Jumaat, 10 Disember 2021 | 9:15pm
Usamah (tengah) berterima kasih kepada PWS dan MDEC atas sokongan diberi dalam menghasilkan filem Ejen Ali The Movie. Foto Ihsan FINAS
Usamah (tengah) berterima kasih kepada PWS dan MDEC atas sokongan diberi dalam menghasilkan filem Ejen Ali The Movie. Foto Ihsan FINAS

Ejen Ali The Movie raih Anugerah Khas : Box Office FFM31

KUALA LUMPUR: Filem Ejen Ali The Movie meraih trofi Anugerah Khas : Box Office pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation merangkap Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, kemenangan itu adalah hasil kerja keras sepasukan.

"Ini adalah kemenangan pertama kami pada FFM31. Kemenangan kami dalam kategori ini adalah berdasarkan kutipan tertinggi yang dicapai ketika Ejen Ali The Movie ditayangkan pada 2019.

"Saya ucap terima kasih kepada semua yang pergi menonton. Saya dapat tahu ada sampai lima hingga enam kali pergi menonton lantas menjadikan kutipan filem kami tertinggi pada 2019.

"Terima kasih kepada Primeworks Studios (PWS) kerana beri kepercayaan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) atas sokongan dan sudah tentu pasukan yang bekerja keras.

Filem Ejen Ali The Movie meraih dua trofi iaitu Anugerah Khas : Box Office dan Penataan Bunyi Terbaik yang diumumkan pada segmen karpet merah FFM31, malam tadi. Foto Ihsan FINAS
Filem Ejen Ali The Movie meraih dua trofi iaitu Anugerah Khas : Box Office dan Penataan Bunyi Terbaik yang diumumkan pada segmen karpet merah FFM31, malam tadi. Foto Ihsan FINAS

"Tahniah ini kemenangan kita bersama," katanya kepada BH Online.

Ketika ditayangkan pada 2019, filem Ejen Ali The Movie meraih RM32.5 juta di empat negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.

Selain anugerah khas itu, Ejen Ali The Movie turut membawa pulang trofi Penataan Bunyi Terbaik.

Sementara itu, filem Sangkar meraih trofi Penata Seni Terbaik dan Tatarias Terbaik. Tiga lagi Anugerah Khas Juri turut dimenangi filem Suatu Ketika, Geran dan Headhunter.

Turut menggondol dua trofi, filem Roh diumumkan pemenang Rekaan Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Selain itu, filem The Garden Of Evening Mists dinobat pemenang kategori Kesan Khas Visual Terbaik dan filem Walk With Me menang kategori Poster Terbaik.

Semua keputusan itu diumumkan pada acara karpet merah FFM31 pada jam 8 malam tadi.

Keputusan bagi 17 kategori utama diumumkan pada Malam Kemuncak FFM31 yang disiarkan secara langsung di TV2 mulai jam 9 malam tadi.

Berita Harian X