Jumaat, 26 November 2021 | 5:57pm
Zee menyifatkan suami, Kenji melengkapi hidupnya. Foto Ihsan Zee Avi
Zee menyifatkan suami, Kenji melengkapi hidupnya. Foto Ihsan Zee Avi

'Suami mula-mula tak tahu saya penyanyi'

KUALA LUMPUR: Penyanyi kelahiran Sarawak yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Zee Avi menceritakan bagaimana suami yang berketurunan Jepun, Kenji Matano, 41, tidak tahu dirinya artis ketika mula berkenalan.

Zee Avi atau nama sebenar, Izyan Alirahman, 35, berkata, Kenji mula mencari dan mendengar lagu-lagunya selepas mereka berkawan.

"Kami berjumpa pada majlis anjuran teman di sebuah premis di Kampung Attap, di sini pada 2018. Ketika itu, saya baru pulang ke Malaysia selepas menjayakan siri jelajah mini di Eropah, persembahan di Bali, Indonesia dan Shanghai, China.

"Pada perjumpaan itu, kawan-kawan menyuruh saya menyanyi lagu Kantoi. Ketika itu, dia sedar semua orang tahu lirik lagu berkenaan, kecuali dirinya.

Zee dan Kenji dinikahkan di Masjid Bukit Antarabangsa di ibu negara, Isnin lalu. Foto Ihsan Zee Avi
Zee dan Kenji dinikahkan di Masjid Bukit Antarabangsa di ibu negara, Isnin lalu. Foto Ihsan Zee Avi

"Bagaimanapun, saya gembira dia tidak tahu siapa saya sebelum ini. Jadi, dia dapat kenal Zee Avi sebagai diri saya sendiri," katanya kepada BH Online.

Berkongsi lanjut mengenai Kenji melalui sidang media secara virtual, petang tadi, Zee Avi berkata, suaminya yang bekerja sebagai penganalisis kandungan di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan sejak empat tahun lalu, melengkapi hidupnya.

"Dia baik hati, memahami, tenang dan penyabar. Sifat ini bagus untuk seseorang seperti saya kerana personaliti kami agak berbeza.

"Kesimpulannya, dia faham gaya hidup saya dan sentiasa menyokong dalam apa juga keadaan. Dia adalah kawan saya yang sentiasa di sisi.

"Dia membuatkan saya memberi yang terbaik. Disebabkan itu, saya fikir dia adalah lelaki terbaik bagi saya," katanya yang dilamar Kenji pada hari jadinya pada 15 Disember lalu.

Zee Avi dan Kenji disatukan di Masjid Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Menjawab pertanyaan media mengenai tindakan merahsiakan pernikahan, Zee menjelaskan, pada awalnya dia merancang berkongsi berita baik selepas selesai sesi fotografi perkahwinan.

Bagaimanapun, foto dirinya menyarung baju kurung moden putih lengkap berselendang dan mengenakan inai di jari tular dalam media sosial, terlebih dulu.

"Kami ada jurugambar dan juruvideo. Jadi, kami mahu tunggu kami bergambar cantik-cantik dan edarkan kepada media. Itulah sebab kami panggil jurugambar.

"Tapi ketika saya masih lagi menyarung baju pernikahan, saya perasan notifikasi berkenaan pernikahan saya. Mujur maklum balas yang diterima, positif.

"Disebabkan itu, saya memutuskan untuk berkongsi dengan media, hari ini. Bagi saya, apabila sudah sah, barulah saya mahu bercerita kerana keseluruhan proses agak mencabar," katanya.

Bercerita mengenai majlis pernikahannya, Zee berkata, majlis dianjurkan sederhana dengan dihadiri kurang daripada 15 tetamu.

"Alhamdulillah, majlis lancar. Suami saya juga melafazkan akad dalam Bahasa Inggeris dengan tenang," katanya yang mula menguruskan pernikahan sejak Februari lalu.

Vee merancang mengadakan majlis resepsi di kampung halaman di Sarawak dengan dihadiri keluarga dan rakan-rakan dari seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, Zee bakal tampil dengan lagu baharu disusuli album.

"Video muzik single itu sudah siap. Sekarang sedang tunggu keputusan syarikat pengurusan mengenai strategi melancarkannya. Saya harap lagu ini dapat diperdengarkan, tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X