Rabu, 24 November 2021 | 8:30am
Mohd Nurkhuzaini bersama Raja Mukhriz dan peserta yang menyertai bengkel pengarahan, The 7th Arts Film Incubator 2021. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Mohd Nurkhuzaini bersama Raja Mukhriz dan peserta yang menyertai bengkel pengarahan, The 7th Arts Film Incubator 2021. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Cungkil bakat pengarah hasil dua filem pendek

KUALA LUMPUR: Dua filem pendek dihasilkan menerusi bengkel pengarahan, The 7th Arts Film Incubator 2021 bakal meneroka keunikan dan keindahan alam semula jadi Kota Putera, Besut, Terengganu.

Bengkel The 7th Arts Film Incubator 2021 dianjurkan oleh Eleven Field Creative Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP).

Pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin berkata, Besut dipilih menjadi lokasi pertama untuk bengkel inkubator itu bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang pengarahan perfileman.

"Kami menerima lebih 200 penyertaan menyertai bengkel pada peringkat awal, namun, hanya 24 peserta berjaya apabila membuat tapisan berkualiti. Kebanyakan peserta yang dipilih pernah memenangi anugerah.

"Mengikut perancangan kerja penggambaran sepatutnya dilaksanakan pada Jun lalu, tetapi tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kami terpaksa membuat pemilihan semula peserta menyertai bengkel dalam tempoh seminggu kerana ada antara peserta peringkat awal mempunyai komitmen lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran The 7th Arts Film Incubator 2021 di Temu Primula, Besut, Terengganu, baru-baru ini.

Program dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Raja Mukhriz berkata, peserta akan berkampung di Besut selama sepuluh hari bermula 20 November lalu bagi menghasilkan filem pendek berdurasi 10 hingga 15 minit dengan bimbingan barisan tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang pengarahan filem.

Katanya, antara barisan tenaga pengajar termasuk Pekin Ibrahim, Akashdeep Singh dan Prakash Murugiah.

"Kami bertanggungjawab memastikan pembikinan filem pendek yang dihasilkan peserta menjadi sebuah filem berkualiti yang boleh dibawa menyertai festival filem antarabangsa.

"Projek inkubator ini selaras dengan saranan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menghasilkan filem menuju misi Road to Oscar.

"Bagi mencapai hasrat ini usaha perlu bermula dari peringkat akar umbi bagi menggilap bakat baharu dalam bidang pengarahan. Hasilnya, mungkin dapat dilihat dalam tempoh lima atau enam tahun akan datang," katanya kepada HIP.

Mohd Nurkhuzaini (kanan) diiringi Raja Mukhriz dan isterinya, Sharifah Shahora pada majlis pelancaran The 7th Arts Film Incubator 2021 di Besut, Terengganu, baru-baru ini. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Mohd Nurkhuzaini (kanan) diiringi Raja Mukhriz dan isterinya, Sharifah Shahora pada majlis pelancaran The 7th Arts Film Incubator 2021 di Besut, Terengganu, baru-baru ini. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera menyambut baik usaha penggiat seni menjadikan Kota Putera sebagai hub utama untuk projek terbabit.

"Penghasilan filem pendek ini diharap memberi sudut pandangan berbeza daripada sektor pelancongan ketika musim tengkujuh dan ombak besar.

"Keindahan alam semula jadi yang ada di Besut khususnya Kota Putera sering menjadi tarikan pelancong. Saya berharap akan ada siri kedua dan ketiga selepas berakhirnya siri pertama nanti," katanya.

Salah seorang peserta, Fadhil Wahab yang juga graduan Universiti Sains Malaysia pengkhususan bidang penyiaran dan perfileman berkata, dia bertuah terpilih menjadi peserta dalam projek berkenaan.

Katanya, bakat pengarah baharu boleh digilap menjadi pengarah filem yang mampu menghasilkan filem berkualiti untuk menyertai festival filem peringkat antarabangsa menerusi inkubator itu.

"Sudah tentu perlu ada kerjasama yang baik sebagai satu pasukan antara pengarah, pelakon dan kru untuk menghasilkan filem terbaik. Kami berharap berpeluang menimba pengalaman daripada barisan tenaga pengajar yang berpengalaman membimbing dalam projek ini," katanya.

Terdahulu, bengkel pengarahan, The 7th Arts Film Incubator 2021 mendapat sokongan dan pemberian dana FINAS adalah program berteraskan modal insan sejajar saranan KKMM menghasilkan karya kreatif untuk misi Road to Oscar.

Program percuma bawah dana FINAS ini bertujuan memajukan modal insan dalam industri perfileman negara.

Berita Harian X