X
Ahad, 5 Disember 2021 | 11:00am
Fauziah mohon FINAS memilih satu tarikh khas untuk penganjuran FFM, setiap tahun bagi memberikan ruang penggiat seni meraikannya bersama. - Foto IG Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia
Fauziah mohon FINAS memilih satu tarikh khas untuk penganjuran FFM, setiap tahun bagi memberikan ruang penggiat seni meraikannya bersama. - Foto IG Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia

Fauziah cadang tarikh khas untuk FFM

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) perlu mewujudkan satu tarikh khas bagi penganjuran acara berprestij, Festival Filem Malaysia (FFM).

Pelakon senior, Fauziah Nawi mencadangkan perkara itu bagi memastikan penggiat seni mengingati tarikh keramat, sekali gus bersama meraikan acara yang cukup bermakna yang dinantikan setiap tahun.

"Ada penggiat seni masih tidak tahu FFM edisi ke-31 akan berlangsung pada 10 Disember ini. Malah, ada yang mengadu masih belum mendapat undangan.

"Justeru, saya mohon kepada FINAS memilih satu tarikh khas untuk FFM dianjurkan, setiap tahun. Contohnya, jika sudah pilih 10 Disember sebagai tarikh penganjuran FFM, biarkan tarikh ini kekal setiap tahun dan jangan ditukar.

"Sayanglah jika ketika FFM dianjurkan, masih ada penggiat seni berada di lokasi untuk menjalani penggambaran. Tentu mereka memilih menyiapkan kerja kerana jika pergi FFM, bukan boleh dapat duit pun.

"Jadi, saya harap FINAS atau mereka yang bertanggungjawab dapat mencari satu tarikh supaya penggiat seni tahu tarikh berkenaan adalah penganjuran FFM, setiap tahun," katanya ketika ditemubual menerusi program SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem bersama hos, Awal Ashaari, semalam.

Program sejam yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook FINAS Malaysia itu turut menampilkan aktor yang pernah diangkat Pelakon Kanak-Kanak Terbaik FFM29, Fimie Don dan Editor Portal Xtra mewakili Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Muhammad Kamaruddin Mohd Razal atau Padin sebagai tetamu jemputan.

Fauziah dan Muhammad Kamaruddin membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem bersama hos program SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis, Awal di studio, semalam. - Foto IG Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia
Fauziah dan Muhammad Kamaruddin membincangkan topik FFM: Jenama Dan Impak Industri Filem bersama hos program SPOTLIGHT: Tanpa Prejudis, Awal di studio, semalam. - Foto IG Persatuan Wartawan & Penulis Hiburan Malaysia

Dalam temubual itu, Fauziah atau lebih mesra disapa ibu turut menyifatkan FFM sebagai hari perayaan untuk penggiat seni dan ia perlu diraikan.

"Saya anggap FFM umpama hari raya buat penggiat seni. Tercalon ataupun tidak, kena datang sebagai tanda sokongan.

"Bagi saya, artis muda perlu hadir kerana jika bukan kita memeriahkan FFM, siapa lagi yang mahu meraikan kita," tegas penyandang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM12 ini.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut menegur sikap segelintir pemain industri baik di depan atau balik tabir yang tidak peduli penganjuran FFM31.

Tegasnya, mereka sepatutnya memberi sokongan kerana penganjuran FFM bertujuan untuk meraikan anak seni.

FFM31 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Disember depan, mempertaruhkan 55 filem.

Buat kali pertama, pemenang kategori Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 sebagai hadiah.

Berita Harian X