Rabu, 27 Oktober 2021 | 8:24pm
Karya ciptaan Oddie seperti Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Tua Sebelum Waktunya dan Begitulah Cinta mengangkat Sheila sebagai antara penyanyi disegani di Indonesia. Foto IG Oddie Agam
Karya ciptaan Oddie seperti Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Tua Sebelum Waktunya dan Begitulah Cinta mengangkat Sheila sebagai antara penyanyi disegani di Indonesia. Foto IG Oddie Agam

Oddie Agam meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Oddie Agam atau nama sebenar, Imran Madjid ke Rahmatullah, pagi tadi, memberi kesan kepada Datuk Sheila Majid yang mencipta nama di Indonesia menerusi karya komposer tersohor itu.

Lagu ciptaan Allahyarham Oddie antaranya Antara Anyer dan Jakarta dan Aku Cinta Padamu membolehkan Sheila menembusi pasaran muzik republik itu sejak era 1980-an dan terus popular hingga sekarang.

Sheila mengenang Oddie melalui coretannya di Instagram (IG). Foto IG Sheila Majid
Sheila mengenang Oddie melalui coretannya di Instagram (IG). Foto IG Sheila Majid

Kesedihan Sheila dikongsi melalui entri Instagram (IG), petang tadi.

"Kami amat dukacita dengan khabar Ini. Saya sudah lama mengenali arwah. Malah, sebelum menjadi penyanyi lagi.

"Dialah pencipta lagu Indonesia pertama yang mengharumkan nama saya ke Indonesia dengan karya seperti Antara Anyer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Tua Sebelum Waktunya, Begitulah Cinta dan beberapa lagu lagi.

"Malah, sebelum mengenalinya sebagai komposer, arwah adalah rakan keluarga kami," katanya.

Sheila mengaku kesedihannya tidak terbendung dengan pemergian arwah.

"Saya sangat sedih... Seperti sebahagian kerjaya muzik saya hilang. Karya muziknya akan sentiasa menyinari hati kami semua, Agam.

"Terima kasih untuk semua lagu indah ditulis kamu... Semoga tenang di sana.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan bersama orang yang beriman... Al-Fatihah. Bintang itu sudah tiada, tapi sinarnya terang selama-lamanya," katanya.

Memetik laporan CNN Indonesia, Allahyarham Oddie menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sakit Persahabatan, Indonesia pada usia 68 tahun akibat kegagalan buah pinggang. Malah, arwah pernah dilaporkan berdepan masalah angin ahmar pada 2017.

Arwah dilaporkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu sejak 6 Oktober lalu. Keadaan Oddie ketika itu sangat kritikal hingga menggunakan alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, arwah dikhabarkan pernah pulih pada 12 Oktober lalu. Malah, ketika itu, isterinya, Almafina memaklumkan Oddie sempat membuka mata biarpun masih bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

Allahyarham Oddie juga dilaporkan boleh menyahut panggilan jururawat dan kekal berada di bawah pemantauan doktor.

CNN Indonesia melaporkan, berita pemergian Allahyarham Oddie disahkan kawannya, Stanley Tulung melalui akaun media sosialnya.

Allahyarham Oddie antara pemuzik 'senior' yang membina legasi muzik di Indonesia sejak 1984. Malah, Oddie juga pernah menceburi dunia nyanyian.

Berita Harian X