Ahad, 21 November 2021 | 6:18pm
Hos Muzik Muzik 36, Alif dan Sissy mengumumkan 10 lagu pertama yang layak mara ke SFMM36.
Hos Muzik Muzik 36, Alif dan Sissy mengumumkan 10 lagu pertama yang layak mara ke SFMM36.

Penyanyi popular dominasi SFMM36

KUALA LUMPUR: Pentas Separuh Akhir Muzik Muzik Ke-36 (SFMM36) bakal menyaksikan dominasi penyanyi popular berentap merebut kedudukan pada peringkat akhir, mulai 31 Disember depan.

Sebanyak 30 lagu bersaing dalam SFMM36 yang bakal berlangsung pada 31 Disember dan 1 Januari depan.

Bagaimanapun, hanya 10 lagu pertama yang layak ke SFMM36 diumumkan hari ini oleh hosnya, Alif Satar dan Sissy Imann menerusi program Muzik Muzik 36 yang disiarkan di TV3.

Manakala, baki sebanyak 20 lagu akan diumumkan pada 28 November dan 5 Disember ini. Secara keseluruhan, 30 lagu bakal bertanding bagi peringkat SFMM36.

SFMM36 menyaksikan kemunculan penyanyi rock otak, Datuk Awie mempertaruhkan lagu Coretan Pilu ciptaan dan lirik oleh Ikhwan Fatanna, Wan Saleh, Fedtri Yahya, selain Hael Husaini menerusi lagu Bujang ciptaan Hael bersama MFMF; Mimpi (Haqiem Rusli/Haqiem, Datuk A Aida); Penat (Andi Bernadee/Nuriman, Andi, Efry Arwis Nuriman) dan Purnama (Naim Daniel/Amzar Razqa, Naim).

Tidak ketinggalan, Cinta Jangan Pergi nyanyian Azzam Sham menerusi lagu ciptaan Asfan Shah dan Fedtri Yahya serta Chikadun (Floor 88/Zai Hamzah, Achoi Floor 88); Rindu Separuh Nyawa (Naqiu dan Vanessa Reynauld/Naqiu, Wit, Mohsen, Siti Rosmizah); Salahku (Yonnyboii/Yonnyboii) dan Lenyap (Usop/A'A, Romal, Karim Karam, Mike Chan).

Naqiu dan Vanessa mempertaruhkan lagu popular, Rindu Separuh Nyawa dalam SFMM36.
Naqiu dan Vanessa mempertaruhkan lagu popular, Rindu Separuh Nyawa dalam SFMM36.

Juara program realiti, Gegar Vaganza musim keenam, Naqiu menyifatkan ini adalah pencapaian kedua terbaik selepas berjaya membolosi kelompok Top 5 bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34.

"Selepas 20 tahun barulah saya berjaya bolos ABPBH 34. Kini, lagu Rindu Separuh Nyawa melepasi SFMM36 pula.

"Jujurnya, banyak kemanisan saya raih, tahun ini. Lebih teruja lagu Rindu Separuh Nyawa ciptaan saya bersama Wit dan Mohsen, manakala liriknya ditulis penerbit drama, Siti Rosminah.

"Jadi, ia menjadi tanggungjawab saya bukan sekadar menyanyi. Malah, peluang berkolaborasi dengan penyanyi berbakat besar seperti Vanessa satu peluang keemasan," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Vanessa yang juga naib juara The Masked Singer Malaysia musim pertama mengakui, takjub kerana lagu duet bersama Naqiu mampu melonjakkan kerjaya seninya.

"Saya pernah kecewa apabila nama kurang mendapat perhatian pada awal pembabitan dalam dunia muzik. Namun, lagu Rindu Separuh Nyawa bagaikan membuka pintu rezeki saya.

"Ini juga kali pertama saya bakal berentap di pentas SFMM yang sering diidamkan selama ini.

"Moga tuah dan rezeki akan terus terbentang luas," katanya.

Naqiu dan Vanessa ditemui pada dalam sidang media yang dikendalikan hos Muzik Muzik 36, Alif dan Sissy secara virtual, hari ini.

Berita Harian X