Ahad, 28 November 2021 | 3:00pm
Harith menampilkan isteri, Nuramalina dalam setiap video muzik dihasilkan termasuk yang terbaharu single berjudul Shut Up. Foto Ihsan Harith Zazman
Harith menampilkan isteri, Nuramalina dalam setiap video muzik dihasilkan termasuk yang terbaharu single berjudul Shut Up. Foto Ihsan Harith Zazman

Harith Zazman abadi isteri hamil dalam video muzik

KUALA LUMPUR: Mengabadikan kenangan isteri hamil tiga bulan, penyanyi, Harith Zazman memasukkan elemen bakal bergelar bapa dalam video muzik, Shut Up.

Single Shut Up yang dicipta Harith, Mage, Pique dan Fahimi Rahmat, sudah dilancarkan sejak 1 Oktober lalu.

Harith yang sebelum ini popular dengan lagu Cute (Stoplah Being So Cute), kali pertama tampil solo dalam lagu Shut Up.

Sebelum ini, Harith atau nama sebenar, Mohamad Harith Saifuzzaman tampil dalam projek kolaborasi dengan penyanyi lain.

Harith berkata, perkongsian mengenai kehamilan isteri, Nuramalina Ghakashah yang dinikahi sejak 28 Ogos lalu, dianggap kejutan buat peminat.

"Untuk video muzik ini, semua idea datang daripada pengarah, Hafreez Amminuddin atau Freeze. Dia hendak buat sesuatu yang berbeza daripada saya.

Harith mengaku belum sedia merakamkan lagu balada dan perlu terus melatih vokal untuk menyanyi lagu genre itu. Foto Ihsan Harith Zazman
Harith mengaku belum sedia merakamkan lagu balada dan perlu terus melatih vokal untuk menyanyi lagu genre itu. Foto Ihsan Harith Zazman

"Jika diikutkan semua video muzik lagu saya tampilkan isteri. Kali ini, kali tema kehidupan makhluk asing atau 'alien' dibawa dalam klip berkenaan," katanya.

Harith berkata, lirik lagu Shut Up berkisar pengalaman hidup sendiri.

"Lagu ini menceritakan perihal saya yang tidak yakin atau 'insecure' dengan diri sendiri. Isteri banyak tenangkan saya setiap kali saya rasa 'insecure'," katanya.

Berkongsi mengenai percubaan bergerak solo, Harith mengaku gementar.

"Sebelum ini, saya bekerjasama dengan artis lain seperti Loca B dan Tuju. Pada mulanya, saya jadi gementar kalau buat persembahan tanpa ada orang lain di sebelah.

"Namun, lama-kelamaan kalau hendak tampil solo, kenalah biasakan. Kalau tidak, bila lagi hendak buat?" katanya.

Harith juga selesa menyanyikan lagu bergenre pop seperti single terdahulu.

"Saya pilih genre pop kerana difikirkan ia sangat sesuai dengan saya sekarang. Kalau hendak cipta lagu balada, belum masanya lagi.

"Saya pun masih belajar menyanyi dan mengikuti kelas vokal. Kalau hendak nyanyi lagu balada atau bernada tinggi, tunggu saya sudah mahir," katanya.

Berita Harian X