Selasa, 30 November 2021 | 3:00pm
Tiara mengakui, terbit rasa terkilan peluang yang dibuka PGLTM tidak digunakan sepenuhnya untuk menghantar karya tempatan lain ke Oscar.
Tiara mengakui, terbit rasa terkilan peluang yang dibuka PGLTM tidak digunakan sepenuhnya untuk menghantar karya tempatan lain ke Oscar.

Berani buat perubahan menuju globalisasi

KUALA LUMPUR: Portfolio cemerlang dimiliki dalam dunia perfileman dan pementasan teater membuatkan pelakon dan penerbit tersohor, Puan Sri Tiara Jacquelina begitu dihormati serta menjadi idola ramai.

Naskhah ikonik Puteri Gunung Ledang The Movie (PGLTM) dan teater muzikal Puteri Gunung Ledang yang diterbitkan menjadi penanda aras kepada industri perfileman tempatan dan seni teater berikutan kejayaan diraihnya.

PGLTM melakar sejarah tersendiri untuk industri perfileman tanah air apabila mencapai kedudukan ke-49 dalam senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik, Anugerah Akademi atau Oscar pada 2004, manakala pementasan PGL The Musical pula membuka satu lembaran baharu dalam lanskap seni teater tempatan.

Namun, Tiara bagaikan sepi dari radar perfileman dan dilihat lebih menumpukan perhatian terhadap pementasan teater selepas PGLTM.

Mengulas perkara itu, Tiara memaklumkan, beliau masih berminat menghasilkan filem, namun, terbantut akibat industri perfileman kekurangan penulis skrip yang bagus.

"Ada kala ketika saya membaca buku autobiografi atau novel yang bagus, saya sering bercita-cita menjadikannya sebagai naskhah filem.

"Namun, realitinya hari ini, kita kekurangan penulis skrip yang bagus. Memang sukar mencari penulis yang berkualiti. Selalunya, apabila idea nak buat filem atau muzikal datang, masalah yang dihadapi adalah siapa nak tulis skrip?

"Jika boleh menulis skrip, sudah lama saya menyiapkannya, tetapi saya tidak pandai menulis," dedah Tiara pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, minggu lalu.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia diadakan sempena menyemarakkan Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Antara babak Tiara dan Datuk M Nasir dalam filem PGLTM yang mencapai kedudukan ke-49 dalam senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik, Oscar pada 2004.
Antara babak Tiara dan Datuk M Nasir dalam filem PGLTM yang mencapai kedudukan ke-49 dalam senarai tapisan Kategori Filem Asing Terbaik, Oscar pada 2004.

Pada sesi yang berlangsung selama dua jam, pengasas dan pemilik syarikat Enfiniti Productions itu turut mengimbau pengalaman perit dilalui ketika mahu mencalonkan filem PGLTM ke Oscar.

"Saya masih ingat betapa azab menghantar pencalonan filem PGLTM ke Oscar. Pada waktu itu, FINAS tidak tahu apakah prosedur yang perlu dilakukan untuk pencalonan.

"Saya dan pengarah, Saw Teong Hin berusaha mencari di internet, namun, tidak bertemu maklumat dikehendaki. Selepas puas berikhtiar dengan meminta bantuan ejen publisiti, akhirnya filem PGLTM berjaya disenarai pendek untuk dibentangkan kepada penganjur Oscar.

"Cabaran lain pula kami tidak kenal sesiapa ketika berada di Los Angeles, Amerika Syarikat. Malah, ketika mula mendengar nama Malaysia, penganjur pelik dan tidak percaya karyawan Malaysia mampu menghasilkan naskhah filem sebaik ini.

"Apa yang dilalui satu pengalaman pahit, namun, ia menjadi pembuka jalan kepada filem Malaysia lain untuk mengikut jejak langkah sama," cerita Tiara.

Pun begitu, Tiara mengakui, terbit rasa terkilan peluang yang dibukanya tidak digunakan sepenuhnya oleh FINAS untuk terus menghantar pencalonan.

"Sepatutnya FINAS mengambil inisiatif merebut peluang yang dibuka ini untuk mencari naskhah sesuai dan layak untuk dicalonkan ke Oscar.

"Perlu ada kesinambungan. Jika setiap tahun menghantar pencalonan, sekurang-kurangnya penganjur boleh membuka mata terhadap kualiti filem Malaysia.

"Bagaimanapun, jika nak hantar pencalonan, biarlah naskhah benar-benar berkualiti. Peluang hanya datang sekali.

"Tidak mahu karya 'asal boleh' akhirnya memusnahkan peluang untuk karya tempatan lain mendapat pengiktirafan di luar negara," katanya yang pernah menolak tawaran berlakon dua filem Hollywood atas pendirian teguh terhadap pegangan budaya orang Asia.

Demi menjadikan FFM31 lebih relevan, penyanyi lagu Asmaradana ini menyarankan, penganjur berani membuat pembaharuan dari pelbagai sudut.

"Sejajar misi menuju globalisasi, FINAS perlu berani membuat perubahan. Buang sikap mahu menjaga hati pihak tertentu.

"Kita sekarang sudah berada pada era pandemik dan mempraktikkan norma baharu. Tidak perlu main politik atau ada unsur pilih kasih dalam penganjuran FFM," tegasnya.

Berita Harian X