Khamis, 9 Disember 2021 | 7:45pm
Dialog spontan Bell bukan sahaja berjaya membawa kumpulan Tobat mara ke pusingan separuh akhir, malah, menerima trofi Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat. - Foto IG Bell Ngasri
Dialog spontan Bell bukan sahaja berjaya membawa kumpulan Tobat mara ke pusingan separuh akhir, malah, menerima trofi Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat. - Foto IG Bell Ngasri

Bukan dialog umpan simpati - Bell

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pelakon, Bell Ngasri, 41, tidak terkilan biarpun belum pernah menerima pengiktirafan dalam mana-mana anugerah.

Justeru, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri menepis dakwaan sengaja meraih simpati pada peringkat suku akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 apabila melontarkan dialog mengatakan dirinya tak pernah menang trofi biarpun sudah lama berada dalam industri seni, baru-baru ini.

Berjuang bersama Ajak dan Ropie menerusi kumpulan Tobat, Bell berkata, dialog berbunyi 'aku melawak sejak kau kecil lagi, sebarang anugerah, piala pun tak pernah dapat' hanya sekadar suka-suka untuk membuatkan penonton ketawa, bukan mahu meraih simpati.

Katanya, tujuannya menyertai industri seni untuk mencari sesuap rezeki, bukan mengejar anugerah. Paling penting, memastikan namanya dapat terus bertahan dalam industri seni.

"Sebenarnya ketika berbincang topik, kami sengaja mencari satu 'twist' dan terkeluar idea ini. Rakan pelawak lain suka dialog ini, tetapi saya malu hendak melontarkan.

"Hinggalah waktu hendak naik ke pentas, saya cakap sekali lagi pada rakan kumpulan yang saya mahu tukar dialog kerana tidak mahu penonton mengatakan saya sengaja ingin meraih simpati.

"Saya juga tidak mahu dialog ini menjadi terlalu serius sehingga penonton tidak gelak, namun, Ajak dan Ropie tidak membenarkannya.

"Ajak pandai melihat perjalanan sesebuah sketsa. Dia tahu apa yang penonton inginkan. Jadi, Ajak minta dialog ini dikekalkan. Saya pula bimbang dikatakan sengaja berbuat demikian agar kumpulan Tobat mara ke pusingan separuh akhir," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, kumpulan Tobat bukan sahaja berjaya mara ke pusingan separuh akhir, malah, membawa pulang Anugerah Lawak Pedas Tak Ingat.

Bell berjuang bersama Ajak dan Ropie dalam kumpulan Tobat. - Foto IG Bell Ngasri
Bell berjuang bersama Ajak dan Ropie dalam kumpulan Tobat. - Foto IG Bell Ngasri

Bell berkata, dia sedar pentas MLM 2021 mempunyai banyak kumpulan yang hebat dan popular berbanding Tobat.

"Tobat tak mengejar gelaran juara, tetapi dapat muncul antara yang terbaik sudah memadai.

"Kami tahu banyak kumpulan lebih hebat. Di peringkat awal kemunculan, Tobat kurang mendapat tepukan penonton. Alhamdulillah, apabila hampir berada di penghujung, penonton mula menerima lawak kami.

"Bukan mudah hendak buat persembahan setiap minggu, apatah lagi, mencari topik lain daripada yang lain," katanya.

Bell yang pernah diangkat Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Drama), Anugerah Skrin menerusi drama Pa'e pada 1998 bersyukur, kehadirannya masih diterima dan diberikan kesihatan baik untuk mencari rezeki.

Mengulas formula terus bertahan, Bell berkata, dia sentiasa menjaga perhubungan dengan semua orang tidak kira pelakon, kru pekerja belakang tabir dan sesiapa sahaja.

Biarpun sudah lama berada dalam industri seni, Bell tidak pernah berkecil hati biarpun ada pendatang baharu yang menerima bayaran lebih lumayan berbanding dirinya.

"Saya tak pernah mengejar trofi tidak kiralah terbaik mahupun popular. Bagi saya, asalkan orang boleh terima dan saya sentiasa ada 'job', itu lebih penting.

"Saya tak rasa terkilan biarpun ada pendatang baharu terima bayaran lebih tinggi kerana tak dinafikan, ada antaranya mereka memang popular serta dahsyat.

"Apa lebih penting dapat bertahan. Ini kerana ada yang lebih popular tetapi gagal bertahan lama," katanya.

Berita Harian X