"Jadi, tidak perlulah risau, saya masih Ika Nabella yang sama. Cuma, beza penampilan sahaja," katanya kepada BH Online.

Wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, suaminya, Muhammad Zaid Aznam tetap menyokong kerjaya lakonannya.

"Suami kenal sebagai pelakon, jadi dia pun rindu melihat saya beraksi di kaca televisyen mahupun layar perak.

"Saya pula sudah agak lama berehat apabila melahirkan anak pertama, Muhammad Noah Zayn yang kini berusia dua tahun. Sudah tentu saya sangat merindui kerjaya seni selepas hampir dua tahun berehat seketika.

"Saya kini bersedia kembali aktif semula selepas Muhammad Noah kian membesar dan boleh ditinggalkan sekiranya saya keluar bekerja," katanya.

Ika kembali aktif berlakon selepas Muhammad Noah kian membesar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif
Ika kembali aktif berlakon selepas Muhammad Noah kian membesar. - Foto Ihsan Surianie Mohd Hanif

Pelakon filem Tanda Putera dan Takut Ke Tak itu berkata, dia membuat keputusan memperlahankan kerjaya lakonan bukan disebabkan pandemik COVID-19 semata-mata, tetapi berkorban dengan anak yang masih kecil.

"Saya rasa sudah masanya kembali aktif selepas kali terakhir menjayakan drama Demi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran berlakon, cuma banyak tertangguh disebabkan larangan penggambaran ketika pandemik. Setakat ini, saya sudah ditawarkan lima projek drama.

"Saya akui, banyak tawaran terpaksa ditolak ketika Muhammad Noah belum cukup usia dua tahun. Saya tidak sampai hati meninggalkan anak yang masih kecil," katanya.

Bintang kelahiran Akademi Fantasi musim keenam itu berkata, dia lebih bersemangat kembali beraksi di hadapan kamera apabila filem lakonannya, Takut Ke Tak turut membolosi pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan filem Takut Ke Tak turut dicalonkan dalam FFM31. Sebelum ini, nama saya membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

"Ia umpama batu loncatan yang memberi semangat untuk saya kembali berlakon," katanya yang sudah 13 tahun berkecimpung sebagai pelakon.

Bersyukur atas pencalonan dalam FFM31, Ika berkata, ini bukan kali pertama, sebaliknya filem Tanda Putera pernah dicalonkan dalam anugerah berkenaan.

Makin aktif dalam dunia perniagaan, pelakon drama Bahagia Bukan Bidaan dan Patah Sayap Bertongkat Paruh itu berkata, ia adalah cinta keduanya selepas lakonan.

"Rezeki berniaga hadir selepas saya dikurniakan cahaya mata ketika era pandemik COVID-19.

"Waktu itu, penggambaran belum dibenarkan, jadi berniat membantu golongan ibu menyusu.

"Saya mengeluarkan produk bantuan susu ibu. Saya kini sudah memiliki sijil Counselor Breastfeeding dengan mendalami ilmu ini.

"Saya suka melakukan dua pekerjaan ini, rasa dekat dengan jiwa. Saya berterima kasih kepada pengikut yang menyokong kerjaya seni atau perniagaan," katanya.

Ika pernah mencetuskan kontroversi apabila ditumbuk pengarah Azma Aizal Yusoof di lokasi penggambaran drama Dawai Asmara pada 2015.

Agak lama berhijab, namun, hanya berkongsi kisah penghijrahannya, penghujung tahun lalu.

Berita Harian X