Rabu, 27 Oktober 2021 | 5:13pm
Ashraf berlepas ke Tanah Suci Makkah hanya dua minggu selepas kehilangan bapa tersayang, Allahyarham Muslim yang menghembuskan nafas terakhir akibat korban COVID-19. - Foto IG Ashraf Muslim
Ashraf berlepas ke Tanah Suci Makkah hanya dua minggu selepas kehilangan bapa tersayang, Allahyarham Muslim yang menghembuskan nafas terakhir akibat korban COVID-19. - Foto IG Ashraf Muslim

Ashraf bawa perasaan sedih ke Makkah

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah acap kali berulang-alik ke Tanah Suci Makkah, namun, pemergian aktor Ashraf Muslim, 40, kali ini membawa pengertian yang amat berbeza.

Ashraf berlepas ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah umrah pada 13 Oktober lalu, hanya dua minggu selepas kehilangan bapa tersayang, Allahyarham Muslim Bulat yang menghembuskan nafas terakhir akibat korban COVID-19 pada 28 September lalu.

Katanya, dia bersyukur dapat mengikuti kembara suci bersama Emraz Travel & Tour dan menjadi wakil rombongan jemaah pertama dari Malaysia dapat memasuki Arab Saudi selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negara.

Pemergian Ashraf mengikut prosedur operasi standard (SOP) baharu dan ketat, selain perlu lengkap dua dos vaksinasi.

"Saya pergi bersama 11 jemaah lain. Kali ini, tiada ahli keluarga termasuk isteri dan anak-anak turut serta.

"Jujurnya, saya tiada perancangan mahu ke Makkah memandangkan pandemik COVID-19 masih menular. Namun, kerinduan menjejak kaki ke Tanah Suci tidak dapat digambarkan.

"Segala-galanya berlaku pada saat akhir apabila agensi menghubungi saya. Saya beri jawapan dalam masa sehari termasuk membuat persiapan, esoknya saya terus berlepas ke Tanah Suci," katanya kepada BH Online.

Ashraf bersyukur menjadi wakil rombongan jemaah
Ashraf bersyukur menjadi wakil rombongan jemaah

Akui aturan masa sangat tepat kerana tidak terikat dengan komitmen seni, Ashraf berkata, dia reda dengan pemergian arwah bapanya akibat korban COVID-19.

"Saya akui, pemergian saya ke Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah amat berbeza kali ini. Saya tak nafikan, masih bersedih atas kehilangan arwah.

"Allah ambil ibu saya ketika berusia 25 tahun. Kini, pada usia 40 tahun, Allah ambil pula nyawa bapa.

"Selepas arwah mak tiada, arwah ibarat ibu dan bapa. Arwah jadi tempat mengadu, menangis, lepas rasa marah, bercakap dan bergurau. Segala-galanya saya berkongsi dengan arwah.

"Saya sedih mengenangkan arwah sudah tiada. Selepas hampir dua tahun diuji dengan pandemik, saya jarang dapat pulang menjenguk arwah.

"Pengakhiran, saya dikejutkan dengan berita pemergiannya. Walaupun perit, saya kena reda, ikhlas dan tenang menerima hakikat pemergian orang tua," katanya yang selamat kembali ke tanah air pada Ahad lalu.

Sementara itu, Ashraf berkata, dia tidak pernah terlintas mampu membolosi kelompok Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bagi kategori Watak Antagonis Popular.

Pencalonan itu dinilai berdasarkan lakonannya sebagai Ustaz Aariz menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa ditayangkan, tahun lalu menerusi Astro First.

Lebih manis, Ashraf satu-satunya calon lelaki, bersaing dengan empat calon wanita iaitu Liza Abdullah, Hannah Delisha, Ain Edruce dan Fify Azmi.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir dicalonkan dalam kategori ini. Selama penganjuran ABPBH, saya pernah beberapa kali dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

"Tentulah jika ada rezeki saya nak menang. Namun, saya harap pengundi akan berfikir sebaik mungkin.

"Mungkin ada calon yang lebih layak dan popular daripada saya. Jadi, undilah calon yang dirasakan layak.

"Saya tiada masalah jika kecundang, tetapi apa yang lebih penting, pilih pelakon yang sesuai untuk kategori ini," katanya.

Berita Harian X