Rabu, 1 Disember 2021 | 8:46pm
Dr Md Nasir, Annuar dan Zakaria bersama trofi FFM31 pada sidang media FFM31 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. Foto NSTP
Dr Md Nasir, Annuar dan Zakaria bersama trofi FFM31 pada sidang media FFM31 di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. Foto NSTP

Buat apa suka cari gaduh - Annuar Musa

PETALING JAYA: Penggiat seni perlu mengetepikan perbezaan ideologi dan hindari perselisihan faham demi kemajuan industri perfileman tanah air.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata, percanggahan pendapat harus diselesaikan secara harmoni sejajar misi kerajaan mempromosi konsep Keluarga Malaysia.

"Kalau dahulu kita asyik baca kontroversi sana sini, sekarang perlu kurangkan konflik. Jika ada idea bagus, individu itu perlu cadang dan bincangkan.

"Tidak perlu masuk media sosial orang itu untuk menghentam sana-sini sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan dengan berhemah.

"Lazimnya, dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis atau pemain bola sepak perlu kurangkan konflik. Buat apa suka cari gaduh. Sepatutnya kita harus cari titik persamaan.

"Jadi, semua persatuan seni janganlah bercakaran. Saya sebagai bapa atau datuk mahu nasihatkan, kita ceriakan kerjaya kita, tak perlu timbulkan polemik yang tidak baik," katanya pada sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 di Hotel Royal Chulan The Curve, Mutiara Damansara di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Mengulas sikap segelintir pemain industri baik di depan atau belakang tabir yang tidak peduli penganjuran FFM31, Annuar berkata, mereka sepatutnya memberi sokongan kerana penganjuran acara ini bertujuan untuk meraikan anak seni.

"Saya faham dalam situasi pandemik masa sekarang, mungkin ada yang terlepas pandang disebabkan mereka kembali bekerja.

"Bagaimanapun, kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar seperti ini.

"Wartawan dan televisyen (TV) memainkan peranan menyebarkan mengenai anugerah ini. Tetapi mereka (orang industri) tidak mahu ambil 'port' (peduli) apa yang berlaku di sekeliling mereka," katanya.

FFM31 yang bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Disember depan, mempertaruhkan 55 filem.

Buat pertama kalinya, pemenang Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Berita Harian X