Isnin, 29 November 2021 | 5:47pm
Gara-gara serangan panik Ella tolak banyak undangan persembahan, tidak selera makan dan tubuh menggigil.
Gara-gara serangan panik Ella tolak banyak undangan persembahan, tidak selera makan dan tubuh menggigil.

Nyawa Ella terancam diserang 'anxiety'

KUALA LUMPUR: Ratu Rock, Ella, 55, mendedahkan berdepan dengan masalah 'anxiety' dan serangan panik yang teruk ketika era pandemik COVID-19.

Ini berikutan terlalu lama berkurung di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seterusnya Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta melihat angka jangkitan COVID-19 yang meningkat saban hari.

Ella berkata, dia kembali mengalami serangan panik hingga menjadi terlalu paranoid.

"Saya menghidap penyakit serangan panik sejak bujang lagi, tetapi hanya mengetahuinya selepas sekian lama.

"Hanya kakak, Jojie Aminuddin dan keluarga sahaja tahu masalah yang saya hadapi. Sebelum mengetahui menghidap penyakit ini, saya hanya mampu pasrah dengan keadaan berlaku.

"Gara-gara gangguan ini, saya tiada 'mood' untuk mengadakan persembahan, tidak selera makan dan ada kalanya, tubuhnya menggigil.

"Saya merasakan keselamatan terancam apabila mahu mengadakan persembahan. Akibatnya, saya terpaksa menolak sesetengah tawaran. Bagi saya, wang bukan segala-galanya pada ketika itu," katanya kepada BH Online.

Namun, penyanyi yang popular menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu itu bersyukur, serangan panik tidak menyerang sepanjang mengadakan persembahan.

"Alhamdulillah, saya mampu mengawal emosi selepas membuat pemeriksaan dengan doktor. Saya memang disahkan menghidap serangan panik.

"Mujur serangan panik saya tidak menyerang ketika saya mengadakan persembahan," katanya.

Ella mampu mengawal emosi dan gangguan serangan panik selepas membuat pemeriksaan doktor.
Ella mampu mengawal emosi dan gangguan serangan panik selepas membuat pemeriksaan doktor.

Namun, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, penyakit serangan panik itu kembali menyerang ketika era pandemik.

"Saya jadi terlalu pembersih, tidak berani keluar rumah dan takut bersentuhan dengan sebarangan orang. Saya juga sentiasa menyembur sanitasi.

"Saya mengelak memenuhi undangan persembahan. Nasib baik banyak persembahan dijayakan dalam talian sepanjang era pandemik sejak dua tahun ini.

"Saya bersyukur memilih beberapa perniagaan diusahakan selain bidang nyanyian. Jadi, saya tidak terbeban akibat banyak persembahan terpaksa dibatalkan.

"Alhamdulillah, keadaan saya kian pulih selepas mengamalkan sejenis makanan tambahan untuk masalah serangan panik ini.

"Insya-Allah, saya bercadang memperkenalkan produk ini kepada orang ramai agar mereka yang menghadapi masalah anxiety seperti saya mendapat manfaat," kata Ella.

Terdahulu, Ella kali pertama membuat pendedahan serangan panik yang dihadapi pada Jun lalu menerusi hantaran dimuat naik dalam akaun Facebook berkata, dia lega selepas membuat pendedahan berkenaan kerana beranggapan perkara sedemikian tidak seharusnya disembunyikan.

Katanya, dia nekad membuat pendedahan sebagai tanggungjawab untuk membantu insan lain. Malah, saya mewujudkan kumpulan berkaitan masalah serangan panik dalam Telegram.

"Kepada mereka yang mempunyai masalah sama, dapatkan bantuan pakar. Jangan anggap boleh diatasi sendiri kerana kesihatan mental bukan perkara main-main.

"Jangan malu atau rasa bersalah. Percayalah selepas membuat pengakuan, kita akan berasa sangat lega," katanya.

Sementara itu, berkongsi perkembangan kerjaya seni, Ella berkata, dia merancang projek istimewa selepas kerjaya seni terganggu sejak hampir dua tahun akibat pandemik.

Selain bakal mengadakan siri jelajah sempena perlantikan sebagai Duta SSG dan menjelajah ke beberapa negeri.

"Namun, saya masih belum bersedia mendedahkannya, lagi pula situasi negara masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik," katanya.

Berita Harian X