Jumaat, 10 Disember 2021 | 11:00am
Hos program SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis, Awal (tengah) bersama Muhammad Kamaruddin dan Fauziah membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem. - Foto Ihsan IG WHAM
Hos program SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis, Awal (tengah) bersama Muhammad Kamaruddin dan Fauziah membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem. - Foto Ihsan IG WHAM

'Trofi terbaik tak jamin ganjaran'

KUALA LUMPUR: Melewati usia tiga dekad penganjuran, fungsi Festival Filem Malaysia (FFM) dalam mengiktiraf karyawan filem tempatan masih terus diyakini kredibiliti dan kekal relevan hingga hari ini.

Bukan omongan kosong, sebaliknya kenyataan ini dibuktikan selepas menyorot semula perjalanan seni alumni pemenang FFM, ada antaranya mampu mengharumkan nama negara ke persada antarabangsa.

Namun sejauh manakah kejayaan dan pencapaian seseorang pelakon yang pernah menggenggam trofi terbaik dalam FFM dihargai? Apakah cukup sekadar akhirnya trofi kemenangan tersimpan kemas dalam almari?

Persoalan itu dibangkitkan salah seorang panel program bual bicara terbitan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem bersama hos, Awal Ashaari, baru-baru ini.

Program sejam yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook FINAS Malaysia itu menampilkan pelakon dan aktivis teater berpengalaman, Fauziah Nawi, aktor yang pernah diangkat Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM29, Fimie Don dan Editor Portal Xtra mewakili Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Muhammad Kamaruddin Mohd Razal sebagai tetamu jemputan.

Menerusi program bual bicara yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi FINAS, Fauziah yang lebih mesra disapa ibu meluahkan rasa kecewa apabila menyentuh ganjaran diterima pelakon yang memenangi trofi terbaik dalam FFM.

"Saya pernah memenangi trofi terbaik dalam FFM12. Impak atau gah kemenangan hanya dapat dinikmati pada malam kemuncak FFM sahaja.

"Selepas itu saya kembali bekerja seperti biasa. Walaupun ada menganggap apabila sudah menang, bayaran diterima tinggi, namun, hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.

"Namun, ada pula pelakon yang tidak pernah genggam trofi terbaik, tetapi bayaran diterima pula tinggi. Asalkan seseorang pelakon mempunyai jumlah pengikut ramai dalam media sosial, bayaran juga tinggi.

"Apakah perlu kena menang anugerah, barulah nak bagi bayaran tinggi?," persoal Fauziah yang diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, FFM12 menerusi filem Sayang Salmah.

Masalah sama turut disuarakan pemenang trofi Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM23, Fimie yang turut disangka menaikkan bayaran selepas mengungguli trofi itu.

"Sejujurnya, impak kemenangan adalah sesuatu yang tidak dijangka. Ada produser menghubungi ibu mengatakan saya pasti akan mengenakan bayaran mahal selepas menang trofi.

"Walaupun perkara itu tidak sepatutnya dipersoalkan, ini kerana kualiti kerja yang bakal dihasilkan pasti terjamin apabila mengambil pelakon yang pernah menang trofi terbaik.

"Namun, budaya ini tidak dipraktikkan dalam industri kita. Pada pemikiran mereka, mengapa perlu membayar pelakon yang meletakkan harga tinggi, sedangkan ada pelakon lain yang boleh memberikan kualiti lakonan sama dengan bayaran lebih rendah," luahnya yang memenangi trofi itu menerusi filem Magika.

Fauziah berkongsi, impak kemenangan hanya dapat dinikmati pada malam kemuncak FFM, kemudiannya kembali bekerja seperti biasa. - Foto Ihsan IG WHAM
Fauziah berkongsi, impak kemenangan hanya dapat dinikmati pada malam kemuncak FFM, kemudiannya kembali bekerja seperti biasa. - Foto Ihsan IG WHAM

Mengulas dilema dihadapi penggiat seni, Muhammad Kamaruddin menegaskan, sudah tiba masanya FINAS mengkaji semula bayaran diberikan kepada penggiat seni yang terbukti memberikan hasil kerja terbaik.

"Saya tidak bersetuju mentaliti seperti ini. Sebagai pemenang, pelakon layak untuk diberi bayaran tinggi kerana hasil kerja mereka diiktiraf.

"Takkanlah nak teruskan kerja dan hasilnya sama tanpa ada sebarang peningkatan dari segi pendapatan," tegasnya yang lebih dikenali sebagai Padin.

Program bual bicara ini juga adalah sebahagian rangka promosi penganjuran malam kemuncak FFM31 yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), jam 9 malam ini.

Seakan mendengar rungutan disuarakan penggiat seni, Padin turut memaklumkan selain trofi, FINAS juga akan memberikan hadiah berbentuk Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 kepada pemenang trofi Filem Terbaik.

"Dari sudut positif, FFM boleh membuka pintu rezeki kepada penggiat perfileman. Walaupun hanya berada dalam senarai lima calon terbaik dan bukan pemenang, tidak mustahil kredibiliti boleh menarik minat syarikat produksi untuk menggunakan khidmat pada masa akan datang.

"Selain itu, ada berita baik buat pemenang trofi Filem Terbaik iaitu bakal menerima hadiah berbentuk dana bernilai RM500,000 sebagai motivasi untuk pembikin filem menghasilkan karya lebih baik pada masa akan datang," ujarnya.

Sebanyak 55 filem cereka bertanding merangkumi filem Bahasa Malaysia sebanyak 32 judul; Tamil (11), Mandarin (lapan) serta masing-masing, dua filem bahasa Inggeris dan Iban.

Antaranya, Rock 4 : Rockers Never Dai, Ratu Kala Jengking, Sangkar, Pusaka, Suatu Ketika, Wira, Tiada Tajuk, Motif, Bulan & Pria Terhebat, Miimaland, Geran, Wangi, Misteri Delaila, Kron, Roh dan banyak lagi.

Naskhah lain turut bersaing dalam 28 kategori dipertandingkan termasuk Upin Upin - Keris Siamang Tunggal, Ejen Ali The Movie, Ada Ada Apa Dengan Dosa dan Misi Operasi X.

Berita Harian X