Isnin, 6 Disember 2021 | 5:02pm
Afieq bersyukur percubaan menyanyikan semula lagu berhantu zaman 1990-an mendapat sokongan pencinta muzik tanah air.
Afieq bersyukur percubaan menyanyikan semula lagu berhantu zaman 1990-an mendapat sokongan pencinta muzik tanah air.

Layu Di Hujung Mekar 'trending' nombor satu

KUALA LUMPUR: Sering menyanyikan semula lagu lama seakan memberikan bayangan penyanyi, Afieq Shazwan lebih menggemari irama era 1990-an.

Mengakui perkara itu, Afieq berkata, dia lebih meminati lagu-lagu lama yang lebih bersesuaian dengan jiwanya.

"Saya memang suka menyanyikan lagu balada era 1990-an. Selain minat, saya mendapati boleh menonjolkan kelainan dan kemampuan vokal menyanyikan lagu balada bernada tinggi.

"Disebabkan itu, saya merakamkan semula lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan RIO, Layu Di Hujung Mekar.

"Alhamdulillah, jumlah tonton sudah hampir mencecah satu juta sejak dilancarkan dalam laman Youtube FMC Music pada 25 November lalu. Kini, trending nombor satu," katanya kepada BH Online.

Afieq berkata, dia bersyukur dan gembira percubaan menyanyikan semula lagu berhantu zaman 1990-an mendapat sokongan pencinta muzik tanah air.

"Asalnya, saya menyanyi sekadar suka-suka sahaja. Dan ketika nyanyi itulah, lagu Layu Di Hujung Mekar dirakam dan disiarkan dalam Instagram (IG) Story.

"Kemudiannya, saya menerima maklum balas pengikut dan minta saya menyanyi lagi lagu saduran ini.

"Sebenarnya, saya baru tahu lagu Layu Di Hujung Mekar diterbitkan FMC Music selepas muat naik nyanyian semula dalam IG Story. Jadi, apabila berbincang dengan syarikat rakaman, kami bersepakat merakamkan semula lagu ini," katanya.

Afieq yakin selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia masih sukakan genre lagu balada.
Afieq yakin selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia masih sukakan genre lagu balada.

Sebelum lagu Layu Di Hujung Mekar, Afieq merakamkan lagu nyanyian Allahyarham Achik Spin, Malam Semakin Dingin bersama Tajul dan berjaya mencecah 15 juta tontonan di YouTube FMC MUSIC selepas dilancarkan dua bulan lalu.

Selepas melihat impak lagu Malam Semakin Dingin dan Layu Di Hujung Mekar, Afieq yakin selera pendengar dan penggemar muzik di Malaysia masih sukakan genre lagu balada.

"Buktinya apabila lagu ini dilancarkan ramai yang mesej saya memberi sokongan dan menyatakan lagu era 1990-an sedap didengar dan malar segar.

"Dan mereka mahukan banyak lagi. Kalau pergi ke pusat karaoke sekali pun kebanyakan pengunjung akan memilih lagu hits 1990-an untuk dinyanyikan, betul tak?

"Saya berterima kasih kepada FMC Music kerana percayakan bakat saya.

"Doakan semoga saya terus sukses dan dapat melebarkan sayap kerjaya saya sebagai penyanyi dan pelakon," katanya.

Lagu Layu Di Hujung Mekar versi Afieq dilancarkan di YouTube rasmi FMC MUSIC serta semua platform muzik pada 26 November lalu.

Berita Harian X