Rabu, 8 Disember 2021 | 6:50pm
Azzam dan Sheryl sudah 80 peratus melakukan persiapan majlis perkahwinan yang dijangka awal tahun depan. - Foto IG Sheryl Shazwanie
Azzam dan Sheryl sudah 80 peratus melakukan persiapan majlis perkahwinan yang dijangka awal tahun depan. - Foto IG Sheryl Shazwanie

Azzam tuju 'Baby Bambam' buat tunang

KUALA LUMPUR: Penyanyi Azzam Sham mendedikasikan single baharu berjudul Baby Bambam buat tunangnya, Sheryl Shazwanie.

Mungkin ramai tertanya-tanya apakah maksud di sebalik Baby Bambam. Istilah 'bambam' merujuk kepada fizikal bertubuh tembam, namun, Sheryl hanya gadis kecil molek.

Mengulasnya, juara program realiti, Big Stage musim ketiga berkata, awalnya single Baby Bambam merujuk kepada Sheryl memandangkan memiliki tubuh yang agak berisi sebelum ini.

"Namun, lain pula jadinya apabila Sheryl berjaya menurunkan berat badan pada era pandemik. Tetapi, apapun saya tetap menuju lagu istimewa ini buat tunang tersayang.

"Single Baby Bambam berentak pop 'catchy' dan lebih rancak ini adalah kesinambungan lagu duet Jangan Ragu dendangan saya bersama Sheryl.

"Sheryl juga ditampilkan dalam video muzik Baby Bambam. Bagaimanapun, kehadiran Sheryl adalah perancangan syarikat rakaman Rusa Music.

"Pengarah video muzik terpaksa menukar plot cerita dengan kehadiran kucing yang tembam. Jadinya, judul single ini secara tepat menggambarkan Sheryl sebagai 'baby' dan 'bambam' pula dirujuk kepada kucing berkenaan," katanya kepada BH Online.

Azzam ditemui pada majlis sidang media single Baby Bambam secara virtual, baru-baru ini.

Katanya, single Baby Bambam ciptaan Ejai Aziz dan digubah semula Apak Harry Khalifah dilakukan atas paksi mahu melawan arus kebiasaan.

"Single Baby Bambam dirakamkan sebelum saya menyertai program realiti Big Stage, tahun lalu.

"Bagaimanapun, proses rakaman terganggu disebabkan situasi semasa pandemik. Jadi, saya melancarkan single Cinta Jangan Pergi terlebih dahulu.

"Kemudiannya, baru single Baby Bambam. Ikutkan vokal saya besar, jadi Apak meminta saya menyanyikan lagu ini dengan menerap elemen klasikal," katanya.

Single Baby Bambam dirakamkan sebelum Azzam menyertai program realiti Big Stage, tahun lalu. - Foto Azzam Sham
Single Baby Bambam dirakamkan sebelum Azzam menyertai program realiti Big Stage, tahun lalu. - Foto Azzam Sham

Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkata, dia mulanya tidak yakin keputusan menyanyikan genre baharu adakah satu langkah tepat.

"Jujurnya, saya selesa dengan genre balada. Tetapi, kalau boleh saya mahu mencuba semua genre lagu.

"Saya tidak mahu terikat kepada sesuatu genre sahaja. Malah, rasanya tidak salah saya cuba keluar daripada zon selesa. Mungkin saya akan mencuba genre muzik lain pula," katanya.

Mengulas mengenai majlis perkahwinan yang dirancang awal tahun depan, Azzam berkata, persiapan kahwin boleh dikatakan sudah 80 peratus siap.

"Cuma, tarikh tepat majlis akad nikah belum dapat didedahkan. Saya bimbang keadaan semasa pandemik termasuk kehadiran varian baharu.

"Kita hanya mampu merancang, hanya Allah menentukan. Doakan urusan perkahwinan kami dipermudahkan," katanya.

Terdahulu, Azzam dan Sheryl saling mengenali pada 2015, namun, mula akrab sejak dua tahun lalu. Mereka melangsungkan majlis pertunangan pada penghujung September lalu.

Berita Harian X