Sabtu, 20 November 2021 | 7:00pm
Kemantapan vokal Khai dan Aina mencipta keserasian mereka menerusi lagu Nafas Cinta. - Foto IG Khai Bahar
Kemantapan vokal Khai dan Aina mencipta keserasian mereka menerusi lagu Nafas Cinta. - Foto IG Khai Bahar
Hati Khai terusik melihat kesungguhan penyokong dan kelab peminat, KBE yang mahu melihatnya memenangi setiap kategori dipertandingkan dalam ABPBH 34. - Foto IG Khai Bahar
Hati Khai terusik melihat kesungguhan penyokong dan kelab peminat, KBE yang mahu melihatnya memenangi setiap kategori dipertandingkan dalam ABPBH 34. - Foto IG Khai Bahar

Hati Khai terusik kesungguhan peminat

KUALA LUMPUR: Meskipun gagal membawa pulang trofi Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, penyanyi Khai Bahar, 27, tetap bersyukur menggenggam dua kategori iaitu Artis TikTok Popular dan Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Aina Abdul menerusi lagu Nafas Cinta.

Hati penyanyi lagu Bayang dan Luluh itu cukup terusik melihat kesungguhan penyokong dan kelab peminat, Khai Bahar Empire (KBE) yang mahu melihatnya memenangi setiap kategori dipertandingkan dalam ABPBH 34.

"Undian kategori Artis TikTok Popular boleh dilihat menerusi aplikasi TikTok. Jadi, saya nampak kesungguhan peminat mengundi saya siang dan malam.

"Tiada apa yang mampu saya ungkapkan, melainkan perasaan terharu. Saya akui, peminat saya memang dahsyat, bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan saya.

"Saya terhutang budi dengan peminat. Tidak hanya KBE, tetapi juga penyokong lain. Jujurnya, saya tidak tahu apa yang mereka lakukan hingga berjaya mengenepikan artis hebat lain," katanya kepada BH Online.

Menerusi kategori Artis TikTok Popular, penyanyi kelahiran Kangar, Perlis itu berjaya menewaskan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Siti Nordiana, Dolla dan Haqiem Rusli. Ia sekali gus menjadikan Khai sebagai pemenang pertama dalam kategori baru yang diperkenalkan pada ABPBH 34.

Khai berkata, dia akan terus menyokong sekiranya kategori berkenaan masih dikekalkan pada tahun hadapan.

"Ini permulaan yang baik untuk saya, apatah lagi, menjadi pemenang pertama bagi kategori baru ini. Insya-Allah, saya pasti KBE akan memasang strategi lain sekiranya kategori ini masih dipertandingkan, tahun hadapan," katanya yang cukup menghargai setiap pencalonan dalam ABPBH.

Kategori Artis TikTok Popular adalah hasil kolaborasi ABPBH 34 dan aplikasi TikTok ditentukan menerusi undian peminat antara 4 Oktober hingga 7 November lalu.

Dengan bilangan pengikut 365,500 pengikut dalam aplikasi TikTok, Khai berjaya diiktiraf sebagai penghibur berbakat dalam platform berkenaan, sekali gus membuktikan pengaruhnya dalam laman sosial.

Tidak hanya itu, Khai masih mempertahankan trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular menerusi lagu Nafas Cinta bersama rakan duetnya, Aina.

Tahun lalu, Khai dan rakan duet, Siti Nordiana menggondol trofi berkenaan menerusi lagu Satukan Rasa.

Kata Khai, dia berterima kasih kepada peminat Aina yang bersungguh-sungguh mengundi lagu Nafas Cinta.

"Selain KBE, saya mahu berterima kasih kepada Ainations yang bertungkus lumus mengundi. Mereka tidak pernah lelah dan jemu menyokong artis kesayangan mereka.

"Saya dan Aina sangat menghargai penghargaan diberikan. Jujurnya, semua ini saya simpan dalam hati kerana memikirkan peminat tidak pernah menyesal menghargai bakat saya.

"Saya tidak mampu membalas jasa peminat, hanya mampu mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat mereka," katanya.

Bagaimanapun, Khai berkata, dia tidak akan leka dengan penghargaan ini, selain akan terus berusaha memantapkan kualiti nyanyian dan lakonan.

"Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Shakira bersama Janna Nick dan Shukri Yahaya yang bakal disiarkan menerusi bagi slot Akasia di TV3," katanya.

Berita Harian X