Jumaat, 10 Disember 2021 | 1:00pm
Aron yang baru lancar buku Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmaking tidak bersetuju jika ada yang membandingkan kualiti filem disiarkan di platform OTT dengan pawagam. - Foto IG Aron Kok
Aron yang baru lancar buku Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmaking tidak bersetuju jika ada yang membandingkan kualiti filem disiarkan di platform OTT dengan pawagam. - Foto IG Aron Kok

Kaji semula syarat filem tayang di platform OTT

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) diminta mempertimbangkan semula syarat penyertaan Festival Filem Malaysia (FFM) dengan memberi peluang kepada karya ditayangkan di platform Over The Top (OTT) bertanding pada masa akan datang.

Ini berikutan banyak karya tidak dapat ditayangkan berikutan operasi pawagam ditangguhkan bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun lalu.

Akibatnya, ramai produser terpaksa beralih ke platform digital seperti Netflix, Disney+, Mubi, Viu, iQiyi dan stesen berbayar seperti Astro First sebagai pilihan memasarkan produk mereka.

Naib Presiden Persatuan Filem Cina Malaysia, Aron Koh berkata, sudah tiba masanya perkara itu dikaji semula memandangkan Anugerah Academy atau Oscar sudah pun membuka penyertaan kepada filem yang ditayangkan di platform Netflix untuk bertanding.

Justeru, katanya, FINAS wajar mengkaji semula syarat penyertaan filem ke FFM dengan melihat kepada situasi semasa.

"Jika kita lihat di Hollywood, filem ditayangkan di platform Netflix sudah boleh bertanding sejak dua tahun ini. Jadi, Persatuan Filem Cina Malaysia berharap FINAS dapat memberi peluang sama rata kepada produser filem tempatan.

"Tambahan pula, hampir dua tahun industri pawagam terjejas sehingga ramai penerbit ragu-ragu menghantar karya ke skrin layar lebar kerana hanya 30 hingga 40 peratus pengunjung dibenarkan menonton pada satu masa.

"Ini menyebabkan pembikin filem terpaksa menanggung hampir 50 hingga 60 peratus kerugian daripada jualan tiket. Oleh itu, FINAS seharusnya memberi peluang kepada karya ditayangkan dalam platform OTT untuk menyertai FFM," katanya kepada BH Online.

Aron yang juga penerbit filem Zombitopia dan mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam dunia penerbitan berkata, dia juga tidak bersetuju sekiranya ada yang membandingkan kualiti filem disiarkan di platform OTT dengan pawagam.

"Minda perlu terbuka, tiada beza antara filem dihasilkan untuk platform OTT dan pawagam. Juri FFM dilantik juga harus bersikap terbuka, mereka masih boleh menonton filem yang ditayangkan di OTT untuk membuat penilaian sama ada naskhah bagus atau sebaliknya.

"Buat masa ini, platform OTT adalah pilihan terbaik kerana industri pawagam mungkin mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk bangkit semula. Sebaliknya, platform OTT pula kian berkembang dan diterima.

"Saya boleh melihat perbezaan dan perkembangan baik dalam platform OTT. Saya lihat artis dan kru produksi tidak menang tangan menerima 'job' hingga ada masanya ketandusan tenaga kerja selepas kerajaan membenarkan industri perfileman beroperasi semula.

"Ia adalah satu petanda baik untuk industri filem tanah air," katanya.

Aron memilih tayangan filem terbaharu berjudul Gila Gusti menerusi pawagam terlebih dahulu, sebelum ke platform OTT. - Foto IG Aron Kok
Aron memilih tayangan filem terbaharu berjudul Gila Gusti menerusi pawagam terlebih dahulu, sebelum ke platform OTT. - Foto IG Aron Kok

Aron yang baru melancarkan buku berjudul Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmaking juga berkata, penerbit filem tidak perlu lagi bergantung kepada pawagam semata-mata, sebaliknya boleh meraih pulangan lumayan melalui platform OTT dan Astro First.

Malah, Aron berkata, dia turut menggunakan strategi sama untuk dua filem terbaharu berjudul Gila Gusti dan Small Town Heroes yang masuk ke pawagam terlebih dahulu, sebelum ke platform OTT dan Astro First.

Sementara itu, Aron yang pernah berkhidmat sebagai pengurus besar Akademi Filem dan TV, Universiti Limkokwing dan pensyarah kanan produksi filem dan televisyen kini sedang mengkaji kenapa pasaran filem tempatan masih sukar berkembang seperti naskhah dari Thailand dan Korea Selatan.

Katanya, biarpun mempunyai 32 juta penduduk, namun tidak semua karya tempatan diterima oleh masyarakat berbilang kaum.

"Orang Melayu tidak menonton filem Cina dan begitu juga sebaliknya.

"Saya kini sedang mengkaji apakah punca filem tempatan tidak ditonton oleh masyarakat berbilang bangsa. Contohnya, karya filem Cina terbitan syarikat saya hanya berjaya mengutip antara RM6 hingga RM7 juta.

"Namun, kenapa filem Thailand dan Korea Selatan diterima baik walaupun masyarakat tidak memahami bahasa mereka? Kita bukan tidak ada filem bagus," katanya.

Aron berkata, contohnya filem The Journey, Munafik 2 dan Paskal yang berjaya mencatat kutipan pecah panggung.

"Bermakna, bangsa lain juga ada menontonnya, cuma memerlukan mempunyai naskhah bagus bagi menarik perhatian penonton ke pawagam.

"Namun, pencapaian sedemikian tidak selalu terjadi, jadi saya sedang mengkaji apa yang boleh menjadikan karya tempatan diterima lebih meluas lagi.

"Mungkin salah satunya dengan menjalinkan kolaborasi dengan syarikat produksi dari luar seperti Cina, Hong Kong atau Indonesia," katanya yang tidak menyangkal kekangan bajet turut menjadi faktor.

Berita Harian X