Isnin, 22 November 2021 | 5:43pm
Taylor Swift mengungguli kategori Artis Pop Wanita Kegemaran dan Album Pop Kegemaran bagi album, Evermore. Foto IG AMA
Taylor Swift mengungguli kategori Artis Pop Wanita Kegemaran dan Album Pop Kegemaran bagi album, Evermore. Foto IG AMA

BTS ungguli AMA 2021

LOS ANGELES: Kumpulan popular Korea Selatan, BTS sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi artis Asia pertama diangkat sebagai Artis Terbaik pada Anugerah Muzik Amerika (AMA) 2021 di Microsoft Theater di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Kumpulan hit K-pop yang dianggotai tujuh anak muda mengetepikan lima penyanyi antarabangsa terkemuka seperti Ariana Grande, Drake, Olivia Rodrigo, Taylor Swift dan The Weeknd.

Tidak cukup itu, BTS membawa pulang trofi bagi kategori Lagu Pop Kegemaran menerusi Butter dan Duo/Kumpulan Pop Kegemaran. 

Kejayaan itu juga adalah kemenangan mereka untuk tiga tahun berturut-turut bagi kategori Duo/Kumpulan Pop Kegemaran. 

Menghadiri majlis anugerah itu untuk menerima trofi, salah seorang anggota BTS, RM berkata, mereka sangat berbesar hati dengan pengiktirafan AMA.

"Terima kasih AMA, kami sangat berbesar hati berada di pentas ini bersama barisan artis menakjubkan dan luar biasa," katanya yang turut mengakui berdebar menerima anugerah berkenaan, lapor agensi.

Menyambung ucapannya, RM menyifatkan kemenangan itu sebagai keajaiban dan sokongan daripada kelab peminat mereka, ARMY.

"Empat tahun lalu, kami membuat persembahan secara langsung di pentas ini. Kami sangat teruja dan gementar pada masa sama.

"Ini adalah perjalanan panjang dan menarik sejak itu. Bagaimanapun, tiada siapa sangka kami akan berdiri di sini menerima anugerah ini... Kecuali anda semua, ARMY.

"Tujuh pemuda dari Korea disatukan atas cinta kepada muzik. Kami menerima kasih sayang dan sokongan dari semua ARMY di seluruh dunia.

"Ini semuanya adalah keajaiban. Serius, kami tidak pernah mengambil semua ini sambil lewa... Terima kasih banyak.

BTS mengucapkan terima kasih kepada kumpulan peminatnya, ARMY yang sentiasa berdiri di belakang mereka. Foto IG AMA
BTS mengucapkan terima kasih kepada kumpulan peminatnya, ARMY yang sentiasa berdiri di belakang mereka. Foto IG AMA

"Kami sayang anda semua dan kami mahu memberi penghargaan ini kepada anda semua. Terima kasih HYBE, kakitangan dan ARMY," katanya.

Jungkook mengakhiri ucapan dengan harapan anugerah itu dapat memberi semangat beraksi lebih baik pada tahun berikutnya.

"Kami hanya mahu membuatkan semua orang gembira dengan muzik kami. Kami percaya anugerah ini membuka perjalanan kepada fasa baharu kami.

"Sejak beberapa tahun lalu, kami dapati setiap detik adalah berharga. Jadi pada tahun depan, kami mahu fokus," katanya.

Pada anugerah berprestij tahunan itu, BTS turut menampilkan persembahan penuh bertenaga menyanyikan lagu Butter dan juga lagu My Universe bersama Coldplay.

BTS akan mengadakan konsert di Los Angeles selama dua hari pada 27 November ini disusuli 1 dan 2 Disember depan.

Selain BTS, Taylor Swift mengungguli kategori Artis Pop Wanita Kegemaran dan Album Pop Kegemaran bagi bingkisannya, Evermore. AGENSI

Berita Harian X