Isnin, 6 Disember 2021 | 8:30am
Bintang BBNU, Iman Troye dan Bunga Isme kali pertama menembusi SFMM36.
Bintang BBNU, Iman Troye dan Bunga Isme kali pertama menembusi SFMM36.

Otai, BBNU bakal berentap

KUALA LUMPUR: Penyanyi otai dan Budak Baru Nak Up (BBNU) bakal berentap pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) bagi merebut kedudukan ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-36 (AJL36) mulai 31 Disember ini.

Secara keseluruhan, sudah lengkap kepelbagaian genre muzik apabila 30 lagu diumumkan bersaing ke peringkat SFMM36 selama dua hari iaitu 31 Disember depan, disusuli 1 Januari 2022.

Semalam, 10 lagu menerusi kumpulan ketiga layak ke SFMM36 diumumkan oleh hosnya, Muaz Mohamed dan Sissy Imann menerusi program Muzik Muzik 36 yang disiarkan di TV3.

Terdahulu, kumpulan pertama dan kedua membabitkan penyertaan 20 lagu diumumkan penganjur sejak 21 November lalu.

Ini kali pertama dua episod untuk SFMM36, berbanding tiga episod selama ini. Namun, hanya 12 lagu sahaja akan berentap ke pentas AJL36.

Kumpulan ketiga SFMM36 menyaksikan kemunculan penyanyi otai, Noraniza Idris berkolaborasi bersama penyanyi rap, Bunga Isme mempertaruhkan lagu Intan Payung ciptaan dan lirik oleh Luca Sickta, Bunga, Amzar Razqa, Siqma, Neraca (Datuk Jamal Abdillah, Kmy Kmo, Luca Sickta/Kmy, Luca) dan Angkara (Siti Nordiana/Sharon Paul, Fedtri Yahya, Nana Alias).

Tidak ketinggalan lagu Boneka nyanyian Ernie Zakri ciptaan Omar K, Iqie Hugh dan Firdaus Rahmat; Bagaimana (Muna Shahirah duet Zack Zakwan/Gouffran, Sang Hitam); Adlina Marie (Haqiem Rusli/Haqiem, Ibnu, Ezra Kong); Lara (Hael Husaini, Naim Daniel, Haqiem/MFMF, Hael, Naim, Haqiem); Nafas Cinta (Khai Bahar duet Aina Abdul/Wan Zakaria, Khai, Aina); Lautan Asmara (Kugiran Masdo/Ali Sariah) dan Teman (Iman Troye/Ezra Kong, A Ramlee).

Siti Nordiana mempertaruhkan lagu Angkara ciptaan dan lirik bersamanya dengan Sharon Paul dan Fedtri Yahya. - Foto Ihsan TV3
Siti Nordiana mempertaruhkan lagu Angkara ciptaan dan lirik bersamanya dengan Sharon Paul dan Fedtri Yahya. - Foto Ihsan TV3

Bagi bintang BBNU, Iman Troye, dia terkejut apabila lagu Teman ciptaan Ezra Kong dan A Ramlee berpeluang bersaing dengan lagu-lagu hebat yang lain.

"Ini adalah kali pertama saya menyertai SFMM, jadi saya teruja memandangkan tahun pertama saya berada dalam industri nyanyian. Disebabkan itu, ia adalah satu pengalaman sangat berharga.

"Jujurnya, saya tidak pernah terfikir berjaya sampai ke peringkat ini. Insya-Allah, saya akan melakukan terbaik untuk peminat yang banyak menyokong saya," katanya kepada BH Online.

Mengulas sudahkah bersedia dengan komen dan kritikan orang ramai, Iman berkata, dia terbuka dengan apa sahaja yang mendatang.

"Apabila sudah menjejaki industri nyanyian, saya kena terima apa yang berlaku. Maksudnya, baik dan buruk, saya kena terima dan gunakan sebagai pengajaran serta pengalaman.

"Jadi, memasuki SFMM36 dan membawakan lagu Teman, saya sangat berbangga dan tidak sabar membuat persembahan. Pada masa sama, saya cuba buat terbaik, tetapi kalau ada salah, saya terima dengan hati terbuka," katanya.

10 lagu menerusi kumpulan ketiga layak ke SFMM36 diumumkan oleh hosnya, Muaz dan Sissy menerusi program Muzik Muzik 36 yang disiarkan di TV3, semalam. - Foto Ihsan TV3
10 lagu menerusi kumpulan ketiga layak ke SFMM36 diumumkan oleh hosnya, Muaz dan Sissy menerusi program Muzik Muzik 36 yang disiarkan di TV3, semalam. - Foto Ihsan TV3

Sementara itu, Bunga yang mempertaruhkan lagu ciptaannya, Luca, Amzar dan Siqma berkata, dia akan tampil bersama penyanyi pengganti, memandangkan Noraniza Idris atau Kak Ani tidak dapat hadir ke SFMM36.

"Sebenarnya, saya baru dapat berita daripada Warner Music bahawa Kak Ani tidak dapat bertanding ketika SFMM36 disebabkan mengerjakan ibadah umrah.

"Jadi, kami sedang memikirkan siapa yang boleh menggantikan Kak Ani. Ia masih dalam perbincangan dan ada beberapa nama seperti Shiha Zikir atau Zizi Kirana dicadangkan.

"Tetapi, Shiha tidak dapat menyertainya kerana menjadi salah seorang peserta SFMM36. Jadi, kami kena lihat sama ada Zizi boleh menjayakan atau tidak.

"Walaupun bersama pengganti Kak Ani, harapnya semua peminat seronok dengan persembahan kami," katanya.

Mengulas soal persembahan, Bunga berkata, perasaannya kini bercampur baur memandangkan kali pertama bersaing untuk ke pentas AJL36.

"Semestinya saya gementar, takut dan teruja sebab ini kali pertama saya menyertai SFMM36. Sebenarnya, saya tidak pernah menjangka lagu ini berjaya memasuki carta Muzik-Muzik 36.

"Terima kasih kepada Luca, Kmy, Siqma dan Kak Ani. Ini kerana jika bukan kerana orang hebat dalam industri muzik, saya tidak berada di sini. Mereka sudah banyak mengajar saya bagaimana mahu membawakan lagu ini," katanya.

Turut menyatakan hasrat memberikan persembahan terbaik adalah Haqiem yang mempertaruhkan tiga lagu iaitu Mimpi, Adlina Marie dan Lara, kolaborasi bersama Hael dan Naim.

Berita Harian X