Ahad, 28 November 2021 | 11:00am
Alif berganding dengan Afifah dalam drama Sentuhan Jiwa arahan Osman. Foto Ihsan Alif Muhaimin
Alif berganding dengan Afifah dalam drama Sentuhan Jiwa arahan Osman. Foto Ihsan Alif Muhaimin

Kami putus melalui WhatsApp - Alif Muhaimin

KUALA LUMPUR: Pelakon, Alif Muhaimin reda cinta disemai dengan gadis dikenali sebagai Nur Sara Jasmin, bernoktah, baru-baru ini.

Alif yang digilap bakat selepas muncul juara Hero Remaja 2017, sebelum ini mengumumkan hasrat menikahi Nur Sara, tahun depan.

Kisah cinta mereka didedahkan pelakon drama Sara Sajeeda itu melalui perkongsian di Instagram (IG) sempena sambutan hari jadi ke-25 Nur Sara.

Tidak hairanlah, gara-gara putus cinta, Alif dikatakan tertekan hingga berat badan menyusut 12 kilogram (kg).

Semakan di IG, baik Alif mahu pun bekas teman wanitanya itu sudah memadamkan foto mereka berdua daripada akaun masing-masing.

"Kami putus hujung minggu lalu. Cuma menyedihkan, perpisahan kami hanya melalui kiriman WhatsApp Sara. Tak sempat hendak bincang apa-apa pun.

"Saya sangat terkejut dengan tindakannya. Selama ini, dia seperti mahu menghabiskan hidup bersama hingga ke akhir hayat. Saya masih ingat tarikh penting dalam hubungan kami.

"Sara sudah buat keputusan bahawa kami okay sebagai kawan. Jadi, untuk tidak apa-apa lagi dengannya, saya pilih berpisah.

Alif mengaku ralat perancangan untuk menamatkan zaman bujang bersama Nur Sara, tidak kesampaian. Foto Ihsan Alif Muhaimin
Alif mengaku ralat perancangan untuk menamatkan zaman bujang bersama Nur Sara, tidak kesampaian. Foto Ihsan Alif Muhaimin

"Saya akur tetapi sukar sembunyikan rasa ralat perancangan untuk berkahwin tidak jadi kenyataan," katanya kepada BH Online.

Alif bagaimanapun enggan memperincikan punca perpisahan mereka. Pelakon drama Kisah Cinta Rumi ini bimbang kenyataannya disalah erti dan mengguris hati bekas kekasihnya itu.

"Apapun, saya harap selepas ini lelaki yang dia berkenan dapat jadi suami dan membimbing Sara hingga ke Jannah.

"Ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Saya kena kuat dan mungkin ini cara terbaik Tuhan hendak selamatkan saya daripada perkara tidak elok," katanya.

Menyentuh kerjaya lakonan, Alif mengakui rezeki melimpah selepas putus cinta.

Terbaru, Alif ditawarkan watak utama dalam drama Sentuhan Jiwa arahan Osman Ali.

"Sesi penggambaran sedang bermula di ibu negara dan beberapa lokasi lain. Saya berganding dengan Afifah Nasir dalam drama itu," katanya.

Berita Harian X