Sabtu, 20 November 2021 | 1:00pm

Simbolik 'Hitam Saksi Putih' Haqiem, isteri

KUALA LUMPUR: Senyuman yang tak lekang di bibir serta raut wajah penuh keceriaan jelas menterjemahkan betapa berbunga hati penyanyi Haqiem Rusli ketika ini.

Selepas dua tahun menyulam benang cinta, akhirnya, impian Haqiem menyunting gadis idaman menjadi suri hati terlaksana apabila majlis pernikahan pasangan ini disempurnakan di Masjid Raja Haji Fisabilillah di Cyberjaya, petang semalam.

Mengambil keberkatan Jumaat yang juga penghulu hari, dengan dua kali lafaz, Haqiem atau nama penuh, Ridzuan Haqiem Rusli, 24, sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 19, pada majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat sahaja.

Segak mengenakan persalinan baju rona kelabu sedondon dengan isteri, Haqiem ketika berkongsi perasaan dan isi hatinya selepas diijabkabulkan mengaku lelaki paling bahagia ketika itu.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan itu. Apa yang boleh saya simpulkan adalah saya sangat gembira dan menjadi lelaki paling bahagia.

"Ini adalah pengalaman indah sekali dalam seumur hidup.

Haqiem mengaku kisah cinta antara dirinya dan Wan Anis Sofea bermula daripada pandangan pertama. Foto IG @aqoimran
Haqiem mengaku kisah cinta antara dirinya dan Wan Anis Sofea bermula daripada pandangan pertama. Foto IG @aqoimran

"Jika dahulu saya hidup bersama keluarga, kini, saya ada isteri yang boleh menemani dan menjadi tempat untuk saya berkongsi saat suka dan duka," katanya.

Mengimbau momen perkenalan mereka, Haqiem menyifatkan kisah cinta antara dirinya dan Wan Anis Sofea atau Sofea bermula daripada pandangan pertama.

"Kami diperkenalkan kawan. Dia bukan peminat saya seperti diramai sangka.

"Kali pertama bertemu, ketika kami berbincang mengenai bisnes restoran steambot yang akan diusahakan, hati saya sudah tertarik dengan dirinya.

"Saya sukar berkawan dengan perempuan. Namun, dengannya, hati saya terbuka untuk mengenalinya lebih dekat lagi.

"Daripada situ, kami mula berkawan hingga saya memutuskan untuk memperisterikan Sofea.

"Untuk menunjukkan serius dengan hasrat itu, saya nekad bertemu kedua orang tuanya untuk meminta izin bagi menghalalkan hubungan kami," katanya.

Menurut penyanyi kelahiran Hulu Langat, Selangor ini, sifat Wan Anis Sofea yang tidak pernah cemburu mengeratkan lagi kasih sayang mereka hingga membawa hubungan ke jenjang pelamin.

"Walaupun usianya muda, saya lihat dia sangat matang dan ada visi dalam perniagaan. Perniagaan restoran kami maju disebabkan kecekapan dalam pengurusan.

"Selain itu, dia sangat memahami kerjaya saya yang sentiasa dikelilingi peminat wanita. Tidak ada sekelumit pun rasa cemburu dalam dirinya.

"Malah, dia rapat dengan peminat dan suka melayan mereka. Sikapnya yang peramah itu membuatkan peminat menyukainya sehingga mereka sanggup mewujudkan akaun Instagram (IG) untuk kami," kata pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 ini.

Pada majlis pernikahan itu, Haqiem menyerahkan wang hantaran RM100,000 dan mas kahwin sebanyak RM300. Pasangan itu turut bertukar lima dulang hantaran berbalas lima dulang.

Mengenai perancangan mendapatkan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga, penyanyi lagu Mimpi dan Tergantung Sepi ini mengaku mereka sepakat menangguhkan dahulu hasrat itu.

"Beri kami peluang untuk menjalani kehidupan berdua terlebih dahulu. Lagipun, pada usia kami sekarang, masih terlalu awal untuk menimang cahaya mata.

'Insya-Allah, lagi tiga tahun baru kami bersedia mempunyai zuriat sendiri. Mungkin itu waktu paling sesuai kerana kami sudah matang sepenuhnya," kata bekas pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 33 ini.

Ditanya lokasi bulan madu, penyanyi dan komposer ini memilih Negeri Di Bawah Bayu sebagai destinasi percutian.

"Untuk destinasi bulan madu, Insya-Allah kami akan ke Sabah selepas segala urusan selesai," katanya.

Malam tadi, pasangan mempelai ini diraikan pada majlis resepsi berkosepkan perkahwinan dalam taman di sebuah premis acara di Cyberjaya.

Sejajar dengan konsep dipilih, dekorasi dewan dihias indah mengikut ilham taman di kayangan.

Sebagai tanda kenangan, Haqiem turut menghadiahkan single baharu berjudul Hitam Saksi Putih yang dicipta khas sempena hari bahagianya itu.

Dengan dua kali lafaz, Haqiem sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea Wan di Masjid Raja Haji Fisabilillah di Cyberjaya, semalam. Foto IG @aqoimran
Dengan dua kali lafaz, Haqiem sah bergelar suami kepada Wan Anis Sofea Wan di Masjid Raja Haji Fisabilillah di Cyberjaya, semalam. Foto IG @aqoimran
Berita Harian X