Ahad, 21 November 2021 | 3:22pm
Pernah terperangkap dengan tanda tanya dalam perhubungan, Sissy kongsi kisah cinta tidak kesampaian dalam single Namaku Padamu. - Foto Sissy Imann
Pernah terperangkap dengan tanda tanya dalam perhubungan, Sissy kongsi kisah cinta tidak kesampaian dalam single Namaku Padamu. - Foto Sissy Imann

Tanda tanya cinta Sissy

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Sissy Imann, 26, mengakui single terbaharu berjudul Namaku Padamu mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya.

Akuinya, dia jarang berkongsi kisah peribadi, namun, pernah terperangkap dengan tanda tanya dalam perhubungan cinta.

"Jika ditanya adakah single Namaku Padamu berkisarkan pengalaman sendiri, apa yang boleh dikatakan, mungkin ada sedikit. Ia pernah berlaku dalam hidup saya.

"Karya berkisarkan cinta yang menjadi tanda tanya dan tidak tahu di mana berdiri, saya pernah juga merasakan sebegitu," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Sissy atau nama sebenarnya, Sissy Imann Mohammad Kamil berkata, kisah cintanya hanya jadi sejarah dan dirinya mahu terus melangkah dengan positif.

Mengulas mengenai single Namaku Padamu, Sissy berkata, ia adalah karya yang berbeza daripada apa yang pernah diketengahkan sebelum ini.

"Ini adalah single balada kedua. Sebelum ini, saya ada menghasilkan single Bisa Mencinta, tetapi lagu berkenaan untuk projek istimewa. Bagaimanapun, single Namaku Padamu pula dirancang sebagai lagu baharu saya.

"Saya mahu cuba sesuatu yang lain, memandangkan lagu sebelum ini berentak rancak. Saya banyak menulis lagu sendiri, tetapi kali ini, saya memberikan sepenuh kepercayaan kepada Omar K dan Firdaus Rahmat untuk menghasilkan lagu ini.

"Namun, saya masih diberikan kebebasan menyanyikannya ketika dalam studio. Disebabkan itu, saya merasakan single ini dekat dengan diri saya walaupun ditulis orang lain.

"Saya tetap diberikan sepenuh kebebasan merealisasikan single Namaku Padamu," katanya.

Video muzik single Namaku Padamu arahan Lily Samsuddin menampilkan Sissy sebagai teraju utama. - Foto Sissy Imann
Video muzik single Namaku Padamu arahan Lily Samsuddin menampilkan Sissy sebagai teraju utama. - Foto Sissy Imann

Selepas hampir lapan tahun berkecimpung dalam industri muzik, single Namaku Padamu adalah single yang ke-11.

Single Namaku Padamu ciptaan bersama Firdaus Rahmat dan Omar K. Ia mengisahkan mengenai percintaan yang menjadi tanda tanya apabila ditinggalkan gantung tidak bertali.

Karya bergenre balada dan mempunyai sentuhan piano ini diharapkan dapat menambat hati peminat dan pendengar.

Video muzik rasmi single Namaku Padamu diarahkan oleh Lily Samsuddin diserikan dengan kehadiran Sissy sebagai teraju utama.

Penceritaan bagi video muzik ini mengenai kekasih yang dicurangi dan dendam wanita terhadap kekasihnya.

Single terbitan Warner Music ini boleh didapati di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 19 November lalu, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia.

Berita Harian X