Selasa, 23 November 2021 | 7:33pm
Meskipun bersedia menerima cinta baharu, namun, fokus Maya masih terhadap kerjaya seni termasuk teater muzikal Putri Santubong The Warrior Princess.
Meskipun bersedia menerima cinta baharu, namun, fokus Maya masih terhadap kerjaya seni termasuk teater muzikal Putri Santubong The Warrior Princess.

Maya Karin diintai ramai jejaka

KUALA LUMPUR: Lebih sedekad hidup menyendiri, aktres Maya Karin mengakui sedang berkawan dengan beberapa lelaki yang berpotensi untuk dijadikan teman hidup.

Enggan mendedahkan secara terperinci gerangan jejaka yang dimaksudkan, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke memaklumkan, salah seorang daripadanya kini menetap di Australia.

"Saya ada beberapa calon dan sedang berkawan. Ada seorang berasal dari Australia dan kerap menghubungi saya menerusi aplikasi Facetime.

"Hanya lelaki Australia itu sahaja menetap di luar negara, manakala selebihnya orang Malaysia," katanya pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni, menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, semalam.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Meskipun sudah bersedia menerima cinta baharu, namun, tegas pelakon yang terkenal watak Pontianak menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam itu, fokusnya masih kepada kerjaya seni.

"Sekarang saya sedang sibuk dengan pementasan teater muzikal. Banyak benda yang perlu saya fokus seperti sesi latihan dan mendalami skrip.

"Justeru, buat masa ini, keutamaan saya adalah kerja," tegas pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia 2008 dan 2012 ini.

Maya pernah mendirikan rumah tangga dengan guru, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Abdullah pada 2008, namun, perkahwinan hanya bertahan selama dua tahun.

Sejak bercerai, soalan jodoh sering diajukan kepada penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Erti Cinta ini, namun, hingga hari ini Maya masih belum menemui pengganti.

Menerusi temubual yang berlangsung selama dua jam minit itu, pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini juga mendedahkan, mengalami gangguan kebimbangan (anxiety disorder) sejak lapan tahun lalu.

Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, Maya bersama Saharudin, Roslen dan tetamu undangan, Farihad Shalla Mahmud ketika menjayakan sesi IG Live Bersama Penggiat Seni, semalam.
Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, Maya bersama Saharudin, Roslen dan tetamu undangan, Farihad Shalla Mahmud ketika menjayakan sesi IG Live Bersama Penggiat Seni, semalam.

Memperincikan perkara itu, Maya memberitahu gara-gara penyakitnya itu, dia terlepas peluang membintangi teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) dan filem yang menampilkan lakonan Henry Golding berjudul Crazy Rich Asian.

"Penyakit ini dikesan sekitar lapan tahun lalu dan menurut ayah, ini berikutan sikap saya yang terlalu memaksa diri untuk bekerja dan kesibukan sebagai pelakon.

"Gara-gara penyakit gangguan kebimbangan, saya terlepas peluang berlakon dalam pementasan teater PGLTM dan filem Crazy Rich Asian kerana gangguan kebimbangan itu berlaku ketika saya sedang melakukan uji bakat.

"Namun, saya tidak sedih kerana jika filem Crazy Rich Asian, ia memang tidak sesuai dengan fizikal saya. Saya sendiri tidak tahu mengapa mereka memilih saya," ujarnya.

Enggan membiarkan penyakitnya berlarutan, Maya berkata, dia sudah mendapatkan khidmat nasihat pakar dalam menguruskan gangguan kebimbangan yang dihidapinya.

"Saya berjumpa dengan pakar dan membuat kajian serta analisis sendiri mengenai penyakit ini. Saya mula mempelajari bagaimana penyakit menyerang, waktu, situasi mula menyerang dan tanda awal serangan bakal berlaku.

"Berdasarkan analisis, saya mendapati serangan akan berlaku jika tangan tiba-tiba menggeletar. Jika keadaan ini terjadi, saya perlu mengawalnya kerana jika gagal atau kebetulan saya sedang memegang gelas, gelas itu akan jatuh," cerita pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 ini.

Dalam perkembangan lain, Maya kini sedang sibuk menjalani latihan pementasan teater muzikal Putri Santubong The Warrior Princess.

Teater muzik ini akan dipentaskan di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada 11 dan 12 Disember ini serta ditayangkan secara langsung di www.puterisantubong.com.my

Berita Harian X