KUALA LUMPUR: Hati mana tidak tersentuh apabila anak kesayangan sering menjadi mangsa kecaman netizen dalam laman sosial.
Itulah yang dirasai ibu kepada Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, Janna Nick yang dikenali sebagai Shasha.
Shasha berkata, hatinya pedih setiap kali membaca kecaman dilemparkan terhadap Janna, hinggakan tidak gemar membuka laman sosial.
Pengakuan ini didedahkan wanita berusia 47 tahun itu menerusi saluran YouTube milik Janna Nick sejurus selepas kejayaan anak kesayangannya meraih undian lebih 86 juta pada malam kemuncak ABPBH 34 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), minggu lalu.
Shasha dilihat menitiskan air mata ketika diminta berkongsi perasaan kejayaan anak kedua daripada empat beradik itu.
Katanya, Janna seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.
"Setiap kali keluar bekerja, saya sentiasa berdoa memohon Allah mempermudahkan setiap perjalanan dan langkahnya. Saya juga sentiasa mendoakan semoga Janna beroleh kebahagiaan dunia dan akhirat.
"Janna, anak yang baik, jadi saya berharap apa yang dikecapi hari ini dapat memberi kebaikan dan manfaat kepada orang ramai, itulah doa saya setiap hari.
"Selama ini banyak orang mengecam Janna sehingga saya tidak melihat laman sosial. Hati saya pedih membaca kecaman yang dihamburkan.
"Walaupun Janna nampak keras, tetapi sebenarnya hatinya lembut," kata Shasha lagi.
Janna yang berada di sisi ibunya turut dilihat mengalirkan air mata mendengar ucapan dari ibunya.
Shasha yang terharu atas kemenangan Janna menyifatkan ABPBH 34 adalah malam paling bersejarah dan membanggakannya.
Sebagai ibu, katanya, dia melihat Janna bekerja keras dan jatuh bangun anaknya sepanjang hampir 10 tahun membina kerjaya dalam bidang seni.
"Janna memang kuat bekerja, itu usaha yang saya nampak. Janna, anak bertanggungjawab dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga.
"Terlalu banyak pengorbanan Janna pada keluarga hingga tidak mampu dibalas. Dia banyak membantu sana sini, semoga usahanya akan membawa lebih kebaikan pada setiap orang sekelilingnya pada masa akan datang," katanya lagi.
Selain membawa pulang trofi utama, Janna turut menggenggam dua lagi trofi iaitu Pengacara TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.