Khamis, 2 Disember 2021 | 1:00pm
Raja Khairul menjelaskan penganjur FFM31 tidak dapat memenuhi permintaan semua pekerja seni yang berhasrat menghadiri acara anugerah berprestij itu. Foto NSTP
Raja Khairul menjelaskan penganjur FFM31 tidak dapat memenuhi permintaan semua pekerja seni yang berhasrat menghadiri acara anugerah berprestij itu. Foto NSTP

Hanya 1,400 jemputan untuk FFM31

PETALING JAYA: Selepas lebih setahun tertangguh dengan edisi terakhir diadakan pada 2019, penganjur Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 menerima banyak permintaan daripada penggiat seni untuk menghadiri acara gilang-gemilang itu, minggu depan.

Bagaimanapun, akur prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan, hanya 1,400 tetamu dibenarkan menghadiri FFM31 melalui pemantauan ketat.

Pengarah Sekretariat FFM31, Raja Khairul Azman, berkata penganjur tidak dapat memenuhi permintaan semua pekerja seni yang mahu memeriahkan FFM31.

"Kita tahu acara ini sudah dua tahun tidak dianjurkan, jadi, ramai yang mahu pergi. Kami tidak boleh terima semua.

"Pada FFM30 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), tetamu dan jemputan melebihi 3,000 orang.

"Kali ini, jumlah yang diterima adalah 1,400 orang sahaja. Mereka ini adalah calon, wakil filem bertanding, penaja dan jemputan khas," katanya kepada BH Online pada sidang media Hotel Royal Chulan The Curve, Mutiara Damansara di sini, semalam.

Raja Khairul berkata, sebagai langkah keselamatan, tetamu dan jemputan diminta mengesahkan kehadiran secara online melalui perisian.

"Mereka kena sertakan bukti bahawa sudah lengkap mendapat suntikan vaksin COVID-19 melebihi 14 hari.

"Selain itu, kru juga perlu menjalani ujian calitan COVID-19 bagi mengelak berlakunya jangkitan sebelum malam kemuncak," katanya.

Sementara itu, Raja Khairul menghargai sumbangan penaja yang menjadi faktor kejayaan FFM31.

"Kami berjaya mendapatkan sumbangan industri untuk FFM. Pada edisi lalu, kami hanya beri trofi bersalut emas. Ketika itu, kami nampak untuk beri hadiah wang tunai perlukan belanja besar.

"Kali ini, apabila dihebahkan, ramai berminat untuk menaja. Alhamdulillah, hampir semua anugerah yang akan diberi ada penaja dan sumbangan wang tunai.

"Kita harap sumbangan wang tunai ini boleh memberi semangat kepada penerima yang baru bangkit selepas pandemik COVID-19," katanya.

Berita Harian X